Selasa, 19 Julai 2011

Penarik beca dilatih bawa atlet


KUALA LUMPUR 19 Julai — Bagi memastikan temasya Sukan SEA ke-26 bebas pengangkutan menggunakan minyak, bandar raya Palembang, Sumatera Selatan akan melatih 3,000 penarik beca untuk membawa atlet dan pegawai dari perkampungan atlet ke venue pertandingan.

Timbalan Pengarah Kedua Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Indonesia, Mudai Madang berkata, setakat ini jawatankuasa itu telah melatih 300 orang.

"Kami melatih mereka dengan kemahiran melayan tetamu. Mereka kemudian akan membawa atlet dari asrama ke tempat pertandingan,” katanya lapor Jakarta Post hari ini.

Langkah itu katanya, bagi membantu orang miskin selain memastikan Bandar Raya Sukan Jakabaring, iaitu kompleks sukan di mana temasya itu berlangsung, bebas daripada pengangkutan berenjin menggunakan minyak.

Bagaimanapun kata Mudai, jawatankuasa itu belum menentukan kadar bayaran kerana mereka masih menunggu jumlah peruntukan sebenar yang disediakan kerajaan pusat.

"Yang pasti bayaran lebih tinggi daripada pendapatan harian mereka,” katanya.

Indonesia menganjurkan temasya itu yang bermula dari 11 hingga 25 November ini di dua venue iaitu Jakarta dan Palembang. - Bernama

0 comments: