Rabu, 6 Julai 2011

Tomok matang layari bahtera rumah tangga




SETELAH lapan tahun menjalin kasih, akhirnya pasangan merpati dua sejoli ini selamat diijabkabul Jumaat lalu.
Antara debar dan gembira, dengan sekali lafaz, Shah Indrawan Ismail, 27, atau lebih dikenali sebagai Tomok sah bergelar suami kepada bidadari hatinya, Siti Rahayu Abas, 32.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli, dalam suasana yang cukup meriah di Dewan Serbaguna AU2 Taman Sri Keramat, tepat pukul 9.20 malam.
Sebaik sahaja selesai upacara akad nikah, Tomok terus mendirikan sembahyang sunat dua rakaat sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Tuhan.
Jelas terpancar cahaya kegembiraan pasangan suami isteri ini sebaik sahaja Tomok menyarungkan cincin di jari manis Rahayu.
Dalam majlis akad nikah itu, Tomok menyerahkan mas kahwin RM300 kepada mempelai perempuan yang berwalikan bapanya, Abas Mohd Saidon.
Di samping itu, Rahayu atau mesra dipanggil Ayu, menerima sembilan dulang hantaran termasuklah wang hantaran sebanyak RM12,697.11, senaskhah al-Quran, telekung, set barang kemas dan minyak wangi, cincin, sirih junjung, sepersalinan baju, jam tangan, beg dan kek.
Pihak lelaki pula menerima 11 dulang hantaran iaitu al-Quran, sejadah, jam tangan, coklat, kek, sepasang kasut, set minyak wangi, dompet, sepersalinan baju Melayu dan sirih junjung.
Pasangan pengantin yang mengenakan pakaian nikah berwarna krim rekaan Hatta Dolmat itu juga tidak henti-henti melemparkan senyuman kepada tetamu yang hadir.
"Alhamdulillah, saya gembira sangat kerana setelah lapan tahun kami menyulam cinta, akhirnya, kami selamat diijab kabul.
"Apa yang lebih penting, tanggungjawab sebagai suami akan saya pikul sebaiknya dan saya akan pastikan Ayu dijaga dengan baik," kata vokalis kumpulan New Boyz ini sambil tersenyum.
Dari peminat ke jenjang pelamin
Bagi juara One In A Million musim ketiga ini juga, dia tidak menyangka perkenalan yang bermula dari insiden bertukar nombor telefon sebagai peminat dan artis akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin
"Saya ingat lagi, saya bertukar nombor telefon dengan Ayu ketika saya terlibat dalam satu penggambaran.
"Bermula dari situ, kami kerap berhubung dan alhamdulillah, sekarang kami sah bergelar suami isteri.
"Selain dari sifat penyayang Ayu, dia memang pandai memasak. Bab memasak, serahkan saja pada Ayu.
"Asam pedas, kek, biskut dan macam-macam lagi masakan yang dia buat, memang sedap. Itu yang buat hati saya terpaut sangat pada dia," ujar Tomok sambil melirik memandang wajah isterinya yang berada di sisi.
Bagi Ayu pula, soal usia bukanlah penghalang bagi mereka mengenali hati budi masing-masing.
Katanya, dia percayakan jodoh dan jika Tomok adalah jodoh bagi dirinya, dia terima dengan hti yang terbuka.
"Soal umur tidak pernah terlintas di fikiran kami sepanjang perkenalan kerana yang penting, saya senang dengan sikap dan keperibadian dia.
"Bak kata orang, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Saya bersyukur kerana dia kini adalah suami saya.
"Satu lagi perkara yang membuatkan hati saya terpaut kepada dia ialah sikapnya yang matang.
"Dia sentiasa mengambil berat tentang diri saya. Dan kalau ada masalah, kami berbincang kerana setiap masalah itu, pasti ada jalan penyelesaian," katanya.
Ramai anak
Selepas majlis persandingan, Tomok berkata, buat masa ini, dia belum merancang untuk membawa isterinya menikmati bulan madu.
Jelasnya, ini disebabkan jadualnya amat padat dan sukar baginya untuk mengambil cuti.
"Buat masa sekarang, saya kena tumpukan pada kerjaya seni. Lagi pun, saya kini ada lebih tanggungjawab.
"Soal berbulan madu, memang belum difikirkan lagi kerana seminggu selepas majlis resepsi ini, saya akan memulakan penggambaran telemovie Diari Kampus Biru pula," ujarnya
Menyentuh tentang zuriat, terus terang Tomok berkata, dia sememangnya mengimpikan anak yang ramai bagi memeriahkan keluarganya nanti.
"Saya memang suka budak-budak. Jadi, kalau boleh saya memang nak anak yang ramai," ujarnya sambil berdoa, perkahwinan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar SYEFRY MONIZ, MOHD. AZIM ABD. RAHMAN & AMIN FARIJ HASSAN

0 comments: