SINGAPURA 22 April - Apabila parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan seorang wanita berusia 27 tahun sebagai muka baru calon parti itu bagi pilihan raya umum bulan depan, ia berharap dapat menarik sokongan pengundi muda.
Namun, ia tidak berlaku seperti yang diharapkan apabila calon tersebut, Tin Pei Ling yang bekerja sebagai seorang jururunding dan PAP menjadi sasaran kritikan umum di Internet.
Pei Ling telah disindir dan dikutuk dalam pelbagai aspek termasuk loghat bahasa Inggerisnya dan gambarnya memegang beg berjenama mewah di laman Facebook.
Pilihan raya umum Singapura pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan sengit selepas pengharaman berkempen melalui Internet dibatalkan.
Namun iklan pilihan raya kekal diharamkan melalui media cetak dan media penyiaran, parti pembangkang yang hanya memegang dua daripada 84 kerusi Parlimen, menggunakan Internet untuk menarik perhatian 2.35 juta pengundi.
PAP yang memerintah Singapura sejak 1959 juga menggunakan Internet dan jaringan sosial untuk mengekalkan kuasa dengan lebih 200 video yang disiarkan di laman web selain gambar para menteri bersama bayi dijadikan gambar profil laman masing-masing.
Walaupun kempen pilihan raya hanya bermula secara rasmi minggu depan, semua parti politik menggunakan Facebook, Twitter, blog dan laman web mereka sejak beberapa bulan lalu untuk mempromosikan platform dan calon mereka.
‘‘Ahli dan parti politik secara am sangat aktif di media sosial terutama Facebook dan Twitter yang sangat popular di Singapura,’’ kata pengasas bersama firma perisikan perniagaan di talian Brandtology, Kelly Choo. – afp
0 comments:
Catat Ulasan