Rabu, 27 April 2011

SITI NORDIANA: Rayyan peneman waktu senggang


SETELAH pemergian Allahyarham Faizal Yusup dan Allahyarham Achik Spin, dua insan yang begitu rapat dengan pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran, Siti Nordiana Alias atau Nana mengakui, dirinya agak sepi.
Namun, kehadiran Muhammad Rayyan Nakhaie, 3, anak hasil perkahwinan bersama arwah Faizal sedikit sebanyak mampu menjadi peneman kesepian Nana di kala sunyi.
Jika mempunyai kelapangan, Nana sering membawa Rayyan ke pusat membeli-belah untuk membeli permainan permata hatinya itu.
"Itulah aktiviti yang selalu arwah bapanya lakukan ketika mereka keluar bersama.
"Untuk mengelakkan Rayyan terasa kehilangan bapanya, saya sering membawanya membeli permainan kesukaannya.
"Pada masa yang sama, saya boleh luangkan masa berkualiti bersama Rayyan setelah sibuk dengan karier seni," jelas Nana ketika bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini.
Rayyan suka karaoke
SELAIN gemarkan permainan seperti robot dan kereta mainan, ia sesuatu yang menarik apabila Rayyan cukup menggemari aktiviti berkaraoke.
"Seronok melayan keletah Rayyan walaupun ia memenatkan. Sekurang-kurangnya, ia satu senaman buat saya apabila selalu mengejarnya ke sana-sini," seloroh Nana sambil tertawa.
Sekalipun usianya masih kecil, Nana memberitahu, Rayyan cukup suka apabila dibawa ke pusat karaoke.
Kata Nana, walaupun anaknya itu tidak pandai berkata-kata apatah lagi menyanyi, kerenahnya yang cukup aktif di pusat karaoke jelas membuktikan Rayyan begitu seronok.
"Lazimnya, akan ada seorang kawan yang menemani kami berkaraoke.
"Sekiranya salah seorang antara saya atau kawan sedang menyanyi, Rayyan akan melompat-lompat seakan-akan menari mengikut rentak lagu yang sedang dinyanyikan.
"Bagaikan tidak mengenal erti penat, Rayyan akan terus menari selagi muzik berkumandang," terang Nana yang muncul dengan album terbarunya berjudul Semakin Jelas terbitan syarikat rakaman FMC.
Ternyata, Rayyan umpama bintang yang menyinari hidup Nana setelah insan-insan yang pernah akrab dengannya suatu ketika dahulu pergi meninggalkannya buat selamanya.
Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM
akhbar

0 comments: