Ahad, 7 Ogos 2011

Kerja naik taraf KKIA dijangka siap awal 2012


KOTA KINABALU 7 Ogos – Tarikh siap kerja manaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ditunda lagi dan kali ini kepada suku pertama tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kontraktor terbabit telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan, terutama bagi kerja melebarkan landasan sepanjang 2,988 meter dan bahagian laluan pesawat untuk keluar-masuk ke landasan, tetapi tidak berhasil kerana beberapa faktor.
"Kontrktor hadapi banyak kekangan, terutama dalam pembesaran landasan kerana sebahagian daripadanya masih digunakan untuk tujuan berlepas dan mendarat.
"Masa sangat terhad kerana kerja hanya boleh dilakukan selepas tengah malam apabila landasan ditutup,” katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Malaysia Airports Berhad tentang keadaan terkini projek itu di sini, hari ini.
Cho Ha berharap kontraktor terbabit akan melipatgandakan usaha, termasuk mengambil lebih ramai pekerja, untuk memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan itu memandangkan KKIA menerima semakin banyak permintaan daripada syarikat penerbangan antarabangsa untuk terbang ke Kota Kinabalu.
Beliau berkata berikutan permintaan itu, pembangunan lapangan terbang berkenaan, yang telah 89.78 peratus siap pada 31 Julai, kini semakin mendesak kerana ia merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia, selepas KLIA. - Bernama

0 comments: