Khamis, 21 April 2011

Schwarzenegger intai jawatan EU



Arnold Schwarzenegger memegang poster wajahnya sendiri semasa majlis pengumuman siri animasi The Governator di Cannes, Perancis, 4 April lalu. - REUTERS
 WASHINGTON 20 April - Bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger dilaporkan sedang merancang untuk menjadi Presiden Kesatuan Eropah (EU) dalam melebarkan karier politiknya.
Majalah Newsweek berkata, bekas pelakon dan atlet bina badan kelahiran Austria itu kini memikirkan langkah seterusnya dan dinasihatkan oleh pembantunya untuk kembali ke Eropah dan bertanding dalam pilihan raya Presiden EU.
''Dalam beberapa tahun akan datang, EU akan mencari seorang Presiden yang berprofil lebih tinggi, seseorang yang boleh menyatukan Eropah.
''Rakyat Perancis tidak akan mahukan seorang warga Jerman manakala rakyat Jerman tidak mahu warga Itali. Bagaimana seorang kelahiran Eropah yang pergi ke Amerika dan kembali menyatukan Eropah baru,'' kata Ketua Kakitangan Schwarzenegger, Terry Tamminen.
Schwarzenegger pada Januari lalu menamatkan dua penggal sebagai Gabenor California mempunyai reputasi unik iaitu sebagai selebriti, bintang filem dan ahli politik Amerika.
Apabila dia menamatkan penggalnya sebagai Gabenor dari parti Republikan, pemerhati tertanya-tanya sama ada bekas pelakon filem aksi itu akan kembali ke Hollywood atau kekal dalam arena politik,
Sehingga sekarang, Schwarzenegger masih tidak menjawab soalan itu.
Apa yang pasti, dia tidak boleh bertanding merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana undang-undang negara ini menyatakan hanya kelahiran AS layak bertanding untuk jawatan itu.
Schwarzenegger berhijrah ke AS sebagai penganggur berumur 21 tahun pada 1968 tetapi menjadi seorang jutawan dan memenangi gelaran jaguh bina badan, Mr. Universe sebanyak empat kali.
Selepas menyertai dunia Hollywood, dia menjadi lebih terkenal terutama melalui filem francais Terminator dengan kata frasa I'll be back (Saya akan kembali) dan Hasta la vista, Baby (Jumpa Lagi, sayang). - AFP

0 comments: