KUALA LUMPUR 26 April - Tanggapan segelintir masyarakat terutamanya golongan korporat yang hanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai melambangkan kemajuan harus dibuang dari pemikiran golongan itu.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, golongan itu sebaliknya harus memandang tinggi bahasa Melayu kerana ia melambangkan jati diri rakyat negara ini dan kemajuan yang dikecapi oleh negara sejak berkurun lamanya.
"Mereka beranggapan bahawa menggunakan bahasa Inggeris melambangkan golongan elit, tanpa mengetahui bahawa bahasa kita (bahasa Melayu) adalah antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai segelintir rakyat di negara ini yang memandang remeh bahasa Melayu dan berasa malu untuk bertutur di khalayak ramai seolah-olah ia bukan bahasa kebangsaan.
Muhyiddin berkata, rakyat seharusnya lebih yakin menggunakan bahasa Melayu yang kini antara bahasa paling unggul digunakan di serata dunia.
Jelas Termuzi, rakyat terutamanya pelajar perlu disemai dengan perasaan cinta dan setia kepada bahasa Melayu bagi melahirkan generasi yang patriotik seterusnya menjadi pelapis kepada pejuang bahasa Melayu pada masa akan datang.
"Justeru itu, peranan orang ramai turut penting bagi menjamin penggunaan bahasa ini diutamakan seperti penduduk negara Perancis, Jepun dan China yang sangat sayangkan bahasa ibunda mereka," ujarnya.
Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar pula menyarankan kerajaan supaya memastikan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa dimantapkan supaya masalah seperti itu tidak berulang lagi.
Tambahnya, jawatankuasa tersebut harus menjadi 'mata dan telinga' yang sensitif dengan perubahan masa dan teknologi yang menyumbang kepada kebanyakan kesalahan dan tanggapan negatif terhadap bahasa Melayu pada masa kini.
"Selain itu, semua pihak juga perlu peka dengan perkembangan di sekeliling kita supaya amalan mengutamakan bahasa Melayu ini menjadi budaya kita semua," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta) Dr. Mahadi J Murat mencadangkan supaya diwujudkan program penguasaan bahasa Melayu 'tinggi' di peringkat masyarakat bagi memupuk perasaan bangga terhadap bahasa tersebut.
"Usaha meluaskan penggunaan bahasa Melayu tinggi sepatutnya menjadi inisiatif persatuan dan badan berkaitan bahasa supaya bahasa tersebut popular dan berkembang pesat," katanya lagi.
Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM
akhbar
0 comments:
Catat Ulasan