Ahad, 24 April 2011

Remaja dan kesedaran berpahala


KESEDARAN berpahala adalah sifat rohaniah murni yang meletakkan remaja yang mampu membezakan yang baik dengan yang buruk terhadap percakapan dan amalan.
Rasa berdosa juga adalah sifat yang sentiasa menghubungkan diri dengan Allah. Ia subur dalam diri remaja yang mampu membezakan makruf dan mungkar, dosa dan pahala, baik dan buruk akan sesuatu.
Al-Quran dalam surah Al-Hujurat ayat ke 13 memberi pedoman manusia yang terbaik di sisi Allah adalah orang yang memiliki rasa ketuhanan yang tinggi. Rasa ketuhanan yang tinggi mempunyai talian dengan konsep muttaqin.
Orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang berakhlak. Akhlak merupakan sesuatu yang sangat penting bagi manusia terutama remaja. Orang yang memiliki akhlak yang tinggi mempunyai daya ihsan yang tinggi jua.
Ihsan seperti sabda Rasulullah adalah apabila kita melakukan kebaikan kerana Allah walaupun kita tidak melihat Allah tetapi kita yakin Allah melihat kita. Inilah asas yang paling pokok membezakan Islam dengan bukan Islam. Orang-orang yang mempunyai ihsan yang tinggi sentiasa berbuat pahala.
Pahala adalah dorongan daripada Allah untuk kita melakukan kebaikan menghindari kejahatan menyuburkan yang makruf menghindarkan kemungkaran melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan.
Remaja yang berpahala sentiasa sedar bahawa jika kemungkaran yang dilakukan, kefasadan yang dikerjakan dan keburukan yang dilakukan akan meletakkan dirinya dalam keadaan berdosa.
Remaja yang berdosa akan mengalami rasa bersalah terhadap Allah. Rasa bersalah yang ada pada remaja menyebabkan hilang keyakinan pada diri dan hilang arah dalam kehidupan. Membina jiwa berpahala adalah sesuatu yang mesti bermula sejak awal umur lagi.
Apabila remaja menerima pesan ibu bapa supaya jangan melakukan dosa ia bermakna terkait dengan kehidupan remaja sendiri. Kalau remaja bergelumang dengan dosa dan kesalahan, ia ibarat titik-titik hitam yang melekat pada hati remaja. Titik-titik hitam itu apabila terhimpun banyak pada hati remaja ia akan terhijab daripada petunjuk Allah.
Remaja yang berpahala ibarat mempunyai suluh pada diri yang mampu membezakan baik buruk akan sesuatu. Jika jalan yang makruf dijadikan pilihan. Ia bakal menjadi memimpin diri remaja hidup yang lebih bermakna.
Asas-asas seperti amanah, jujur, ikhlas, dan bijaksana amat dekat dengan jiwa orang-orang yang berpahala.
Sekiranya remaja mentaati titah perintah Allah bermakna jalan hidupnya adalah terang benderang. Sekiranya jalan berdosa yang dipilih jalur hidup yang bakal ditempuh akan membawa remaja ke jalan hidup yang gelap gelita.
Para remaja hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran hidup, ada jalan hidup yang berpahala dan ada yang berdosa.
Yang memberikan pertimbangan kepada remaja, sama ada melakukan perkara yang berpahala atau sebaliknya ialah pedoman dan ilmu yang dirujuk dari Allah SWT. Sifat amanah contohnya amat penting kerana ia menjadikan remaja orang yang berpahala.
Amanah diri kepada Allah bakal menjadikan remaja orang-orang yang tunduk, patuh dan akur. Remaja yang memiliki sifat demikian sentiasa mengambil pertimbangan Allah dalam percakapan, pemikiran dan tingkah laku.
Remaja seperti itu akan memiliki jiwa yang tenang, aman dan mampu menenangkan serta memberikan keamanan pada orang lain.
Jiwa yang keliru dan celaru boleh membawa remaja kepada kerosakan sikap dan pekerti. Oleh itu amat penting para remaja dididik dengan kekuatan ilmu dan ketinggian peribadi kerana ilmu yang benar datangnya dari Allah. Sumber peribadi yang tinggi menjadi sumber contoh kepada orang lain.
Oleh NURUL IZZAH SIDEK
sumber

0 comments: