Jumaat, 22 Julai 2011

Juara bakat tv 2011 Razali Abd. Rahim


RAZALI bangga perjuangannya mengangkat muzik tradisi diiktiraf pada malam final Bakat TV 2011.

KEJUARAAN yang diraih Razali Abd. Rahim, 26, selaku pemenang program realiti televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bakat TV 2011 (BTV 2011) telah dijangka ramai memandangkan persembahan unik yang dipamerkan pada malam akhir yang berlangsung Selasa lalu.

Pernah menjuarai World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan Rainforest World Music Festival 2011, ia bagaikan metafora awal yang merealisasikan kejuaraan tersebut milik mutlak Razali.

Graduan Diploma Seni Muzik Aswara itu bagaimanapun menafikan bahawa dia mempunyai laluan mudah untuk mengetepikan finalis lain yang cukup berbakat dan kompetitif.

Katanya, kemenangan yang pernah diraih pada peringkat antarabangsa sebelum ini bukanlah 'lesen besar' baginya untuk menidakkan peluang peserta lain bagi merebut gelaran juara BTV 2011 yang menawarkan wang tunai RM20,000.

"Sebaliknya, saya perlu berusaha keras untuk mempamerkan kemahiran terbaik yang saya miliki ketika bermain alat muzik tradisi, kulintangan.

"Saya mempelajari cara bermain alat muzik ini sejak umur 10 tahun dan ia merupakan seni muzik warisan kaum Bisaya di Beaufort, Sabah," jelas Razali dalam telor masyarakat Borneo yang masih pekat itu.

Selain memenangi pertandingan yang mencungkil pelbagai bakat itu, Razali turut berjaya membolot wang tunai RM10,000 setelah dipilih sebagai pemenang kategori Bakat TV Popular.

Mahu iringi Siti Nurhaliza

Sering memainkan muzik lagu Nirmala dan Kurik Kundi dendangan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, jauh di sudut hatinya, Razali menyimpan hasrat untuk mengiringi persembahan penyanyi popular tersebut tatkala menyanyikan lagu berentak tradisional.

Ujar Razali, sudah lama dia meminati Siti Nurhaliza dan mengikuti perkembangannya, namun belum sekali pun berkesempatan untuk bertentang empat mata melahirkan niatnya itu.

"Memang sudah lama saya inginkan peluang seperti itu. Alangkah bertuahnya saya jikalau impian itu mampu menjadi realiti," seloroh Razali yang begitu mengagumi suara dan bakat milik penyanyi pujaan ramai itu.

Dalam pada itu, lantaran berjaya menggondol wang tunai berjumlah RM30,000 secara keseluruhannya, jejaka bertubuh kecil ini sudah mempunyai rencananya yang tersendiri.

Jelasnya, dia merancang untuk menghasilkan album instrumental yang akan memperdengarkan kemahiran maksimumnya mencanang alat muzik buatannya sendiri itu.

"Saya membuatnya sejak tahun 1998. Sejak itu, saya menghargainya dengan mempertingkatkan skil yang dimiliki menerusi latihan yang berulang kali.

"Oleh itu, saya perlu mengabdikan segala usaha saya selama ini dalam satu medium yang boleh disimpan dan menjadi kenangan pada masa hadapan.

"Di samping itu, ia juga boleh dijadikan bahan tutor kepada sesiapa saja yang berminat untuk mempelajari seni muzik kebanggaan kaum saya sejak turun temurun ini.

"Jika ada rezeki lebih, saya juga mahu menubuhkan kelas latihan bermain kulintangan.

Pada masa yang sama, saya juga mempunyai kebolehan bermain akordion," jelasnya panjang lebar usai tamat final BTV di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
Gambar: SAIFUL BAHARI ASHARI

0 comments: