Sabtu, 2 Julai 2011

Dilema nikah seberang


AKIBAT terlalu sayang dan cinta pada pasangannya akhirnya Lynn (bukan nama sebenar) mengambil keputusan bernikah dengan Shah (bukan nama sebenar) di Thailand.
Keputusan tersebut diambil apabila pilihan hati Lynn itu tidak direstui keluarga. Pada masa yang sama bapanya juga tidak ingin menjadi wali.
Memikirkan hati sudah terlalu kasih dan sayang kepada Shah, tanpa rasa bersalah dan memikirkan kesan pada masa akan datang, mereka telah dinikahkan oleh kadi yang bertugas di salah satu pejabat agama di negara jiran.
Akibat tidak mengambil endah akan hal tersebut, pernikahan antara Lynn dan Shah yang berlangsung di Thailand tidak didaftarkan di pejabat agama di Malaysia.
Setelah usia pernikahan mereka menjangkau dua tahun, Lynn baru terfikir untuk mendaftarkan pernikahan mereka.
Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan masalah, akhirnya berkat usaha serta penat lelah, Lynn berjaya mendapat surat pengesahan pernikahan mereka.
Sejurus surat nikah dikeluarkan kepada Lynn dan Shah, si isteri telah memfailkan pengesahan tersebut di mahkamah.
Bagaimanapun, Lynn telah dikejutkan dengan bantahan yang dibuat oleh suaminya dengan mendakwa pengesahan nikah di Malaysia tidak sah kerana Lynn telah diceraikan pada penghujung tahun 2005 di Thailand.
Betapa hancurnya hati Lynn kerana bukan itu sahaja alasan suaminya, malah Shah turut mendakwa surat perakuan nikah yang dikeluarkan telah dibatalkan sebulan selepas itu.
Shah turut mendakwa isterinya, Lynn membuat pengakuan palsu kepada Jabatan Agama Islam Malaysia (yang mengeluarkan surat nikah mereka) untuk mendapatkan surat perakuan tersebut dengan mendakwa dirinya tidak dapat dihubungi.
Mencabar kesahihan
Sudah pasti hati seorang isteri hancur luluh mendengar dakwaan suaminya sendiri pada hal segala yang dilakukan Lynn adalah kerana ingin mengesahkan pernikahan mereka agar tidak dipandang serong dan berlaku yang tidak diingini kemudian hari.
Bertambah sedih apabila segala usaha tidak langsung dihiraukan oleh Shah. Apatah lagi untuk membantu meringankan masalah yang mereka hadapi.
Daripada situ dapat dilihat, Shah sememangnya tidak bersungguh-sungguh untuk mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia. Ia seolah-olah tidak penting.
Semasa kes dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Shah telah mengemukakan surat cerai yang diperoleh dari Thailand.
Bagaimanapun Lynn telah mencabar kesahihan surat cerai tersebut dan memfailkan kes di bawah Seksyen 57 enakmen undang-undang keluarga Islam Selangor di mana dia menuntut mengesahkan perceraian yang dilafazkan oleh suaminya.
Untuk itu, mahkamah telah mengambil keterangan suami dan seorang saksi yang kononnya didakwa oleh Shah yang bersama-sama dengannya pergi ke Thailand untuk dapatkan surat cerai tersebut.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, akhirnya mahkamah memutuskan surat cerai yang dikeluarkan pejabat agama Thailand tidak sah.
Ini kerana Shah dan saksinya tidak dapat mengesahkan adakah mereka betul-betul pergi ke Thailand untuk dapatkan surat cerai tersebut atau sebaliknya.
Mahkamah turut memutuskan terdapat unsur keraguan pada nama jalan yang tertera pada surat nikah dan surat cerai (nama jalan yang berbeza).
Untuk itu, dakwaan Shah menceraikan Lynn di Thailand tidak sah dan oleh yang demikian mahkamah perintahkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai oleh suami didengar.

0 comments: