Ahad, 7 Ogos 2011

Shera dan Zahiril berkongsi rasa


AKSI istimewa Shera Aiyob dan Zahiril Adzim sebelum melakukan aktiviti paragliding.

Pertama kali diberi peluang untuk mencuba sukan lasak luncur udara atau paragliding, Shera yang juga heroin filem Karak ini menjerit kegirangan kerana dia tidak pernah terfikir akan melakukan aktiviti tersebut.
Bukan itu sahaja, boleh dikatakan kegembiraan Shera itu berganda apabila S3 memberi keistimewaan kepadanya untuk membawa bersama tunangnya, aktor Zahiril Adzim, 27 untuk sama-sama merasakan keseronokan mencuba sukan paragliding.
Seperti mana yang telah dijanjikan, Shera dan Zahiril tiba di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di Bukit Jugra, Banting, Selangor dengan penuh debaran apabila perasaan teruja dan takut bercampur menjadi satu.
"Zahiril adalah pendorong utama saya untuk melibatkan diri dalam apa jua sukan lasak atau ekstrem sebegini.
"Sebelum ini, Zahiril pernah memperkenalkan saya dengan sukan motocross dan ia amat menyeronokkan.
"Jadi, peluang untuk mencuba paragliding tidak akan saya lepaskan begitu saja walaupun sejak dari pagi tadi jantung saya berdegup kencang," jelas Shera yang menampakkan riak ketakutan di wajahnya.
Mendekati pula jejaka kacak Zahiril, hero filem Senjakala itu mengakui, dia agak takut untuk mencuba sukan ekstrem berkenaan.
Tatkala taklimat sedang disampaikan oleh jurulatih Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM), Kapten (B) Mohd. Ikhwan Azillah dan isterinya, Orkid Jamilah Awang, Zahiril yang pada awalnya asyik berceloteh bertukar menjadi pendiam dan cuba menyendiri.
Ujar Zahiril, video yang ditayangkan ketika sesi taklimat agak menakutkan. Apatah lagi, ada di kalangan peserta yang tersangkut di atas pokok gara-gara ketakutan dan tidak bersedia.
"Itu yang membuatkan saya agak gementar untuk mencuba sukan ini. Saya akui, Shera lebih berani berbanding saya," kata Zahiril yang tiba-tiba mahu menarik diri.
Bagaimanapun, atas dorongan tunangnya yang dilihat begitu bersemangat untuk berterbangan di ruang udara Bukit Jugra, Zahiril kuatkan juga langkah kakinya untuk turut serta mendampingi buah hatinya itu.
Lantaran keberanian yang ditunjukkan Shera, gadis itu mendahului tunangnya mempersiapkan diri dengan segala kelengkapan yang diperlukan untuk memulakan misinya merasai nikmat kebebasan seperti burung.
Sejurus semua kelengkapan diperiksa oleh Mohd. Ikhwan, Shera dipimpin oleh bekas anggota tentera udara itu untuk bersiap sedia memulakan larian di lereng Bukit Jugra untuk memastikan daya tujahan angin yang dihasilkan mampu mengembangkan payung yang siap dibentangkan di atas tanah.
Dengan sekali percubaan, Shera sudah berada di awang-awangan sambil jeritan keterujaannya sayup-sayup kedengaran.
Usai mendarat dengan selamatnya, Shera yang masih diselubungi mood teruja dan gembira itu menjerit sepuas hati, simbolik kepuasan yang dicapainya.
"Saya tidak dapat bayangkan keseronokan dengan kata-kata. Cuma saya hanya boleh katakan, ia amat menyeronokkan dan terima kasih kepada S3 kerana memberi peluang ini," komen Shera ringkas mengenai pengalamannya.
Berbalik kepada Zahiril yang menunggu gilirannya, raut wajahnya yang serius sudah cukup menggambarkan betapa gelisahnya dia untuk memulakan larian.
"Kaki saya dah macam konkrit. Keras seperti tidak mahu bergerak. Itu sahaja yang mampu saya katakan sekarang," katanya sebelum memulakan ekspedisinya ke langit biru.
Mujur, tiupan angin yang agak kuat ketika itu membantu kelancaran penerbangan Zahiril yang turut dipimpin oleh Mohd. Ikhwan.
Sama seperti Shera, Zahiril yang pada awalnya diselubungi kegelisahan, melaung kegirangan apabila percubaan pertamanya dianggap cemerlang oleh jurulatih yang memimpinnya.
Justeru, setelah puas menikmati panorama Bukit Jugra yang masih segar diselubungi kehijauan hutan belantara itu dari ketinggian 1,000 kaki dari paras laut, Shera dan Zahiril menjelaskan, pengalaman bersama PLUM adalah momen indah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Tambah Zahiril, sekurang-kurangnya sukan tersebut berjaya membuktikan dirinya bukanlah seorang yang gayat.

(Terima kasih kepada Kapten (B) Mohd. Ikhwan Azillah dan isterinya, Orkid Jamilah Awang serta Persatuan Luncur Udara Malaysia)">

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
Gambar AMIN FARIJ HASAN

0 comments: