Jumaat, 5 Ogos 2011

Takbir Cinta lagu dakwah Amy Search


Norhasniza Hassan atau Norish, menyuapkan pulut kuning kepada
suami tercinta, Amy, sambil diperhatikan oleh
anaknya, Alexander Zulkarnain (kanan).

SELAMA 30 tahun bergelar anak seni, Amy Search mengaku dia tidak pernah menghasilkan lagu atau album khas sempena Ramadan.
Bagaimanapun impian Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman untuk menghasilkan lagu berunsur dakwah berjaya direalisasikan sempena Ramadan ini bersama Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 35, pelantun lagu Mimpi Laila.
Bercerita mengenai kerjasama bersama Yassin, Amy berkata, hasrat itusudah lama terpendam cuma tidak berkesempatan untuk berbincang lanjut.
Justeru, sewaktu bertemu Yassin di konsert Maher Zain Oktober tahun lalu, Amy menyatakan hasratnya itu. Tidak lama kemudian terus menghasilkan lagu Takbir Cinta.
"Pertama kali mendengar demo Takbir Cinta saya terus setuju untuk merakamkannya. Namun proses rakaman mengambil masa agak lama. Hampir tiga bulan kerana rakaman dibuat berulang kali sehingga kami puas hati.
"Lagu Takbir Cinta ini istimewa sebab ia khas untuk bulan Ramadan yang mulia ini. Liriknya bertepatan sekali dengan mesej yang ingin disampaikan," katanya Amy.
Menyingkap pengalaman dengan Yasin, Amy berkata, sememangnya dia memilih untuk bekerjasama dengan penyanyi merangkap komposer itu kerana suka dengan elemen world music yang ditampilkan oleh penyanyi nasyid kontemporari itu.
"Satu kepuasan bagi saya apabila bekerja dengan Yasin kerana apa yang saya mahu dia mampu terjemahkannya dengan baik.
"Maka itulah, selain diperdengarkan di corong radio, Takbir Cinta yang berentak balada rock world music itu juga boleh didapati menerusi belian ring back tone," ujar Amy yang berduet dengan Yasin dalam single itu.
Setelah berduet dengan Yasin, Amy kini merancang untuk berduet dengan vokalis kumpulan Dewa, Ahmad Dhani dari Indonesia untuk single dakwahnya yang kedua, Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada.
Apabila ditanya mengapa Ahmad Dhani menjadi pilihan, tanpa teragak-agak Amy berkata: "Saya memang berkawan dengan Ahmad Dhani dan buat masa ini kami menunggu waktu yang sesuai untuk merakamkan lagu tersebut."
Jika Syurga dan Neraka Tak Pernah Ada adalah lagu ciptaan Ahmad Dhani. Rakaman lagu berentak moderate itu akan dilakukan di Indonesia.
Hadiah hari lahir
Tiada apa yang diinginkan oleh Amy sempena hari lahirnya yang ke-53 pada 28 Julai lalu cukup jika Allah memberi kesihatan yang sempurna dan mempermudahkan perjalanan kerjayanya.
Di samping itu Amy juga berdoa agar dia mampu menjadi seorang yang hebat di dunia dan akhirat serta berupaya menambah amalan ibadat dengan lebih tawaduk.
Menurut Amy, dia amat bersyukur kerana selama ini Allah melimpahinya dan keluarga dengan pelbagai rezeki.
"Setiap orang perlu penghijrahan. Sampai bila nak leka dengan duniawi. Bagi saya, semua orang ada fasa dalam kehidupan masing-masing.
"Saya hanya mohon diberikan kesihatan yang baik agar boleh berkarya dan di waktu yang sama memperbanyakkan lagi amalan akhirat," katanya terus terang.
Majlis sambutan hari lahir Amy yang diadakan di Restoran Cheng Ho, Wangsa Maju turut dihadiri rakan-rakan artis, Yasin, Nasir Search, Edrie Hashim, Erul dan Afif.
Dalam pada itu, Amy selaku pemilik restoran itu turut mempromosi bufet Ramadan untuk pelanggan restoran berkenaan.
Katanya, seperti biasa setiap hari lapan menu utama disajikan termasuk kambing panggang pada hari minggu dan barbeku setiap Isnin hingga Khamis.
Lain-lain makanan adalah rendang daging, pari asam pedas, bawal tiga rasa, sup tulang, sup tauhu rumpai laut dan tomyam sup merah.
"Kami menawarkan harga RM43.90 untuk dewasa dan RM20.90 bagi kanak-kanak, dari Isnin hingga Khamis. Kalau Jumaat hingga Ahad, harga dewasa RM46.90 dan RM23.90 untuk kanak-kanak.
"Untuk tempahan boleh layari laman web www.chengho.com.my atau telefon 03-41496094," jelasnya. -Oleh KHADIJAH IBRAHIM, Gambar WAHIDIN SALIM

0 comments: