Isnin, 18 April 2011

Beg kertas kegilaan


Cukup berbangga dengan khazanah milikannya yang berusia lebih 30 tahun
           Dua beg kertas jenama Royal Copenhagen dan Philippe Charrol diasingkan daripada ratusan yang lain bagi memudahkan sesi fotografi. Bertemankan tiga daripada lima anaknya, menjadikan sesi temuramah malam Jumaat itu begitu riuh rendah sekali.
Tidak sangka wanita bertubuh kecil itu menyimpan khazanah melebihi usia 30 tahun. Beberapa rangkaian jenama syarikat terkenal yang sudah tiada, berada dalam simpanan. Antaranya gedung membeli-belah Mun Long, Hankyu Jaya dan beberapa bank yang telah digabungkan.
Pegawai eksekutif bahagian kualiti perkhidmatan itu juga cukup prihatin mengenai penjagaan asetnya itu. Semuanya dalam keadaan rapi seperti kali pertama dimiliki.
Bahkan disiplin ketat dikenakan andai ada di kalangan anaknya menghampiri kawasan 'larangan' Hilaliyah Mohd. Hanif. Tempat penyimpanan di sebuah tempat di rumahnya.
Mereka hanya dibenarkan melihat dari jauh saja koleksi emaknya. Tidak dibenarkan memegang mahu pun meminjam koleksi ibunya termasuk dibawa ke sekolah.
''Setiap satu beg kertas saya gunakan sehingga lunyai. Biarpun bertahun-tahun lamanya. Sampai pemegang beg itu terkoyak dan tak boleh digunakan lagi,'' katanya bersungguh-sungguh.
Wanita yang mesra disapa Hila itu juga memberitahu bahawa setiap satu koleksi perlu ada set baharu. Barulah dia senang hati nak memakai beg yang baru. Alasannya, dia begitu sayang dan tak mahu tergesa-gesa sebelum membuka 'lembaran' baru.
Itu tidak termasuk dengaran rajuk dan rayu Hila sewaktu mengirimkan pesanan beg kertas andai ada di kalangan rakan atau saudara terdekat keluar negara.
Malahan anak kelahiran Singapura ini menolak andai ditawarkan pakaian sebagai cenderamata. Keutamaan buat beg kertas kerana ia mempunyai nilai tertinggi di sudut hatinya.
Menyelak kembali keistimewaan beg kertas di mata Hila menyebabkan dia menyungging senyuman. Jujurnya, dia memberitahu bahawa dirinya cukup bangga tatkala menyandang satu-satu jenama beg kertas berkenaan.
Perasaan tersebut juga semakin sebati sejak Hila menerima beg kertas pertama daripada makciknya di Singapura. Di kala usianya mencecah 10 tahun, Hila berasa cukup bahagia membawa beg kertas berkenaan ke sekolah.
Lantaran itu, Hila menjadikan momen tersebut sebagai titik awal memutik rasa minatnya terhadap barangan tersebut. Wanita yang pernah dibesarkan di Johor dan Perak ini berazam untuk terus menambah koleksi peribadinya sampai bila-bila.
Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
Foto HAFIZH KHOSMAT


Cukup berbangga dengan khazanah milikannya yang berusia lebih 30 tahun.

0 comments: