Rabu, 27 April 2011

Status bujang punca ditolak


KUALA LUMPUR 26 April - Permohonan seorang ibu tunggal, Ramlah Abdul Rahman, 55, untuk mendapatkan rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) ditolak atas faktor dia berstatus "bujang".
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sukiman Surahman berkata, untuk memohon rumah PPR, seseorang itu mestilah berkelayakan dari segi pendapatan, berkahwin serta mempunyai tanggungan.
"Kita memang ada rekod permohonan daripada Ramlah tetapi terpaksa ditolak kerana dia menyatakan statusnya bujang dan tinggal bersama adik dan bukannya sebagai ibu tunggal yang mempunyai tanggungan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai nasib seorang ibu tunggal yang sudah lima tahun memohon rumah PPR, namun masih tidak diluluskan.
Laporan tersebut menceritakan bahawa Ramlah tinggal bersama adik dan dua orang anak adiknya di tapak gerai tempat dia berniaga yang merupakan tanah simpanan milik UDA Holdings.
Namun begitu, dia sudah diberikan notis untuk berpindah dari tapak itu selewat-lewatnya pada 1 Mei ini dan keadaan itu amat membimbangkannya kerana masih tidak memiliki tempat berteduh.
Mengenai permohonan adik Ramlah, Mohamad, Sukiman berkata, permohonan yang dibuat oleh Mohamad pula akan diproses.
"Jika dia layak untuk mendapatkan PPR ini, maka pihak DBKL akan meluluskan permohonan itu," katanya.
Beliau berkata, Ramlah disaran supaya membuat permohonan semula kerana dia merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan.
"Kalau dia membuat permohonan berasingan dengan adiknya, maka masing-masing boleh mendapat rumah atas nama sendiri," ujarnya. 
Oleh NUR NAZLINA NADZARI

0 comments: