Sabtu, 23 Julai 2011

Kerajaan negeri peruntuk RM2.8j bina bangunan baru Perpustakaan Kuala Penyu


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membina bangunan baru Perpustakaan Negeri Cawangan Kuala Penyu yang dijangka siap Oktober tahun depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Azizah Mohd Dun berkata, projek pembinaan bangunan perpustakaan baru itu dimulakan bulan ini dan dijangka siap Oktober 2012.

“Bangunan perpustakaan itu akan dibina di tapak seluas 10,000 kaki persegi dan apabila siap kelak pelbagai kemudahan akan disediakan termasuklah perkhidmatan pinjaman, rujukan, hypermedia, internet dan perkhidmatan khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya juga berharap sudut untuk kaum wanita, kepimpinan dan kepenggunaan dapat disediakan di perpustakaan itu kelak untuk kemudahan masyarakat mendapatkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Bangunan Baru Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kuala Penyu, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu John Teo, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Haji Sukardi, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Wong Vui Yin dan Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmund Teo.

Azizah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Beaufort menyeru masyarakat di daerah Kuala Penyu menjadikan perpustakaan itu sebagai tempat yang mesti dikunjungi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu untuk meminjam buku atau membaca bahan bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, bagi golongan ibu bapa, selain memberi galakan kepada anak-anak supaya berkunjung ke perpustakaan, mereka juga perlu merebut peluang meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang supaya dapat bersaing atau sekurang-kurangnya mampu menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.

“Kemudahan perpustakaan yang disediakan oleh kerajaan tidak akan bermakna sekiranya masyarakat tidak menggunakannya secara maksima dan berterusan,” katanya.

Azizah yang juga Adun Klias berkata dalam zaman yang penuh cabaran, ilmu pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat merupakan sumber utama agar lebih berdaya saing.

“Ini kerana daya saing dan kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Oleh itu, kerajaan memberi keutamaan kepada sektor pendidikan termasuklah pendidikan tidak formal melalui kemudahan perpustakaan.

“Kita mahu melihat pencapaian pelajar-pelajar khususnya di Sabah cemerlang dan berdaya saing. Penyediaan perkhidmatan perpustakaan yang lengkap di lihat dapat memberi sumbangan kepada peningkatan pembelajaran para pelajar sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Sebab itu katanya, KPM&HEP memberi perhatian penuh kepada perkhidmatan perpustakaan di peringkat wilayah, cawangan, pekan dan perpustakaan desa.

0 comments: