Jumaat, 15 Julai 2011

luahan terima kasih: mimi ONE


SEBAGAI satu-satunya wanita dalam ONE, Mimi, 26, atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norisham, mengakui, publisiti sememangnya memainkan peranan penting bagi menentukan naik atau turun karier seseorang artis.

Katanya, tanpa publisiti, kerjaya seseorang penyanyi itu dipandang sepi walaupun hakikatnya dilimpahi dengan pelbagai undangan menyanyi.

“Saya sedar, ONE agak kurang menerima publisiti seolah-olah kami tidak aktif lagi dalam industri.

“Sebenarnya, jadual seni kami begitu padat sehinggakan masa untuk bersama keluarga dan kawan-kawan amat terhad.

“Ia termasuklah kesibukan kami sebelum ini yang membintangi filem terbitan Primeworks Studio iaitu Klip 3GP.

“Tidak bermaksud untuk membangga diri, sebaliknya saya bersyukur kerana dilimpahi dengan rezeki yang tidak putus-putus,” jelas Mimi yang semakin ramping dan anggun itu.

Dalam pada itu, bagi menyokong hujah yang diperkatakan Mimi itu, baru-baru ini, ONE dipilih oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) untuk mengadakan persembahan di pentas berprestij dunia iaitu Istana Budaya (IB) pada 1 hingga 3 Julai lalu.

Ia sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2011 (FMKL) yang berlangsung sepanjang bulan ini.

Ujar Mimi, dia menganggap tawaran agensi kerajaan itu sebagai simbolik kejayaan kumpulannya kerana usia pembabitan seni mereka yang masih mentah dihargai oleh sebuah organisasi besar seperti JKKN.

“Semestinya kami berbangga membuat persembahan di IB kerana ramai penggiat seni yang mendambakan untuk beraksi di pentas berprestij itu.

“Syukur dan terima kasih diucapkan kerana peluang tersebut diberikan kepada ONE,” ucap Mimi.

0 comments: