Selasa, 19 Julai 2011

Kehadiran putera sulung dirai


Datin Belina teruja menjadi ibu, buat majlis akikah, cukur jambul sambut cahaya mata.

Kumpulan Marhaban Sri Damansara memperdengarkan
 alunan nasyid dan marhaban.

Shahputra Nasri dikelilingi ibu, ayah dan nenek untuk acara suapan manisan.



KEHADIRAN si kecil pastinya menerbitkan keceriaan yang tidak terhingga buat kedua-dua ibu bapanya selepas sembilan bulan menanti lebih-lebih lagi ibu yang mengandungkannya dan menatang bagai minyak yang penuh ketika masih dalam kandungan.

Sehubungan itu, sejurus lahir pelbagai idea menyerbu minda untuk meraikan kehadiran permata hati yang bukan alang kepalang dinanti.

Bagi Datin Belina Samsudin dan Datuk Samsudin Abu Hassan, kehadiran Shahputra Nasri bagai bulan jatuh ke riba kerana bagi mereka, setiap anak patut diraikan kemunculannya ke dalam keluarga mereka.

“Saya teruja melihat Shahputra membesar depan mata. Memang pada bulan pertama kelahirannya, saya sedikit penat kerana masih baru menguruskan si kecil.

“Namun selepas beberapa ketika, dengan tunjuk ajar ibu dan sudah mula faham dengan keletah si kecil, saya berasa seronok untuk melihatnya dan memegangnya sentiasa.

Kalau boleh setiap ketika saya ingin memantau pembesarannya,” kata Belina, ketika ditemui pada majlis cukur jambul dan aqiqah putera kesayangannya itu.

Baru saja mencecah usia tiga bulan, Shahputra sangat diraikan kehadirannya dalam keluarga besar itu.

Bahkan si comel seakan faham majlis berkenaan diadakan khusus untuk meraikan kemunculannya di kalangan ahli keluarga terdekat.

Pentas dihias indah dengan sentuhan bunga segar oleh Linda Rahim, tapi ilham bonda Shahputra sendiri manakala buaian dan kelengkapan hasil ilham Craddle and All ternyata menyuntik ceria sesuai dengan tema majlis memperkenalkan si kecil kepada saudara mara dan sahabat handai.

Belina berkata, beliau amat bersyukur dengan kehadiran Shahputra yang tidak banyak kerenah, tapi sesuai dengan usianya yang masih kecil, tangisan dan jeritan ketika lapar atau ‘basa’ adalah perkara normal pada tempoh awal kelahiran.

“Saya hanya berpeluang menyusukan dia selama sebulan saja. Selebihnya dia diberi susu formula dan kalau lambat mendapat minuman, pasti menangis.

Begitu juga kalau lampin basah, mungkin rasa tidak selesa.

“Pada mulanya saya risau juga, tapi ibu saya, Bibi Kursiyah Jemahan, banyak membantu dan kini saya yang akan memandi dan menyiapkan Shahputra setiap hari sekiranya saya tiada urusan di luar,” katanya.

Baginya, kehadiran cahaya mata wajar diraikan dengan gembira dan inilah masa terbaik untuk mendidik si kecil dengan ilmu kemahiran kerana yakin pendidikan bermula sejak kecil, walaupun cahaya matanya itu belum mengerti serta memahami sepenuhnya apa yang beliau lakukan.

“Saya tidak lupa menjemput Kumpulan Marhaban Sri Damansara untuk mengalunkan alunan nasyid dan marhaban untuk diperdengarkan kepada si kecil dan tetamu kami.

“Mudah-mudahan apabila mendengar alunan marhaban ini, dia akan membesar menjadi anak yang baik di samping saya sendiri akan mendidik dia menjadi anak yang taat terhadap agama, ibu bapa dan keluarga.

Saya kira setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk cahaya mata mereka,” katanya.

Beliau berkata, mungkin ada yang beranggapan tidak wajar mengadakan majlis untuk si kecil secara besar-besaran dan agak mewah, namun beliau mempunyai alasan tersendiri meraikan si kecil dengan cara berkenaan.

“Tidak timbul soal besar-besaran, sebaliknya ia adalah pernyataan kami melahirkan kesyukuran dengan kehadiran Shahputra dan bergantung juga kepada kemampuan kita.

“Jadi kami sudah sepakat meraikannya dengan keluarga dan sahabat handai.

 Saya sendiri berasa seronok mencari ilham untuk kenduri kesyukuran ini.

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan ini adalah hari yang baik buat Shahputra kerana dia tidak meragam,” katanya sambil cuba menenangkan si kecil yang sudah mula mengantuk di pangkuan.

Lebih memeriahkan suasana, selain alunan marhaban, tetamu di dalam dewan serba gemilang berhias indah itu turut diperdengarkan alunan gamelan yang mendayu-dayu dan gemalai bunyinya sekali gus mencetus perasaan aman dan tenang.

Bahkan, jelas suasana kekeluargaan terpancar dalam dewan berkenaan kerana penulis diberitahu kebanyakan undangan adalah sahabat handai ibu bapa si kecil selain saudara mara dan ahli keluarga terdekat.

Majlis aqiqah dan cukup jambul empunya nama Shahputra Nasri itu juga makin berseri kerana setiap tetamu menerima beg kecil dengan bunga telur berhias anak patung comel, kek cawan daripada sapu tangan dan surah Yassin untuk tetamu muslim dan kole untuk bukan muslim.

Ketika ditanya apakah harapan beliau untuk si kecil yang diraikan, Belina, seperti ibu lain, mahukan yang terbaik untuk cahaya matanya itu.

“Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Shahputra. Semoga dia juga membesar menjadi anak yang taat kepada agamanya dan anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.

“Saya tidak kisah dia ingin memilih kerjaya yang bagaimana apabila dewasa kelak, tapi alangkah baik juga kalau dia menjadi akauntan dan ahli perniagaan seperti ayahnya,” katanya yang mengamalkan berpantang selama seratus hari secara tradisional.

Oleh Shaidah Shafie

0 comments: