Isnin, 18 Julai 2011

Pelajar perempuan monopoli IPTA


KUALA LUMPUR 16 Julai - Kerajaan perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik untuk memperbetulkan keadaan tidak seimbang berikutan penguasaan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya keperluan tenaga kerja dan pembangunan sumber manusia dapat diseimbangkan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, apa yang membimbangkan keadaan itu tidak menggambarkan jumlah sebenar penduduk Malaysia mengikut jantina yang menyaksikan jumlah lelaki melebihi perempuan iaitu seramai 14,379.9 juta berbanding 13,870.6 juta mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2010.

Sehubungan itu, katanya, program-program bersesuaian perlu disediakan kepada pelajar lelaki di samping program motivasi demi meningkatkan prestasi mereka bagi mewujudkan keadaan lebih seimbang.

"Bagaimanapun, langkah untuk mewujudkan kuota tidak wajar dilaksanakan supaya tidak dinafikan hak semua rakyat tidak mengira jantina untuk mendapatkan pelajaran.

"Namun, pada masa sama kita tidak mahu lebih ramai wanita berkelulusan tinggi mendominasi sektor perkhidmatan awam mahu pun swasta dan ini menyebabkan pembangunan sumber manusia negara akan terjejas untuk jangka panjang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kemasukan ke IPTA bagi sesi akademik 2011/2012 seperti diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa semalam menyaksikan sebanyak 65.5 peratus diisi oleh pelajar perempuan.

Bagaimanapun, pelajar lelaki menguasai melebihi 50 peratus ke universiti teknikal.

Sementara itu, Timbalan Naib Cancelor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Raduan Che Rose berkata, keadaan ketidakseimbangan itu sudah berlaku lebih sedekad lalu apabila kerajaan memperkenalkan sistem meritokrasi bagi kemasukan ke IPTA.

Katanya, biarpun pelajar perempuan memonopoli IPTA, namun pelajar lelaki pula dilihat menguasai institut kemahiran dan teknikal yang mana turut menjadi satu keperluan guna tenaga kerja negara.

"Kita tidak perlu cemas kerana apabila memasuki pasaran kerja, keadaan tidak seimbang ini menjadi normal kerana kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi adalah berbeza memandangkan pelajar lelaki lebih meminati program kemahiran dan teknikal.

"Bagaimanapun, kerajaan juga perlu memberi peluang dan pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang mempunyai kelayakan kemahiran dan teknikal dalam skim perkhidmatan awam," katanya.

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

0 comments: