Ahad, 7 Ogos 2011

Tanah tuntuh: 3 rumah tertimbus sepenuhnya


KUALA LUMPUR 7 Ogos — Tiga buah rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, 5.45 petang tadi.
Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brinchang ketika dihubungi Bernama malam ini berkata dua buah rumah lagi yang terletak berhampiran turut mengalami kerosakan, tetapi hanya kerosakan kecil.
Ditanya sama ada tanah runtuh itu disebabkan oleh hujan, beliau berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian berkenaan.
"Mangsa yang cedera telah dikenal pasti sebagai penduduk Orang Asli. Namun, mangsa yang dipercayai terkorban masih belum dikenal pasti identitinya,” kata beliau.
Setakat ini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian itu.
Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
— BERNAMA

0 comments: