Jumaat, 22 Julai 2011

Pilihan raya Mesir akan diadakan tiga peringkat


GADIS-GADIS Mesir merakam gambar lukisan bendera pada tangan mereka semasa berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah pada 18 Julai lalu. - AFP

KAHERAH 21 Julai - Pilihan raya Mesir bagi melancarkan peralihan kuasa kepada rakyat akan diadakan dalam tiga peringkat bagi memudahkan pemantauan pengundian.

Anggota Majlis Pemerintah Tentera, Jeneral Mamdouh Shaheen berkata, pilihan raya itu akan berlangsung selama lebih sebulan dengan proses pengundian diadakan pada hari yang berlainan di tiga wilayah.

"Tarikh tepat akan diumumkan oleh majlis tentera selepas 18 September ini," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Pengundi akan mengundi untuk dewan rendah dan dewan tinggi pada satu masa dan pilihan raya akan diadakan di 120 kawasan pengundian.

Shaheen berkata, tempoh 15 hari akan memisahkan antara satu peringkat dengan peringkat lain.

"Ketika pilihan raya berlangsung, tentera akan berperanan menjaga keselamatan dan pemerhati akan melakukan pemantauan," ujar beliau.

Pilihan raya itu kelak merupakan yang pertama diadakan sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan dalam kebangkitan rakyat pada Februari lalu.

Majlis tentera sebelum ini berjanji untuk menyerahkan kuasa pemerintahan kepada kerajaan pilihan rakyat sebelum hujung tahun ini. - REUTERS

0 comments: