Ahad, 10 Julai 2011

Rezeki Chris Hemsworth


Daripada seorang pelakon yang tiada nama, nampaknya Chris Hemsworth kini sudah mampu tersenyum bangga apabila namanya sebaris dengan aktor popular yang lain.
Ternyata Thor membawa tuah yang tidak disangka-sangka buat pelakon bertubuh sasa ini apabila tawaran terus mendatangi dirinya walaupun sedang sibuk di lokasi filem The Avengers.
Dalam masa yang sama, Chris juga akan memegang watak utama dalam filem yang diadaptasi daripada kisah Snow White iaitu Snow White and the Huntsmen.
Belum pun menjejakkan kaki ke lokasi filem tersebut, Chris baru sahaja mengesahkan dia akan membintangi filem Shadow Hunter yang diterbitkan oleh studio terkemuka, Columbia Pictures.
Difahamkan Shadow Hunter yang diilhamkan oleh Hossein Amini itu diadaptasi daripada kisah benar mengenai seorang ketua kumpulan elit yang ditugaskan untuk menyelamatkan seorang ketua Hamas yang menjadi mangsa tebusan.
Dibantu oleh 17 anggotanya, mereka menyelinap masuk ke dalam hotel yang menempatkan ketua Hamas itu dan merancang strategi terbaik tanpa sebarang pertumpahan darah.
"Kami percaya filem ini merupakan filem aksi cemas yang cukup sesuai untuk Chris.
"Malah, dengan gandingan mantap penerbit dan pengarahnya iaitu Beau Flynn, Tripp Vinson dan Will Ward, kami yakin filem ini akan mendapat tempat kelak," kata Presiden Columbia Pictures, Hannah Minghella dalam satu kenyataan tentang projek filem itu, baru-baru ini.
Buat masa ini, masih belum ada maklumat terkini tentang tarikh dan lokasi penggambaran filem ini.

0 comments: