CINTA Elia dan Apek akhirnya retak. |
KISAH cinta pemain bolasepak negara, Khairul Fahmi (Apek) dan tunangnya, Elia, mendominasi carta kontroversi minggu ini. Apek berterus terang memberitahu ikatan pertunangannya dengan gadis berusia 22 tahun itu tidak boleh diselamatkan.
Dia dan Elia tidak mungkin bersatu sebagai suami isteri kerana tidak berjodohan. Elia pula mendakwa putusnya cinta mereka angkara orang ketiga.
Banyak yang anggap kes putus tunang Apek dan Elia banyak persamaan dengan kes putus tunang penyanyi Mawi dan bekas tunangnya, Ina, lebih lima tahun lalu. Selepas Mawi popular, Ina ditinggalkan kesepian dan hal yang sama dilakukan Apek kepada Elia.
Cinta Mawi dan Ina, pada saya tak perlulah diungkit kembali. Masing-masing sudah bertemu pasangan hidup dan baik Ina mahupun Mawi sedang berbahagia dengan jodoh mereka.
Kita telah melihat banyak hikmah di sebalik kisah putus tunang Mawi dan Ina dulu dan tidak mustahil hikmah yang sama sedang menunggu Apek dan Elia pada masa depan.
Lebih baik putus tunang daripada berlaku perceraian setelah ke jinjang perkahwinan. Apa yang nyata, Elia bukan lagi menjadi 'pengarang jantung' selepas penjaga gol kebangsaan itu dipuja-puja ramai kerana kehandalannya beraksi di padang.
Benarkah cinta orang seperti Apek sangat mudah goyang? Apakah benar kerana terlebih popular, Apek menjadi 'lupa diri' dan sekaligus melupakan insan tersayang?
Itu hanya persepsi. Bagi saya, Apek membuat keputusan sangat 'lelaki' apabila memilih untuk berterus terang. Bila berasa tidak lagi boleh meneruskan ikatan, dia dengan rendah diri meminta untuk 'memulangkan' semula anak dara orang kepada ibubapanya. Bukan 'menjerat' dan menggantung Elia dalam ikatan pertunangan yang sia-sia tanpa sebarang arah dan tujuan. Apabila kasih sayang sudah hilang, baik dilepaskan, bukan disimpan.
Pun, iktibar dari kes ini boleh kita ambil dan kata orang tua-tua banyak benarnya. Kalau berbuat sesuatu perkara, biar berpada-pada, jangan kita dilihat keterlaluan.
Masih segar dalam ingatan betapa meriah majlis pertunangan mereka. Maaf cakaplah, sampaikan ada yang kata nampak berlebih-lebih sangat, sedangkan itu hanya majlis pertunangan.
Siap ada adegan posing berdua, berpelamin, seperti sudah jadi pengantin baru. Bila sudah jadi kes begini, yang menanggung malu, sudah tentu di pihak perempuan dan juga keluarga. Tambahan pula putus tunang itu dimaklumkan hanya melalui media, darjah 'malu' pun bertambah.
Kepada Elia, saya harap banyakkan bersabar menempuh ujian kehidupan. Allah tidak akan memilih kita untuk diuji kalau Dia tahu kita tidak mampu menghadapinya.
Jadi perempuan kena kuat dan tidak perlu rapuh hanya kerana gagal dalam cinta. Masa depan Elia masih panjang, usah gundah gulana hanya kerana dikecewakan seorang lelaki.
Bangkit dan buktikan suatu hari nanti, Elia mampu mencapai kejayaan jauh lebih gemilang, malah lebih hebat daripada bekas tunang.
Dan sebagai perempuan, lebih baik kita ambil pendirian 'pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak, aku pun tak ingin.' Itu lebih elok daripada kiasan 'perigi mencari timba'. Renung-renungkan dan selamat berpuasa dengan penuh kesabaran. Salam Ramadan!
0 comments:
Catat Ulasan