Selasa, 19 Julai 2011

Wanita sarat mengandung maut, suami dan mertua parah dalam kemalangan


KULIM 17 Julai: Seorang wanita yang sarat mengandung maut manakala suami dan bapa mertuanya parah apabila kederaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan lori pasir di persimpangan lampu isyarat Taman Selasih, di sini.

Shalini Mohd Yusof, 26, mati di tempat kejadian manakala suaminya Norhusaini Normadi Hamdan, 26, dan bapa mertuanya Hamdan Abdullah, 61, cedera parah dan dirawat di Hospital Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu Norhusaini Normadi dilanggar sebuah lori pasir ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

“Kenderaan yang dinaiki keluarga itu dari arah Taman Selasih berhenti menunggu lampu hijau apabila lori membawa pasir yang dipercayai dipandu laju dari arah Kampung Air Merah membelok ke kiri arah Taman Selasih lalu terbabas dan terbalik menghempap Toyota Hilux berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan pasir yang dibawa lori terbabit tumpah di atas jalan raya lalu menimbus Toyota Hilux itu,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan yang ditimbusi pasir itu.

Mayat Shalini yang mengandung lapan bulan itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

0 comments: