Jumaat, 15 Julai 2011

Harry Potter bakal catat box office


LOS ANGELES 14 Julai - 'Ahli sihir' Britain, Harry Potter akan kembali buat kali terakhir di pawagam pada minggu ini dan dia diramal akan membawa magis untuk filem sekuel itu mencatat box office dengan kutipan tertinggi pada tayangan minggu pembukaannya berbanding siri-sirinya sebelum ini.

Pemerhati industri filem berkata, filem Harry Potter And The Deathly Hallows - Part 2, diramal mencatat kutipan tiket mencapai antara AS$125 juta (RM376 juta) hingga AS$150 juta (RM451 juta) pada tayangan minggu pembukaannya di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Ramalan tersebut membuatkan ia bakal menjadi antara filem yang mencapai keuntungan tertinggi di dunia bagi tayangan minggu pembukaannya.

Setakat ini, rekod tertinggi kutipan bagi tayangan minggu pembukaan dimiliki oleh filem Batman pada 2008 iaitu The Dark Knight yang berjaya mencatat kutipan tiket berjumlah AS$158.4 juta (RM476 juta) pada tiga hari pertama tayangannya.

Harry Potter And The Deathly Hallows - Part 2, merupakan siri kelapan filem adaptasi daripada novel yang ditulis oleh J. K Rowling dan merupakan siri yang terakhir.

Warner Bros. yang menerbitkan filem itu telah menjana jualan tiket sehingga AS$6.4 bilion (RM19.3 bilion) sejak siri pertama filem itu ditayangkan sedekad yang lalu dan berbilion lagi daripada jualan DVD dan barangan Harry Potter.

Peminat setia dikatakan tidak sabar-sabar mengucapkan selamat tinggal kepada Harry Potter dan dijangka ramai yang akan ke pawagam, malah bagi yang bukan peminat setia juga dijangka akan memenuhi pawagam kerana ia adalah sekuel terakhir daripada filem terkenal itu.

Filem terakhir itu juga merupakan filem Harry Potter pertama yang dibuat dalam bentuk 3D, yang dijangka membantu meningkatkan jualan tiket dan turut akan ditayangkan dalam format besar iaitu di skrin IMAX. - Reuters

0 comments: