Isnin, 25 April 2011

Pertandingan nyanyian warga emas


NORA dan Sohaimi Mior Hassan akan menjadi juri Kilauan Emas.
SEBAGAI saluran televisyen berbayar, Astro melalui saluran Prima sentiasa berusaha memenuhi citarasa para penonton seperti menganjurkan pertandingan nyanyian yang dikhususkan untuk peserta berusia 45 tahun ke atas.
Tidak keterlaluan jika dikatakan pertandingan nyanyian yang diberi nama Kilauan Emas itu bukan sahaja untuk golongan tua, malah ia juga mampu mencetuskan fenomenanya sendiri kerana ia julung-julung kalinya diadakan oleh stesen televisyen.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata pertandingan itu bukan setakat mempelbagaikan pertandingan nyanyian tetapi ia juga bertujuan memberi peluang golongan peserta terbabit dalam bidang nyanyian.
"Biasanya pertandingan nyanyian menghadkan umur pesertanya daripada 18 tahun hingga 45 tahun. Tetapi kali ini ruang itu dibuka lebih luas di mana semakin ramai peserta boleh menyertainya biarpun ia dalam kategori dewasa.
"Kilauan Emas merupakan testimoni saluran ini dalam menawarkan program-program hiburan beraneka genre dan format untuk tontonan para penonton saluran ini," katanya pada pelancaran prtandingan itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rancangan itu yang akan memulakan sesi uji bakatnya mulai 7 Mei hingga 29 Mei ini di Johor Bahru, Kuantan, Shah Alam dan Pulau Pinang itu turut menyediakan dua pengkritik tetapnya iaitu penyanyi Sohaimi Mior Hassan dan Nora.
Kilauan Emas yang menyediakan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juaranya, RM15,000 (naib johan) dan RM10,000 (tempat ketiga) kata Nizam secara tidak langsung turut mengambil kira bakat golongan tua dalam bidang nyanyian.
Sesuai dengan kalangan peserta golongan tua dalam Kilauan Emas, lagu-lagu yang diwajibkan pada pertandingan itu juga terdiri daripada lagu-lagu retro yang pernah popular pada era tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.
Antara lagu yang akan dinyanyikan oleh para peserta berjudul Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu (Ramlah Ram), Di Persimpangan Dilema (Nora), Seri Dewi Malam (Sharifah Aini), Gerhana (Kembara) dan Widuri (Broery Marantika).
Lagu-lagu lain yang turut disediakan berjudul Ku Pendam Sebuah Duka (Khatijah Ibrahim), Sampaikan Salam Cintaku (Alleycats), Epilog Cinta (Sohaimi Mior Hassan), Akhirnya Kini Pasti (Anita Sarawak) dan Sejati (Wings).
Pertandingan yang mengangkat para pemenangnya 100 peratus atas pilihan para juri itu mengambil kira mutu suara peserta dan persembahan.
"Memandangkan mereka (peserta) terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas, kami tidak menitik beratkan soal imej kerana mereka bukannya seperti anak-anak muda yang lebih mempunyai ruang untuk berfesyen.
"Sebaliknya, apa yang diberi keutamaan ialah daripada segi vokal dan persembahan," katanya.
Sementara itu, penyanyi Sohaimi Mior Hassan sebagai seorang pengkritik Kilauan Emas, berkata, dia mengambil kira soal umur dan kesesuaian kritikan terhadap para peserta sebelum menghamburkan apa-apa juga kritikan pada pertandingan tersebut.
Penyanyi berusia 54 tahun itu seakan-akan memahami sensitiviti para peserta yang sudah berusia dan cuba mengelakkan kontroversi selain tidak mahu mereka berkecil hati dengan kritikannya.
"Saya juga hampir mencecah ke usia emas, jadi saya faham akan rasa sensitif golongan ini apabila mereka dikritik terutamanya di hadapan orang ramai," katanya.
Sementara itu, Nora tidak berasakan Kilauan Emas sebagai suatu pertandingan yang harus terikut-ikut dengan program realiti nyanyian lain yang lebih difokuskan untuk golongan muda daripada segi imej dan persembahan.
Sedangkan katanya, dalam apa-apa juga pertandingan nyanyian perkara yang paling diutamakan ialah suara dan bakat menyanyi yang mampu mencetuskan sensasinya sendiri.
"Bagi saya yang paling utama ialah persiapan para peserta daripada segi vokal dan persembahan. Sebagai peserta yang sudah berusia bukan fesyen atau penampilan yang harus diutamakan tetapi kesesuaian sewaktu menyanyi," komennya.
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN
sumber

0 comments: