Rabu, 20 April 2011

Misteri cinta dan seram Senjakala


SERIUS... Ahmad Idham (bertopi) memberikan arahan kepada pengarah fotografi, Raja Mukhriz Raja Kamaruddin (baju hijau) untuk mencari shot terbaik sewaktu penggambaran filem Senjakala di Bukit Cahaya Seri Alam, Shah Alam, Selangor.
SENTUHAN untuk filem seram pertama arahannya, Jangan Pandang Belakang (2007) telah mencetus fenomena luar biasa sehingga berjaya mencatatkan kutipan melebihi RM6 juta.
Bermula detik itu, Ahmad Idham Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Ahmad Idham telah dilihat sebagai pengarah yang memiliki sentuhan tersendiri dalam genre seram.
Selepas Jangan Pandang Belakang, Ahmad Idham meneruskan legasi filem-filem seramnya dengan tiga karya lain iaitu Congkak (2008) serta Niyang Rapik dan Damping Malam (2010).
Kesemua filem itu mencatatkan kutipan pecah panggung walaupun tidak sehebat Jangan Pandang Belakang.
Tidak mahu dianggap sebagai pengarah stereotaip dalam menghasilkan filem seram, Ahmad Idham menyuntik kelainan menerusi karya terbarunya, Senjakala yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Bukan hanya menampilkan elemen seram semata-mata, perubahan yang ditonjolkan oleh Ahmad Idham kali ini adalah memasukkan elemen cinta.
Bertemu dengan pengarah prolifik ini usai majlis pratonton filem tersebut di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Ahmad Idham sememangnya mahu menarik perhatian golongan remaja untuk menonton filem Senjakala.
Mempertaruhkan dua pelakon muda berbakat besar, Zahiril Adzim dan Liyana Jasmay, Ahmad Idham memberitahu bukan mudah untuknya menghasilkan Senjakala.
Tidak mahu lagi mengulangi formula yang sama seperti sebelum ini, Ahmad Idham perlu mencari penonton baru untuk datang ke pawagam menonton Senjakala.
Ditambah pula dengan kejayaan filem Khurafat arahan Syamsul Yusof yang mencatatkan kutipan sehingga RM8 juta menyakinkan Ahmad Idham bahawa remaja merupakan golongan utama yang membanjiri pawagam lewat ini.
"Kalau saya hendak mengulangi formula seperti Jangan Pandang Belakang atau Congkak, barangkali penghayatan itu sudah tidak lagi relevan kepada penonton.
"Mereka yang menonton filem itu dahulu pun sudah meningkat usia dan pastinya, mereka mahukan sesuatu pembaharuan dalam filem bercorak begini.
"Seperti mana filem Damping Malam, saya akui kutipan tidak begitu hebat tetapi bagi saya, ia merupakan naskhah yang bagus kerana intipati ceritanya. Mungkin filem itu tidak begitu dekat di hati penonton muda tetapi diterima baik oleh penonton yang berkeluarga.
"Saya telah melakukan kajian dari sudut pola penonton. Jadi, menerusi Senjakala, saya menyuntik kesegaran dari sudut penceritaan dan elemen cinta yang bukan klise seperti mana yang sudah ditonton sebelum ini," kata Ahmad Idham dalam nada bersungguh.
Atas alasan itu jugalah, dia mempertaruhkan Zahiril dan Liyana sebagai teraju utama filem ini dalam usahanya menarik perhatian remaja menonton Senjakala di pawagam.
Melihat kepada premis filem Senjakala itu sendiri, tidak salah dikatakan jika ia seolah-olah mengambil inspirasi filem Twilight terutama dari aspek percintaan antara watak Armand (Zahiril) dan Karlisa (Liyana).
Percintaan antara dua insan berlainan latar belakang dan penuh misteri itu pastinya membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah sebenarnya hubungan Armand dan Karlisa itu.
Cuma bezanya, Twilight menyaksikan percintaan antara manusia dan pontianak tetapi elemen cinta dalam Senjakala membabitkan sepasang kekasih yang berdepan dengan masalah ilmu saka.
"Saya tiada masalah dengan Zahiril dan Liyana kerana mereka tahu apa yang saya mahu untuk filem ini. Malah, keserasian mereka juga terbentuk dengan mudah sekali.
"Biarpun kali pertama saya bekerja dengan Zahiril, dia faham dengan kehendak saya sebagai seorang pengarah dalam membina karakter Armand itu sendiri," katanya sambil menangkis dakwaan yang mengatakan Zahiril dieksploitasi gara-gara tampil tidak berbaju dalam beberapa adegan filem ini.
Senjakala yang menelan belanja RM1.7 juta itu mula ditayangkan sejak 14 Mac lalu itu turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Faezah Elai, Ruminah Sidek, Roslan Saleh, Aida Aris, Erin Malek, Kamal Adli, Zed Zaidi dan ramai lagi.
Bukan itu saja, Senjakala juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila proses adunan bunyi telah dilakukan sepenuhnya di Studio Digital Mixstage Finas dengan menggunakan kepakaran anak tempatan.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ihsan EXCELLENT PICTURES
sumber: akhbar

0 comments: