Rabu, 27 April 2011

UiTM Kampus Bandaraya diarah bina tembok batu


Gan Tian Loo (kiri) bersama seorang pengawal keselamatan melihat keadaan pagar yang mudah dibolosi penceroboh di asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM Bandaraya, Melaka, semalam.
MELAKA 26 April _ Kerajaan negeri mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya merobohkan pagar dawai di bahagian belakang asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM di sini dan digantikan dengan tembok batu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo berkata, tindakan itu perlu diambil segera bagi memastikan kejadian asrama wanita di situ diceroboh oleh seorang lelaki tidak berulang.
Menurutnya, pemeriksaan pihaknya di sekitar kawasan kediaman pelajar itu mendapati pagar dawai yang sedia ada tidak selamat dan mudah diceroboh.
''Pagar itu juga tidak tinggi dan mudah bagi penceroboh masuk. Keadaan kawasan persekitaran asrama juga sunyi dari pandangan masyarakat kerana pada bahagian belakangnya tidak ada rumah kediaman lain," katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar asrama Kolej Siswi Tun Mutahir UiTM, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya mengadakan pemeriksaan di asrama wanita terbabit ekoran kejadian yang menimpa salah seorang pelajar wanita di situ yang dirogol dan disamun oleh seorang lelaki berusia 22 tahun minggu lalu.
Bagaimanapun, lelaki terbabit dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Kata Tian Loo, kerajaan negeri juga meminta pihak pentadbiran asrama menambah lagi jumlah pengawal keselamatan di samping menyediakan loceng kecemasan jika berlaku kejadian jenayah di sekitar kawasan asrama.
Menurutnya, selain tumpuan keselamatan di asrama Kolej Tun Mutahir, pihaknya juga akan memantau perkembangan yang sama di semua asrama kediaman pelajar di negeri ini.
Sementara itu, seorang pelajar asrama Tun Mutakhir yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 22, berkata, selepas kejadian itu, dia dan rakan yang lain turut trauma.
''Kejadian yang berlaku tetap berlaku, jadi sebagai pencegahan kami hanya mampu memastikan semua pintu sentiasa dikunci rapat," katanya.

0 comments: