Ahad, 10 Julai 2011

Nurul AF2 Nafi membelakangi Keluarga!



Membuat satu sidang media tergempar, bekas pelajar program realiti, Akademi Fantasia musim kedua, Nurul (AF2) mahu menjelaskan kedudukan sebenar tentang pernikahannya  bersama Mohd. Munzil Muhamad, 27 tahun yang berlangsung di Narathiwat, Thailand pada 23 Apr 2011. Nurul yang hadir bersama suaminya dan dua orang wakil peguam syariah, tampil membuat penjelasan apabila mereka dikatakan membelakangi keluarga sebenar Nurul sewaktu majlis pernikahan itu sepertimana yang disiarkan dalam program Melodi baru-baru ini.

Nurul dan suaminya, Mohd Munzil

Menafikan tentang perkara itu, Nurul memberitahu dia sudah cuba untuk mencari keluarga kandungnya tetapi segala usahanya itu gagal atas beberapa sebab yang tertentu. "Bukan kami tidak mencari, pelbagai usaha sudah dilakukan tetapi usaha kami tetap gagal. Kami sudah cuba meminta bantuan daripada Jabatan Agama Islam Sarawak, tetapi mereka juga tidak dapat membantu. "Selain itu, saya juga telah turun sendiri ke Sarawak dan berjumpa dengan penghulu di kampung itu, tetapi atas beberapa sebab peribadi, usaha kami ini juga gagal," jelas Nurul. Mengakui agak tertekan dengan berita yang dikeluarkan dan cemuhan orang ramai di Internet menurut Nurul, dia sama sekali tidak pernah berniat untuk menyorokkan statusnya sebagai anak angkat. "Selama ini saya langsung tidak pernah berniat untuk membelakangi mereka, dan saya juga tidak pernah menyembunyikan status sebagai anak angkat.

Nurul dan suami akan bertemu keluarga kandungnya nanti

"Memang saya menggunakan nama Nurul Abdul Hamid, tetapi ia hanya bertujuan komersial sahaja selain untuk mengenang jasa ayah angkat saya yang selama ini menjaga saya, namun realitinya, untuk segala urusan peribadi saya masih menggunakan nama Nurullah binti Nawawi iaitu nama ayah kandung saya termasuk sewaktu saya bernikah. "Susah untuk saya berkata panjang tentang perkara ini kerana baik buruknya ia tetap melibatkan keluarga saya, jadi banyak perkara terpaksa dipendamkan sahaja," jelas Nurul yang kini mahu dikenali sebagai Nurullah Abdul Hamid binti Zawawi. Mahu menjernihkan keadaan, jelas Nurul, dia dan suaminya bersedia untuk bertemu ayah dan ibu kandungnya di Sarawak bagi menyelesaikan masalah ini. "Selepas berkahwin, saya lebih berani dan mempunyai kekuatan untuk bertemu dengan keluarga kandung saya selepas ini demi untuk menjernihkan semula keadaan. "Saya akui memang saya tidak pernah bertemu mereka, dan pertama kali saya melihat wajah mereka adalah sewaktu di dalam rancangan Melodi baru-baru ini," luahnya lagi yang  baru bernikah pada 23 Apr yang lalu.

1 comments:

Cikrosecute berkata... Reply To This Comment

Kesian Nurul....Tapi kalau kawin guna wali hakim mahkamah kat sini...mesti tak ada isu...masalahnya kawin kat sana....tu yang jadik isu..