Jumaat, 15 Julai 2011

Bergajah di Luang Prabang


Menggunakan perahu panjang pelancong akan singgah sebentar di Gua Pak Ou untuk melihat beratus-ratus patung Buddha emas.


Namun, sebaik menjejakkan kaki di bandar ini, hati berkata sebaliknya. ''Sabaidee'", ucapan selamat kedengaran sebaik melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsanya.

Bersama Ketua Unit Jabatan Outbound Poto Travel & Tours Sdn. Bhd., Ab. Rahim Mohd. Ali dan pegawainya, Aashikin Abd. Mukti, Luang Prabang yang berkeluasan 400,000 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk sekitar 103,000 dan 49 etnik dengan 60 peratus daripadanya dihuni oleh kaum Khmer, kami jejaki.

Terletak di bahagian tengah utara Laos di mana sungai Nam Khan bertemu Sungai Mekong iaitu sepanjang 425 kilometer di utara Vientiane, ia menyediakan destinasi pelancongan bagi penggemar alam semula jadi.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Luang Prabang merupakan tempat tumpuan pelancong dari negara-negara Barat, terutamanya dari Kanada, Australia dan Britain.

Menurut statistik, Luang Prabang menduduki tempat ke sepuluh destinasi pelancongan dunia di Asia berdasarkan tarikan alam biarpun tiada pantai yang memutih dan telah diiktiraf UNESCO sebagai bandar warisan dunia.

Bandarnya tidak sesibuk mana, apa yang ada hanya teksi-teksi kecil membawa pelancong ke destinasi yang diminta dan basikal adalah kenderaan beroda dua utama.

Bandar ini sentiasa bersih termasuk tandas dan layanan yang diberikan penduduknya sopan biarpun tidak fasih berbahasa Inggeris.
Mata wang yang digunakan ialah Lao walaupun mereka lebih senang menggunakan dolar Amerika ketika berjual-beli.

Lebih kurang 35 peratus penduduknya penganut animisme dan 55 peratus Buddha. Penduduknya menjalankan kerja-kerja pertanian terutamanya padi (beras pulut), menangkap ikan di sungai, kraf tangan dan bekerja dalam sektor pelancongan.

Bersama pemandu pelancong, Bhoon Tan, kami dibawa melawat ke beberapa destinasi menarik di sekitar Luang Prabang sepanjang empat hari berada di sana. Kami disediakan makanan halal dari sebuah restoran milik India Muslim di tengah-tengah pekan.

Pada kunjungan itu kami dibawa melawat Rumah Kayu Lao yang berusia 100 tahun di Ban Watnong. Rumah ini dibina tanpa menggunakan paku dan dikekalkan cirinya buat generasi muda. Pusat Tradisional Seni dan Etnologi pula memberi maklumat terkini mengenai penduduk etniknya.

Kami juga dibawa memanjat Bukit Phousi dengan ketinggian 450 anak tangga untuk menikmati pemandangan indah bandar Luang Prabang dari atas bukit, juga ke pasar malam sekitar Wat Mai yang terkenal dengan barangan kraf.

Jika mahu melihat air terjun setinggi enam tingkat dengan airnya berwarna hijau, Air Terjun Kuang Si adalah jawapannya. Terjunannya dilihat pada ketinggian 200 meter.

Kami juga menaiki bot panjang menyusuri Sungai Nam Khan menikmati pemandangan menarik di kiri kanan sungai.

Di Gua Pak Ou, kami diperlihatkan dua buah gua yang diletakkan beratus-ratus patung Buddha berwarna emas. Luang Prabang merupakan sebuah bandar yang tinggi. Justeru semua tempat peranginannya memerlukan pelancong memanjat tebing atau mendaki bukit tertentu.

Selain itu kami dipelawa meninjau perkampungan kraf tangan, tenunan, tikar dan tekstil. Begitu juga kampung yang membuat arak daripada nasi, melawat kuil-kuil yang dihiasi emas dan penempatan etnik Orang Asli.

Uniknya, apabila ke Muzium Kebangsaannya yang mempamerkan salasilah pemerintahan raja-raja, di salah sebuah bilik pameran itu sebaik pelawat memasukinya, mereka akan melihat seolah-olah lukisan seorang raja yang berdiri berpusing memerhatikan mereka 360 darjah sehinggalah pelawat berkenaan keluar dari bilik itu. Kedengaran agak menyeramkan bukan.

Apa pun pengalaman yang menarik di sini ialah apabila berpeluang mengadakan aktiviti dengan gajah di sebuah kawasan pemuliharaan gajah (Elephant Sanctuary and Resort) terletak 15 minit dari kawasan bandar yang hanya boleh dilalui van mini.

Kawasan di sini mendamaikan dipenuhi keindahan semula jadi, pondok-pondok kayu, resort serta spa bagi mereka yang mahu berehat.

Boon Than memberitahu, Laos pernah dikenali sebagai negara untuk berjuta-juta gajah (Lane Xang), namun sekarang haiwan ini pupus akibat dibom ketika dalam peperangan dan sehingga kini cuma dianggarkan 1,600 sahaja yang tinggal.

''Gajah juga digunakan sebagai platun sewaktu perang, pengangkutan dan askar, juga diburu untuk gadingnya. Dahulu gajah-gajah ini diberikan kepada negara-negara lain sebagai 'pembayar cukai' apabila dijajah Siam dan Burma.

"Sekarang gajah semakin sedikit dan sekiranya tiada sebarang langkah dilakukan untuk memuliharanya, lambat laun haiwan ini akan pupus.

''Di Luang Prabang terdapat 40 ekor gajah sahaja yang digunakan untuk pelancongan. Dianggarkan 560 gajah masih lagi bekerja di hutan-hutan mengangkat balak di sekitar Laos dan yang lainnya di sempadan," katanya.

Antara aktiviti selama dua jam para pelancong di kem pemuliharaan gajah ini ialah mereka menaiki gajah dan beriadah ke sekitar perkampungan menyusur ke sungai, melalui denai, memberi makan gajah, memandikan haiwan ini dan bergambar bersama.

Apa pun Laos yang hanya merdeka pada tahun 1975 mempunyai sejarah peperangan yang lama bukan sahaja dengan negara-negara jiran, malah dengan negara Perancis dan Amerika Syarikat.

Dianggarkan setiap tahun, 500 kanak-kanak akan dilaporkan cedera atau mati akibat bermain atau terjumpa tinggalan bom-bom lama.

Dianggarkan setakat ini masih lagi terdapat satu juta bom di dalam bumi Laos yang masih belum dijumpai dan dimusnahkan.

Sehinggakan dibina sebuah muzium perang di bandar ini yang menempatkan bom-bom yang telah dimatikan dan tayangan video, yang merupakan sejarah bagaimana ramai penduduk terkorban dan kemusnahan harta benda akibat diserang dengan bom-bom mortar.

0 comments: