Rabu, 27 April 2011

Ekspo Perdagangan dan Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah Jumaat ini


ALOR SETAR 26 April - Lebih 30,000 orang dijangka menghadiri Ekspo Perdagangan dan Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini yang berlangsung selama dua hari mulai Jumaat ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan ucaptama pada Sabtu ini sempena perhimpunan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah itu.
Yang Dipertua Perkasa negeri, Syed Osman Mansor berkata, program berkenaan yang bertemakan 'Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia' merupakan rentetan daripada dua perhimpunan sama dianjurkan pertubuhan berkenaan di Pasir Mas, Kelantan dan Pasir Salak, Perak sebelum ini.
Katanya, matlamat utama program ialah untuk memupuk semangat perpaduan yang kukuh di kalangan orang Melayu khususnya di negeri ini tanpa mengambil kira ideologi dan politik kepartian.
"Perkasa sedar dalam usaha menyatupadukan orang Melayu, usaha mendekati mereka amat perlu. Bagi menarik perhatian dan minat mereka, satu mekanisme perlu diadakan.
"Program seperti ini adalah antara kaedah terbaik bagi merapatkan mereka. Kami menjemput seramai mungkin pengunjung menghadirinya," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran program berkenaan di sini semalam.
Hadir sama, Timbalannya, Zahran Abdullah dan Pengerusi Perkasa Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail yang juga pengerusi penganjur program itu.
Syed Osman berkata, menerusi perhimpunan berkenaan, Perkasa berharap pertubuhan itu tidak hanya dikenali sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi sebagai wadah perjuangan bagi membela nasib dan masa depan bangsa.
Menurutnya, program kali ini menampilkan kelainan kerana ia bukan sekadar perhimpunan tetapi turut mengadakan ekspo yang bakal disertai oleh 100 usahawan bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.
Bagi memeriahkan program itu, pelbagai aktiviti menarik yang berkonsepkan kekeluargaan disediakan sepanjang dua hari berlangsung, antaranya pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, nyanyian lagu irama Melayu, pertunjukkan Muay Thai dan seni silat serta pertandingan mendeklamasikan sajak. 

0 comments: