Rabu, 20 Julai 2011

Farah dan Johan, cinta pandang pertama


Johan dan Farah sebaik selesai acara akad nikah yang dilakukan
 di atas cruise Tasik Putrajaya.

SEWAKTU pertama kali terpandang Johan Johari, 26, enam tahun lalu di lobi Hotel Equatorial, Pulau Pinang, perasaan Farah Diana Anuar, 26, atau Farah AF2, sudah terasa sesuatu.

Katanya, perasaan ingin mengenali seseorang terutama lelaki yang tidak dikenali tidak pernah timbul dalam benak fikirannya, sebelum itu.

Bagaimanapun, seorang jejaka yang berani berbicara dengan abahnya, Anuar Ali, 57, membuatkan Farah ingin tahu siapakah gerangannya.

Namun, kerana malu dia tidak berani untuk meminta nombor telefon.

Bagaimanapun, kata Farah, dia bernasib baik kerana berjaya 'mencuri' nombor telefon jejaka itu (Johan) daripada telefon bimbit abahnya.

"Kira-kira sebulan jugalah Farah main SMS (khidmat pesanan ringkas) dengan dia. Dia memang tidak tahu yang hantar sms adalah Farah, tapi dia tetap layan.

"Entahlah, Farah memang tidak pernah buat kerja begitu, tapi sejak terpandang dia, asyik teringat saja. Itu yang buat kerja gila.

Nasib baik dia pun melayan," cerita Farah tentang sejarah pengenalan mereka.

Cerita Farah lagi, walaupun mereka sering bertelefon, namun untuk keluar berdua seperti pasangan lain jarang sekali kerana masing-masing sibuk dengan tugasan.

Katanya, pada awal hubungan, adalah sekali dua Johan datang ke Putrajaya untuk bertemunya dan selepas itu mereka hanya berhubungan menerusi telefon.

"Farah suka dia, sebab Farah tengok dia tidak berkira dalam segala hal. Dia sanggup datang ke sini untuk berjumpa Farah dan yang paling Farah suka dia amat ambil berat soal keluarga.

"Selepas lima bulan berkawan, kami yakin untuk menjadi pasangan kekasih dan akhirnya kami mengikat tali pertunangan pada 25 Disember 2010, sebelum mengambil keputusan bernikah pada hari ini (15 Julai 2011)," bongkar Farah kisah perjalanan cintanya.

Selepas mendirikan rumah tangga, Farah yang terikat dengan tugasan sebagai pengacara program dan undangan persembahan pentas berkata, dia akan menetap di Pulau Pinang bersama suami.

Menurut Farah, jika ada tugasan barulah dia akan kembali ke ibu kota dan selebihnya akan berada di sisi suami yang menjalankan perniagaan hartanah.

"Alhamdulillah, setakat ini, suami masih memberi izin untuk Farah meneruskan kerjaya seperti dulu, tapi apa pun Farah tahu batasannya.

"Kalau ada show barulah Farah turun ke Kuala Lumpur, kalau tak Farah di Pulau Pinang saja. Kerjaya seni Farah tetap diuruskan oleh abah," ceritanya.

Sementara itu, Johan yang tidak pernah melihat atau menonton persembahan Farah sebelum mengenalinya berkata, dia memilih Farah sebagai suri hidup kerana penyanyi itu dengar cakap dan rapat dengan keluarga.

"Saya tengok Farah lain, dia baik dan selalu bersama keluarga. Dari situ, saya yakin yang dia adalah pasangan saya," katanya yang sentiasa tersenyum itu.

Pada majlis pernikahan yang melakar sejarah itu, Farah menerima mas kahwin sebanyak RM2,500 dengan hantaran sebanyak RM25,185, sempena tarikh lahirnya.

Dalam pada itu, Farah turut membalas hantaran sembilan dulang berbanding tujuh daripada pengantin lelaki.

Antara hantaran daripada pihak lelaki adalah tepak sirih, wang hantaran, mas kahwin, beg tangan Gucci, iPad, cincin dan gelang serta barangan wangian.

Manakala pihak perempuan membalas dengan cincin, kek, coklat, sirih junjung, jam tangan, kemeja, Quran dan sejadah, tali pinggang Gucci dan manisan.

Farah dan Johan merupakan pasangan Melayu pertama yang bernikah di atas cruise Tasik Putrajaya dengan disaksikan oleh kira-kira 60 tetamu.

Pasangan yang dinikahkan oleh bapa saudara Farah, Datuk Wan Mohammad Datuk Sheikh Abdul Aziz pada pukul 4.35 petang, Jumaat lalu bakal berbulan madu di Maldives.

"Sebaik sahaja selesai kenduri di sebelah pihak lelaki (24 Julai 2011), kami akan berangkat ke sana kerana kami akan kembali ke tanah air, dua hari sebelum puasa.

"Puasa kali ini, Farah tidak boleh lagi malas-malas. Dulu kalau tidak bangun sahur, tak apa, sekarang kena bangun juga," katanya tersenyum.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI dan SYEFRY MONIZ

0 comments: