Rabu, 20 Julai 2011

Pusat pemulihan pesakit jantung


PENYAKIT jantung boleh dikatakan antara pembunuh utama di dunia.

Tidak ketinggalan Malaysia mencatatkan bilangan pesakit yang meningkat setiap tahun berikutan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.

Merujuk laporan, beribu orang menjalani pembedahan jantung setiap tahun.

Ia ibarat pembunuh senyap, penyakit jantung dan kardiak boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda.

Bagi mereka yang telah menjalani pembedahan, ia bukan penyelesaian jitu seandainya tidak mengamalkan penjagaan yang betul dan tidak mustahil untuk ia berulang.

Pertama kali di Malaysia, Cardio Rehab (CR), sebuah pusat sehenti untuk mereka yang mengalami masalah berkaitan penyakit jantung dan kardiak mendapatkan rawatan dan juga panduan bagi meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih sihat.

“Di Eropah, pusat sebegini bukan sesuatu yang baru. Mereka berkerjasama dengan hospital ternama dalam memberi khidmat terbaik kepada pesakit jantung dan kardiak,” kata Pengurusnya, Naseer Ahmad Bangi.

Beliau yang juga merupakan pakar fisioterapi berkata, dengan mendapatkan khidmat di situ ia membantu pesakit mengenai keadaan sebenar mereka dan bagaimana untuk meningkatkan kembali kualiti kesihatan mereka.

Pesakit katanya akan dirujuk oleh pakar jantung terlebih dahulu sebelum menjalani program di CR.

Biasanya pesakit akan diberi ujian bagi mengenalpasti tahap kemampuan kerana keupayaan setiap individu itu berbeza.

“Dari ujian tersebut, kami akan menentukan jenis latihan yang mana boleh mereka lakukan tanpa menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat empat fasa berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada tahap kesihatan mereka iaitu pesakit yang dirawat di situ, pesakit yang sudah dibenarkan pulang dan pesakit luar, program rawatan di rumah serta penyenggaraan sendiri.

CR kata Naseer lagi mempunyai kelengkapan lengkap sebuah pusat perubatan intergrasi yang menggabungkan seluruh pengamal perubatan yang mewakili bidang masing-masing.

Di samping itu, peralatan terkini yang digunakan juga mampu memberi kesan optimum ketika pesakit menjalani program yang ditawarkan.

Keistimewaan CR kata Naseer adalah kerana ia juga menawarkan khidmat kepada mereka yang mengalami masalah sendi dan tulang bekalang melalui The Spine and Joint Specialist.

Menurutnya, di situ pihaknya menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada pesakit.

 Ia ibarat rawatan intergrasi bagi mengembalikan fungsi fizikal pesakit, menyelaras emosi yang baik dan sebagai langkah mengelak mereka mengalami semula serangan jantung.

Selain untuk mereka yang mengalami penyakit berkaitan jantung dan kardiak, ia juga sesuai untuk mereka yang sihat bagi mengelak daripada menjadi mangsa risiko penyakit itu.

“Kita tahu bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

Dengan menjalani program yang kami tawarkan, mereka yang berisiko mungkin boleh mengelak daripada serangan jantung,” katanya.

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

0 comments: