PERTAMA kali beroperasi sepanjang bulan Ramadan membuatkan pengurusan TV AlHijrah begitu berhati-hati agar segala program yang disediakan memenuhi cita rasa penonton.
Sehubungan itu, sebanyak 17 program baru pelbagai genre dipilih untuk siaran sepanjang bulan Ramadan ini, di mana 70 peratus daripadanya adalah program tempatan dan selebihnya program import.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda berkata, penambahan program dan waktu siaran dibuat bagi memberi pengisian yang lebih bermakna bagi penjadualan rancangan televisyen yang sesuai dengan bulan Ramadan.
Katanya, kebanyakan program yang tersenarai adalah yang terbaik dan sarat dengan mesej keagamaan.
"Program yang dipilih mendapat sambutan baik di negara masing-masing. Antaranya drama bersiri Umme yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pukul 6 petang, merupakan drama pertama Thailand yang berunsur Islam.
"Umme mengisahkan perjalanan kehidupan seorang wanita, ibu, dan balu yang kehilangan suami sewaktu insiden pemberontakan di Thailand" katanya ketika ditemui pada sidang akhbar prebiu program baru TV AlHijrah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Bukhari, selain drama Thailand, pihaknya juga mengimport drama bersiri Iran, Chef, yang turut mendapat sambutan hangat di negara tersebut.
Lain-lain program yang bakal menenemui penonton mulai satu Ramadan adalah Muhasabah Ramadan, Taddarus Al-Quran, Ramadhan Di Australia, Juadah Iftar, Resipi Umi, Jan Jada Wa Jada, One Month Ramadan In Kuala Lumpur, Hostel Ramadan, My Fasting dan Fattabiouni.
Tambahnya, selain menampilkan pelbagai program terbaik, TV AlHijrah juga turut menambah waktu siaran daripada 18 jam kepada 24 jam sehari.
Bagaimanapun penambahan tersebut hanya dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan.
"Hari Isnin hingga Khamis TV AlHijrah tetap bersiaran seperti biasa iaitu dari pukul 12 tengah hari hingga pukul 6 pagi.
"Pertambahan waktu siaran adalah berdasarkan hasrat rancangan yang sesuai dengan bulan Ramadan dalam pelbagai genre dengan kandungan Islam yang kreatif dan menarik, walaupun kami baru berusia kira-kira tujuh bulan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MK Direct Sdn. Bhd., Idris Sheikh Ahmad berkata, program One Month Ramadan In Kuala Lumpur yang dibuat pada 2009 merupakan drama dokumentari tentang Lydia Perr.
Perr, seorang gadis bukan Islam dari New York datang ke Kuala Lumpur untuk merasai pengalaman berpuasa dengan keluarga Idris.
"Idea untuk buat dokumentari itu timbul pada saat akhir. Apabila saya buka borang penyertaan dalam forum pengembaraan Lonely Planet, ia mendapat reaksi daripada ramai orang tapi kebanyakannya Islam.
"Tujuan saya buat program itu untuk memilih orang bukan Islam bagi melalui kehidupan sepanjang Ramadan agar mereka mengubah pandangan terhadap Islam.
"Berdasarkan itu saya memilih Lydia yang bukan Islam dan tidak pernah datang ke Malaysia," katanya.
Bercerita lanjut, Idris berkata, pada minggu pertama, dapat dilihat bahawa Perr masih lagi ada perasaan skeptikal terhadap Islam kerana wanita itu dibesarkan dalam keluarga Kristian yang kuat.
Bagaimanapun katanya, selepas pertengahan Ramadan, pandangan bekas Pakar Perunding Risiko itu berubah dan mula menyedari bahawa Islam tidaklah seburuk yang dipaparkan oleh media barat.
"Saya harap dokumentari ini dapat mengubah pandangan negatif bangsa asing terhadap Islam. Bukan tujuan saya untuk mengajak Lydia memeluk Islam, sebaliknya saya mahu melihat pandangannya terhadap Islam.
"Alhamdulillah, bila dia sendiri merasai pengalaman dalam keluarga Islam, dia dapat bercerita perkara sebenar kepada saudara mara dan sahabatnya di sana. Secara tidak langsung bangsa asing dapat memahami Islam," katanya yang dibantu oleh empat krew. -Oleh KHADIJAH IBRAHIM
0 comments:
Catat Ulasan