PADA hari ini, antara sebab remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya adalah kerana para remaja tidak memiliki rasa berdosa terhadap sesuatu yang dilakukan. Rasa berpahala yang tinggi menjadi dorongan yang kuat bagi remaja kerana proses pembentukan watak remaja sebagai orang yang berpahala bakal menjadikannya orang yang dewasa dahagakan pahala juga. Remaja yang lazim melakukan dosa akan terbiasa dengan perbuatannya dan apabila melakukan dosa, remaja menganggap ia perkara biasa. Perkara biasa itu apabila terus diamalkan ia bakal membentuk wataknya sehingga dewasa. Oleh itu, para remaja harus mendidik dirinya supaya memiliki sifat berpahala kerana ia merupakan amal yang boleh berlaku dengan mudah. Menegur sapa orang tua dan berumur dengan panggilan 'pakcik' atau 'makcik' adalah berpahala. Membuang sampah di laluan orang ramai, ia amalan yang berpahala. Membantu orang yang susah dan memerlukan pertolongan adalah perbuatan berpahala. Menaiki kenderaan dengan mematuhi peraturan jalan raya juga memberikan pahala kepada remaja. Pokoknya, pahala itu terdapat di mana-mana asal sahaja di hati remaja sentiasa mengharapkan pahala itu adalah suatu bentuk dorongan untuk remaja melakukan kebaikan pada diri dan orang lain. Remaja yang merasa tidak berdosa akan melakukan keburukan adalah remaja yang mati rasa. Mati rasa bermaksud hilang kepekaan kepada diri seseorang tentang halal haram sesuatu perkara, buruk baik sesuatu perbuatan dan tidak melihat bahawa kebaikan yang dilakukan terhadap diri dan orang lain membawa manfaat besar kepada remaja suatu hari nanti. Katakanlah remaja bakal menjadi dewasa dengan kelaziman melakukan hal-hal yang berdosa, kemudian mendirikan rumah tangga, isteri dan anak-anak bakal menerima padah daripada kelaziman tabiat ibu bapanya. Ibu bapa akan gagal menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Anak-anak bakal terpengaruh dengan pekerti ibu bapanya. Bayangkan ia jika diatasi akan anak cucu dan cicit bakal mewarisi golongan -orang yang terdahulu daripadanya. Sebab itu penting bagi remaja memulakan kehidupan dengan membina perasaan berpahala dan rasa berdosa yang tinggi supaya remaja mempunyai pedoman dan bimbingan nilai-nilai yang baik sejak kecil. Apabila tabiat rasa berpahala ini menjadi darah daging dalam tabiat seseorang remaja ia adalah petanda yang baik untuk hari depan. Saidina Ali memberi gambaran corak generasi dan kepimpinan umat masa depan terlihat dengan pekerti anak-anak masa kini. Jika anak-anak remaja menggila budaya popular juga pengaruh teknologi komunikasi yang merosakkan, ia bakal cenderung terhadap kebatilan. Jika ini berlaku, kerosakan bakal terjadi terhadap kepimpinan dan kepengikutan umat Islam pada masa depan. Oleh sebab itulah Saidina Umar Al-Khattab berpesan agar kita mendidik remaja mengikut kesesuaian zamannya. Ia bermaksud zaman kini perubahan dalam bidang pemikiran Islam, budaya Islam dan cara hidup Islam sering terhubung dengan kemurnian akidah, resam syariat, kekuatan ibadah yang dilakukan terhadap para remaja. Ia bakal menghasilkan remaja budiman yang berlumba-lumba ingin melakukan kebaikan dan kemakrufan. Remaja beginilah yang nantinya bakal memimpin umat dan mampu menawarkan jawapan kepada cabaran umat pada masa kini dan masa depan. Membuat baik kepada diri dan orang lain kerana mengharapkan pahala semata-mata tidaklah salah kerana sebagai manusia yang banyak kesalahan, pahala menjadi ganjaran dan dorongan melakukan kebaikan. Rasa berpahala mendorong remaja untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dalam hidup. Apabila rasa berpahala sudah sebati dalam hidup remaja dan setiap amalan yang dilakukan adalah kerana mencari keredaan Allah semata-mata, maka remaja akan menjadi orang yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dan tuntutan syariat.
sumber
0 comments:
Catat Ulasan