Sabtu, 9 Julai 2011

Farah AF2 kahwin 15 Julai 2011



Farah, Johan bakal disatukan 15 Julai ini
DETIK ini ada debaran yang singgah di sanubari bintang Akademi Fantasia 2, Farah Diana Anuar. Mana tidaknya, pada 15 Julai ini dia akan disatukan dengan jejaka pilihan hati, Johan Johari. Apatah lagi, ketika artikel ini disiapkan, si empunya diri mengaku persiapan menuju ke fasa bergelar isteri orang masih belum siap sepenuhnya, apabila majlis yang sepatutnya diadakan September dipercepatkan berikutan permintaan pihak lelaki. Akui gadis yang selesa disapa Farah itu, buat masa ini keadaan agak kelam kabut kerana banyak perkara belum diselesaikan termasuk kad undangan perkahwinan dan beberapa persediaan lain. Bagaimanapun, beberapa hari lalu, ibu bapanya berkunjung ke Balai Berita, membawakan kad undangan buat teman media. “Kalau ikut perancangan saya mahu ke Bandung untuk mendapatkan fabrik baju pengantin dan kad di sana yang dikhabarkan banyak pilihan, tetapi disebabkan kesuntukan masa hasrat itu terpaksa dibatalkan saja. “Kebetulan pula ada rakan yang sedia menghulurkan bantuan sebagai perunding perkahwinan, begitu juga ibu membuatkan urusan majlis nanti berjalan lancar. Boleh dikatakan 60 peratus sudah selesai,” katanya yang pada awalnya ragu-ragu bercerita lanjut mengenai hari bahagia itu nanti. Dedah pengacara Rasa Halal Orient itu lagi, bukan sengaja mahu berahsia namun dia mengikut nasihat orang tua supaya jangan terlalu teruja bimbang perkara tidak elok berlaku. Jika ikut hati, siapa tidak gembira percintaan yang dijalin bakal dimeterikan dengan pernikahan, malah kad undangan yang belum disiapkan ketika itu juga antara faktor membuatkan Farah belum berani membuka mulut mengenai majlis terbabit. “Selepas pernikahan, keesokan majlis resepsi diadakan pihak keluarga saya di Putrajaya. Manakala seminggu selepas itu majlis sambut menantu pula diadakan di Pulau Pinang. Konsep persalinan bagi kedua-dua resepsi dan nikah masih dalam perbincangan dengan pereka, Zeri Zamry,” katanya yang mengakui bertuah apabila banyak pihak tampil mahu menaja majlis perkahwinannya. Ditanya soal persediaan dari status solo kepada isteri orang, katanya dia sudah sedia memikul tanggungjawab malah tarikh yang dipercepatkan sebagai rahmat yang begitu disyukurinya. Seperti pasangan lain, dalam tempoh bertunang banyak dugaan menghampiri ditambah pula jarak yang memisahkan mereka namun kesabaran serta keikhlasan membuatkan semua dugaan mampu ditempuhi. “Bohong kalau saya katakan tiada perselisihan faham. Cuma ia diselesaikan secara baik, Apa pun nasihat saya kepada bakal-bakal pengantin di luar sana, perkara baik untuk mendirikan masjid tidak perlu ditangguhkan kerana isu kecil boleh jadi besar. “Dari segi persiapan mental dan fizikal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri solehah, saya banyak membaca selain belajar memasak daripada emak,” ulasnya lagi yang akan mengikut suami ke pulau mutiara sebaik bergelar isteri. Begitupun, bintang muda berusia 26 tahun itu masih tetap aktif mengacara atau menyanyi dengan berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sekiranya ada undangan. “Syukur rezeki saya masih dipermudahkanNya. Setakat ini banyak tawaran mengacarakan majlis diterima, selain menyanyi. Kalau berlakon memang agak sukar kerana membabitkan komitmen masa serta lokasi. “Rasanya biarlah saya aktif dalam dua bidang ini dulu, bukan berlakon. Insya-Allah, selepas berkahwin pun suami mengizinkan saya terus aktif namun sebagai isteri saya harus pandai menjaga diri,” kata pengacara Nasi Lemak Kopi O dan Sekolah ku Hebat itu. Dalam rancak mengendalikan program televisyen, jauh di sudut hatinya masih terpendam keinginan untuk merakamkan album atau single selepas projek yang dijalankan dengan syarikat pengurusan terdahulu terperap begitu saja. Mahu komposer yang memahami kehendaknya membawakan dendangan berunsur kemanusiaan tetapi masih digemari anak muda, Farah ‘nampak’ Sham Kamikaze sebagai individu yang dicari-cari. “Setakat ini saya belum bertemu Sham (Kamikaze) membincangkan soal lagu. Mungkin selepas hari raya saya akan cuba bertemunya kerana menyanyi tetap menjadi keutamaan saya,” katanya.

Oleh Hanisah Selamat


1 comments:

Han Hanni berkata... Reply To This Comment

suka tengok kad kawin fadar macam kipas.. lawa n unikk