Rabu, 27 April 2011

Rumah mampu milik dibina di kawasan strategik


KUALA LUMPUR 26 April - Kerajaan akan memastikan semua rumah mampu milik yang dirancang tidak akan dibina di kawasan kurang strategik seperti di tempat-tempat terpencil.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata, dalam usaha itu, kementerian akan mengambil kira faktor keperluan asas iaitu kemudahan hubungan, bekalan air dan elektrik.
"Sebenarnya rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan negeri atau Persekutuan itu akan melalui kajian awal tentang lokasi, kemudahan prasarana seperti jalan raya, elektrik dan air terlebih dahulu.
"Kita tidak akan membina rumah mampu milik di kawasan terpencil kerana kita tahu ia tidak akan dibeli dan disewa oleh bakal pembeli," katanya ketika menjawab soalan Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Nor Hayati meminta penjelasan apakah kerajaan sedar tentang banyak rumah kos rendah kini dibina di kawasan kurang strategik sehingga menyebabkan lambakan rumah tidak terjual di kawasan berkenaan.
Lajim berkata, kementerian menyedari bahawa rumah mampu milik sering dilabelkan sebagai rumah orang miskin dan bagi menanganinya, kerajaan akan memastikan reka bentuk setiap rumah yang dibina adalah lebih menarik dan moden.
Menurut Lajim, dalam usaha memodenkan rumah mampu milik, kementerian turut memastikan setiap rumah akan dibina landskap dan panorama yang menarik selain taman untuk kanak-kanak.
"Sehingga kini, sebanyak 83,376 unit rumah mampu milik dibina di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 63,166 telah disiapkan dan sejumlah 15,800 masih dalam pembinaan.
"Sementara itu, 4,410 unit masih dalam perancangan dengan pembinaannya dijangka bermula selewat-lewatnya pada Julai nanti," kata beliau.
akhbar

0 comments: