Rabu, 20 April 2011

Bob Tutupoli kembali ke Malaysia


SURIANI dan Rizal Johan Van Geyzel di hadapan bunting Minggu Setiausaha bersama Bob Tutupoli yang bakal diadakan di Hotel The Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.
LAGU malar segar Widuri sekali lagi akan berkumandang di ibu kota apabila penyanyi asalnya, Bob Tutupoli bertandang ke negara ini pada 27 April ini bagi menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Bob yang menetap di Jakarta, Indonesia diterbangkan khas ke ibu kota bagi menghiburkan para setiausaha dan peminatnya dalam satu majlis makan tengah hari di hotel bertaraf lima bintang itu.
Ketika majlis sidang akhbar yang diadakan di hotel berkenaan baru-baru ini, Pengurus Perhubungan Awam Hotel The Royale Chulan, Datin Suriani Abdul Rahman berkata, persembahan yang diberi nama An Afternoon of Memorable 70's Classics With Bob Tutupoly itu bertujuan mengembalikan nostalgia peminat penghibur itu di Malaysia.
"Setakat ini, jualan tiket untuk persembahan bintang legenda negara jiran itu laris walaupun sidang akhbar belum diadakan.
"Tambah menarik apabila tempahan tiket tersebut bukan sahaja datang dari kalangan majikan dan setiausaha, bahkan peminat setianya juga tidak mahu ketinggalan menyaksikan persembahannya," kata Suriani yang juga penyampai Berita Nasional , TV1 itu.
Dalam pada itu, menurut Suriani, selain menonton persembah klasik Bob, peminat juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang akan dicabut oleh penyanyi itu sendiri.
Antaranya ialah tiket penerbangan pergi dan balik ke London berserta penginapan di Holiday Villa, London, tiket penerbangan pergi balik ke Bali, Pnomh Penh, Kota Kinabalu dan Kuching.
Tidak ketinggalan, set barangan kemas berjenama turut ditawarkan buat pemenang bertuah.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Perhubungan Awam Hotel The Royale Chulan, Rizal Johan Van Geyzel.
Sementara itu, Bob yang dihubungi di Jakarta menerusi panggilan telefon memberitahu, dia amat berbesar hati apabila mendapat undangan daripada pihak hotel berkenaan.
Ujarnya, peluang untuk mengadakan persembahan eksklusif selama sejam sememangnya dinanti-nantikan setelah sekian lama tidak bertandang ke negara ini.
"Malaysia umpama rumah kedua saya. Saya begitu selesa berkunjung ke sana (Malaysia) kerana tiada batasan bahasa.
"Jadi, tidak berlaku masalah komunikasi serta saya tidak canggung. Lebih gembira apabila peminat dapat sama-sama menyanyikan lagu-lagu saya.
"Ia adalah tanda penghormatan terhadap perjuangan seni saya," jelas Bob.
Bagi yang berminat untuk menyaksikan persembahan Bob Tutupoli boleh menghubungi talian 03-26889688 atau melayari laman web http://www.theroyalechulan.com.my/

0 comments: