Jumaat, 22 Julai 2011

Harumanis harta intelek


Shahimi Shaari di kebun harumanis yang diusahakannya di Kampung Gial, Mata Ayer, Padang Besar, baru-baru ini. -Faizal Abu Hassan.

PADANG BESAR 21 Julai – Kerajaan Perlis akan memberi keutamaan kepada usaha menambahkan pengeluaran tanaman harumanis dan mendaftarkan mempelam tersebut sebagai harta intelek bagi mengawalnya daripada dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menjejaskan popularitinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, langkah itu perlu disebabkan harumanis menjadi antara produk yang melonjakkan imej Perlis di negara ini.

“Harumanis cukup popular tetapi pengeluarannya terhad disebabkan masalah tanah untuk penanaman mempelam jenis ini di negeri yang paling kecil di Malaysia sedangkan permintaannya kian meningkat.

“Namun kita mencari kaedah lain untuk menambah hasil, antaranya menggalakkan tanaman semula menggantikan pokok-pokok yang tua dan tidak mengeluarkan hasil, membekalkan benih supaya setiap penduduk menanam harumanis di laman rumah sekurang-kurangnya sebatang pokok,” katanya di sini, baru-baru ini.

Di samping itu, kata beliau, pendaftaran hak intelek boleh mengawal penjual tidak bertanggungjawab daripada menjual mempelam jenis lain dengan menggunakan nama harumanis.

“Dengan pendaftaran intelek baru, kita boleh mengambil tindakan terhadap penjual seperti ini kerana penipuan seumpama itu boleh menjejaskan imej harumanis dan negeri Perlis,” tambah beliau.

Keistimewaan harumanis:-
* Hanya menjadi ditanam di Perlis, tanah di kawasan lain tidak sesuai.
* Kaya vitamin antioksidan seperti vitamin C dan E.
* Mempunyai tujuh gram serat yang membantu sistem pencernaan dan larut dalam air, baik untuk mengawal paras kolestrol.
* Mencairkan kahak, penyegar, membangkitkan nafsu makan dan antioksidan.
* Kandungan riboflavin baik untuk mata, mulut dan tenggorok (tekak).
* Membantu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti radang kulit, influenza, asma, gangguan penglihatan, gusi berdarah dan sesak nafas.
Mempromosi dan menambah pengeluaran harumanis:
* Penganjuran karnival harumanis, membuka gerai jualan termasuk di kawasan rawat dan rehat (R&R) di lebuh raya.
* Menggalakkan penanaman harumanis di halaman rumah, sekurang-kurangnya sepokok setiap rumah.
* Menggalakkan petani menanam semula, menggantikan pokok yang tidak mengeluarkan buah dengan tanaman baru.
* Membalut buah dengan pembalut khususnya pembalut yang disediakan Jabatan Pertanian untuk menjaga kualiti buah.

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI

0 comments: