Rabu, 3 Ogos 2011

Sensasi 2 kuasai malam raya


ALYAH dan Ramlah Ram menyampaikan lagu Hari Raya Hari Bahagia yang pernah dipopularkan kumpulan Ideal Sisters.

MENJELANGNYA bulan Ramadan, stesen televisyen pasti berlumba-lumba mengadakan rakaman rancangan yang akan disiarkan sama ada sepanjang bulan puasa atau pun tibanya hari raya nanti.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga tidak mahu ketinggalan apabila mereka tampil dengan sebuah program ala konsert, Sensasi 2 yang akan ditayangkan menerusi tiga episod.
Episod pertama akan ditayangkan pada Hari Raya pertama, pada pukul 9 malam, episod kedua, pada hari raya kedua dan episod terakhir, pada hari raya ketiga di TV2.
Menggunakan formula gandingan artis baru dan lama yang mempunyai pengaruhnya yang tersendiri di era masing-masing, ia menjadi percaturan yang diharapkan RTM agar audiens tidak berganjak dari kaca televisyen sewaktu menonton Sensasi 2.
Walaupun meletakkan nama-nama besar seperti Ramlah Ram, Alyah, Mas Idayu, Datuk Jeffrydin, Misha Omar dan Tomok, format program berkenaan dilihat tidak banyak bezanya dengan puluhan program berkonsep serupa.
Bersandarkan kepada lagu-lagu hit setiap penyanyi dan beberapa lagu raya kegemaran ramai, program ini mungkin mampu menarik peminat muzik tanah air untuk setia menontonnya selama sejam ia disiarkan.
Dalam mencari kunci Sensasi 2, RTM membuat percaturan mempertemukan penyanyi asal lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram dengan Alyah kerana lagu itulah yang membawa tuah kepada Alyah untuk bergelar Bintang HMI 2000.
Buat pertama kalinya, Ramlah yang menjadi idola Alyah, digandingkan atas satu pentas bersama penyanyi muda itu.
Sebelum rakaman bermula, kedua-dua penyanyi itu melahirkan rasa teruja kerana mereka adalah bintang kelahiran RTM yang diberi kesempatan untuk menjayakan Sensasi 2.
"Kak Ramlah merupakan idola saya dalam bidang nyanyian. Saya sukakan kemerduan dan kelantangan suara yang dimiliki Kak Ramlah.
"Gaya nyanyian yang dipersembahkan menjadi ikutan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki dalam bidang ini, kira-kira 10 tahun lalu.
"Baru sekarang saya berpeluang berpadu suara dengan Kak Ramlah di atas satu pentas," kata Alyah menzahirkan penghargaan kerana diberi peluang berkenaan.
Sementara itu, Ramlah pula menjelaskan, dia suka melihat cara Alyah yang pandai bergaya dan mengenakan fesyen yang bersesuaian dengan imejnya.
"Gaya Alyah atau fesyen yang dipakainya saya lihat, lain daripada yang lain dan itu menampakkan keunikan dia.
"Sebagai penyanyi, Alyah juga tahu itulah yang akan membuatkan dia berjaya menarik perhatian peminat.
"Namun biar apa pun pandangan kita terhadap Alyah, saya secara peribadi kagum dengan kekuatan vokal dia. Bagai saya, vokalnya hebat," puji Ramlah terhadap penyanyi lagu Kisah Hati itu.
Gabungan Dangdut dan pop yeh yeh
SELAIN daripada Ramlah Ram dan Alyah, Sensasi 2 tidak ketinggalan mengundang pelantun lagu Bolehlah Boleh, Mas Idayu untuk bergandingan dengan Datuk Jeffrydin.
Kemunculan dua gandingan mantap itu dapat disaksikan menerusi episod kedua Sensasi 2.
Ketika berpeluang bertemu dengan Mas Idayu yang mesra disapa Ayu, dia berkata, Sensasi 2 harus diadakan setiap tahun untuk memberi ruang kepada artis-artis lama dan baru bersua muka dan berkongsi pengalaman.
"Kadang-kadang kalau kita nak duduk berbual lama-lama, memang susah kerana masing-masing sibuk dengan undangan yang perlu dipenuhi.
"Tetapi apabila ada satu program seperti ini, sekurang-kurang dalam kita sibuk nak bersiap di bilik solekan, bolehlah kita berbual panjang dan bertanya khabar antara satu sama lain.
"Bukan senang nak berjumpa macam ini dan Sensasi 2 atau rancangan mirip kepada program ini harus diteruskan setiap tahun," kata Ayu secara jujur dalam memberikan pendapatnya tentang program Sensasi 2. Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
Gambar HAFIZ JOHARI dan DJOHAN SHAHRIN SHAH

0 comments: