Ahad, 7 Ogos 2011

Pelantikan Yingluck disah Isnin



BANGKOK 6 Ogos - Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dijangka memberi perkenan kepada Yingluck Shinawatra (gambar) dan mengesahkan pelantikannya sebagai Perdana Menteri baru negara ini, petang Isnin ini.
Sekretariat Parlimen dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Sulit Raja Bhumibol Adulyadej akan membenarkan Speaker Dewan, Somsak Kiatsuranont untuk menerima perkenan raja pada pukul 5.30 petang waktu tempatan Isnin ini di Bangunan Chalerm Phrakiat di hospital Siriraj.
Yingluck hari ini berehat di kediamannya di Bangkok bagi menunggu perkenan itu selepas memperolehi 296 undi daripada ahli Parlimen, semalam untuk dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Abihisit Vejjajiva, hari ini dilantik semula mengetuai Parti Demokrat, parti yang kini menjadi parti pembangkang.
Sehari selepas Yingluck memperolehi kelulusan Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri baru, Parti Demokrat melantik semula Abhisit menjadi pemimpin mereka dalam pemilihan yang tidak berhadapan dengan sebarang tentangan.
"Beliau adalah orang yang paling layak," kata ahli veteran, Marut Bunnag kepada anggota parti lain dalam mesyuarat di Bangkok, sebelum Abhisit memenangi 96 undi dalam pengundian.
Abhisit yang menjadi Perdana Menteri pada Disember 2008 meletak jawatan bulan lalu sebagai ketua Parti Demokrat selepas parti pimpinannya itu tewas dalam pilihan raya umum Thailand pada 3 Julai lalu. - AFP/AGENSI

0 comments: