Mila |
IMPIAN untuk bergelar artis bertaraf antarabangsa bakal direalisasi tidak lama lagi. Apatah lagi setelah terlibat sepenuhnya dalam proses rakaman album Inggeris pertama miliknya kini sudah memasuki frasa terakhir.
Rasa cukup bersemangat untuk menghabiskan segera baki kerjanya di London. Seterusnya pulang ke pangkuan keluarga setelah menjadi anak rantau kira-kira enam minggu lamanya.
“Insya Allah, saya akan pulang ke tanah air esok (1 Ogos), sedikit awal dari tarikh yang dijadualkan. Sempat berpuasa sekejap di sini (London) sebelum pulang,” cerita Mila Jirin sewaktu menghubunginya melalui e-mel baru-baru ini.
Pemilik nama Norsyarmilla Jirin terbang ke kota metropolitan itu pada 19 Jun lalu membawa misi besar dalam catatan hidupnya. Kali ini dalam usaha untuk melebarkan lagi sayapnya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa.
Dia mahu menyelesaikan pembikinan album Inggeris tajaan sepenuhnya oleh pihak BGM Music dan MJ Panacea Records yang berpusat di sana.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini turut mengkhabarkan kunjungannya ke negara itu buat kali keempat cukup istimewa. Apabila mempelajari banyak perkara sepanjang menghasilkan album Inggerisnya itu.
Cabaran paling utama melibatkan kredibiliti vokalnya. Mila diminta menyanyi pelbagai jenis genre lagu di hadapan penerbit album yang terdiri daripada Laurence Hobbs, Jamie Seller dan Danis G. Mereka yang berasal dari United Kingdom (UK) dan Scotland ini bertindak sebagai pengkaji kelebihan suara Mila.
Proses itu juga bertujuan bagi membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut jenis genre lagu yang sesuai. Sebab kesemua lagu yang dihasilkan adalah lagu yang dicipta khas buat diri penyanyi Persis Mutiara itu.
“Saya sangat seronok bekerjasama dengan mereka. Di samping menambah kenalan baru, saya diberi peluang melihat cara mereka bekerja.
“Teruja bila akhirnya mereka memberi kepercayaan kepada saya untuk sama-sama mencipta lagu bersama,” sambungnya lagi.
Ditanya bagaimana cara untuk mendapatkan kata sepakat dengan penerbit dalam menghasilkan satu lagu itu, katanya pengalaman merakam lagu di Malaysia banyak membantu dirinya.
Juara program realiti Akademi Fantasi (AF) kelima ini memberitahu bahawa tiada perbezaan mengenai cara kerja penerbit tanah air malah di Eropah.
Bagaimanapun, ada satu perkara yang cukup merisaukan dirinya iaitu cara sebutan.
“Pihak penerbit yang menyedari kelemahan saya itu kemudiannya menyediakan seorang guru vokal untuk memperbetulkan sebutan saya.
“Kalau nak tahu, saya pernah duduk seharian di studio. Dari pagi mulakan sesi rakaman sehingga jam 3 petang. Lepas itu sambung sesi menulis lagu bersama komposer terlibat sejam kemudian.
“Saya pula jenis komited dalam urusan ini sampai ada satu minggu itu, saya terkena demam selesema. Disebabkan teruk, saya diberi cuti seminggu,” dedah wanita bertubuh kecil ini.
Mengulas tentang keistimewaan album Inggeris Mila, anak sulung dari tiga beradik ini memberitahu ia terletak kepada penampilan genre berentak pop dance. Satu lagi taruhan baru buat Mila yang selama ini lebih menjiwai pop rock.
“Saya sangat berharap agar album Inggeris kali ini supaya memberi saya lebih banyak ruang. Paling penting dapat memikat hati peminat muzik dari semua lapisan bangsa di Malaysia.
“Saya dan pihak pengurusan juga berdoa agar album dapat menembusi pasaran baru terutama di UK. Pasaran ini yang paling sukar untuk ditembusi,” ceritanya.
Penyanyi berusia 24 tahun ini juga teruja saat mengulas klip video untuk single pertamanya berjudul BreakDown yang sudah siap penggambaran. Antara lokasi yang dirakam di sekitar kawasan Camden Town, London. Kunjungan Mila bersama pengurusnya, A. Ailis M. Mustapha di bumi Eropah pada di musim panas menjadikan hasil proses rakaman cukup memberangsangkan.
“Saya tak pernah rasa tertekan sepanjang bekerja untuk album kali ini. Jiwa Mila semakin dekat dengan genre pop dance. Tambahan pula, single pertama BreakDown akan dilancarkan di Malaysia dan Itunes untuk pasaran UK dan Eropah tak lama lagi,” katanya lagi.
Selain lagu BreakDown, Mila turut merakamkan 14 buah lagu termasuk Kiss Kiss Kiss, B.O.O.M, Mysterious, Zombie’s, Movie Love dan Cry Yourself. Bagaimanapun, hanya 10 lagu terbaik yang akan dimuatkan dalam albumnya nanti.
Mila yang aktif mencatatkan diari kehidupan di laman sosial Facebook, boleh diikuti menerusi www.facebook.com/milajirinmusic atau di www.twitter.com/mila_jirin. - Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT, Foto KOLEKSI MILA JIRIN.
0 comments:
Catat Ulasan