Rabu, 20 April 2011

'Dania' tarikan pelajar sekolah


PENGACARA majlis, Jaimi banyak menemu bual Scha bagi berkongsi pengalaman pelakon itu bersama para pelajar sekolah tersebut.
           PELAKON Scha Alyahya boleh berbangga dengan watak Dania yang dilakonkannya dalam drama bersiri Awan Dania kerana populariti watak itu bukan setakat menjadi sebutan di kalangan penonton remaja dan dewasa.
Malah, nama pelakon berusia 28 tahun ini juga meniti di bibir kalangan pelajar sekolah rendah yang cukup mengenali watak lakonannya itu dalam drama bersiri yang disiarkan menerusi Astro Ria setiap Isnin pukul 9 malam.
Populariti Scha itu dapat dilihat sewaktu dia menjayakan Kempen Sekolahku Hebat anjuran Astro Ceria di Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor yang mempunyai hampir 1,500 pelajar baru-baru ini.
Menurut pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, dia berasa terharu dan lebih bersemangat apabila kebanyakan pelajar sekolah itu mengenali watak Dania, sekali gus memudahkannya menjayakan kempen tersebut.
"Ini adalah kali pertama saya terbabit dalam kempen seumpama ini. Kempen ini berbeza kerana pendekatannya tidak meliputi bidang akademik atau melalui aktiviti dalam bilik darjah bersama guru semata-mata.
"Sebaliknya, ia merupakan kaedah menarik ke arah menjana pemikiran dan idea kreatif para pelajar. Apabila ramai pelajar mengenali saya, maka saya rasa lebih mudah untuk menjayakan kempen pada hari ini," katanya.
Awan Dania yang mengisahkan tentang kehidupan pramugari dan telah memasuki musim ketiga itu kata Scha turut dijadikan sebagai bahan tarikan dalam kempen itu yang mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan.
Pada kempen yang menggunakan pendekatan pendidikan di luar kelas yang dirakamkan Astro Ceria itu, dia berkongsi pengalamannya dalam bidang muzik, alam sekitar, isu-isu sosial dan pengalamannya sebagai artis popular tanah air.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Sungai Lalang, Sungai Petani ini berkata, biarpun pertama kali turun ke sekolah bagi menjayakan kempen seumpama itu, tetapi dia tidak berasa kekok atau membuang masanya yang sentiasa sibuk.
Sebaliknya, kesibukan mengikuti penggambaran drama dan filem di lokasi tidak membataskan ruangnya dalam memberi sumbangan terutama pengalamannya sebagai bekas pelajar dan artis untuk dikongsi dengan para sekolah itu.
"Ini adalah salah satu peluang saya untuk merapatkan hubungan saya dengan para peminat daripada kalangan pelajar sekolah rendah. Mereka bukan sahaja dapat berjumpa secara lebih dekat dengan saya.
"Tetapi pada masa sama, saya berpeluang menggunakan populariti saya bagi memberi semangat motivasi kepada mereka supaya tekun belajar. Saya selalu kata, kalau mahu jadi artis sekalipun biarlah selepas tamat belajar," ujarnya.
Kempen Sekolahku Hebat yang dirakamkan 24 episod dan telah memulakan siarannya sejak 4 April lalu setiap hari pukul 2.25 petang di Astro Ceria (saluran 611) turut mendapat sokongan daripada beberapa badan koporat.
Bersama pengacara Neolofa yang merupakan juara pertandingan Dewi Remaja 2010, Scha yang juga merupakan bekas pramugasi turut berinteraksi bersama para pelajar sekolah yang disertai pelbagai bangsa itu.
"Scha bukanlah satu-satunya artis tetapi sebelum ini Erra Fazira, Lisa Surihani dan Jimmy Shanley juga telah menjayakan kempen ini di beberapa sekolah termasuklah Melaka, Kuching dan Seremban sejak Januari lalu.
"Saya gembira kerana diberi peluang berkongsi pengalaman saya dengan para pelajar tetapi pada masa sama turut berpeluang mempromosikan filem terbaru lakonan saya berjudul Awan Dania The Movie," ujarnya lagi.
Sewaktu kempen yang diadakan selama hampir empat jam itu, Scha yang merupakan artis eksklusif naungan Astro Entertainment Sdn. Bhd., turut menyertai aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar sekolah terbabit.
Rakaman daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan itu akan disiarkan melalui rancangan Sekolahku Hebat siaran Astro Ceria di mana Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku salah satu sekolah yang dipilih untuk menjayakan rancangan itu.
Sejak Januari lalu, sebanyak tujuh sekolah telah dilawati beberapa selebriti lain seperti Lisa Surihani dan Jimmy Shanley yang menyertai kempen itu di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruang, Melaka pada 28 Mac lalu.
Sementara, Shahir (Akademi Fantasia 8) pula menjayakannya di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Thomas, Kuching pada 21 Mac lalu dan Erra Fazira pula di Sekolah Menengah King George V, Seremban pada 4 April lalu.
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD ARIF RAMELI
sumber: akhbar

0 comments: