Rabu, 3 Ogos 2011

'Kereta hantu' dibida hampir RM1 juta


MICHIGAN 2 Ogos - Dunia automotif kini dipenuhi dengan kereta konsep dan rekaan yang menarik, tetapi kelainan kereta Pontiac sebelum Perang Dunia Kedua ini membuktikan keunikan semulajadi tetap tidak dapat ditandingi.
Kenderaan yang dibuat pada tahun 1939 dan dikenali sebagai Ghost Car ini dilaporkan meraih bidaan akhir sebanyak AS$308,000 (RM909,832) pada lelongan tertutup di Michigan, Sabtu lalu.
Kerangka badan kereta ini dibuat sepenuhnya daripada Plexiglass, bahan yang diperkenalkan pada 1933, hanya enam tahun sebelum kenderaan ini diperkenalkan.
Kenderaan lut sinar yang merupakan kereta pertama seumpamanya dibina di Amerika Syarikat ini mempunyai sejarah yang panjang dan buat pertama kalinya diperkenalkan pada Pameran Dunia New York 1939.
Ia adalah sebahagian daripada pameran General Motors dan direka bagi menunjukkan kenderaan masa depan.
Kos pembinaan asal kenderaan ini ialah AS$25,000 (RM73,850), bersamaan dengan AS$388,000 (RM1.1 juta) jika dipadankan dengan inflasi.
Apa yang lebih menarik, Ghost Car yang mempunyai enjin enam silinder dan 85 kuasa kuda dengan transmisi manual tiga kelajuan ini masih boleh digunakan sama seperti 70 tahun lalu.
Malangnya ia hanya untuk dipamerkan sahaja kerana pendaftaran untuk digunakan di jalan raya adalah sukar ekoran kekurangan maklumat. - AGENSI

0 comments: