Ahad, 31 Julai 2011



SIRI terakhir filem Harry Potter and The Deathly Hallows: Part 2 (HPDH2) telah memberikan kesan yang begitu mendalam ke setiap sanubari penggemar filem adaptasi dari novel terkenal itu.
Siri kelapan pengembaraan Harry Potter lakonan Daniel Radcliffe dan rakan-rakannya sejak beberapa tahun yang lalu dilihat berjaya memberi mood penamat yang dinantikan oleh peminatnya. Filem arahan David Yates diberi pengikhtirafan lima bintang.
Dalam erti kata lain, filem terakhir ini membanggakan kerana berjaya menawarkan episod pengakhiran yang memuaskan untuk terus dikenang.
Jika dibentangkan perjalanan kekuatan filem ini, jelas sekali HPDH2 lengkap dengan plot, aksi, emosi dan persembahan visual yang baik.
Bercampur dengan arahan yang baik dan penulis skrip yang berkaliber, Steve Kloves telah berjaya memaparkan sebuah filem yang kaya elemen hiburan, gandingan ini tidak terlepas untuk mengukuhkan lagi filem ini dengan babak-babak penting termasuk imbasan semula latar belakang Harry Potter dan beberapa plot yang menjadi nadi sejarah remaja ajaib ini.
Jadi bagi setiap penonton yang tidak pernah mengikuti atau sekadar mengetahuinya secara kasar sahaja filem ini, masih lagi boleh sekurang-kurangnya memahami dan mendapat gambaran tentang Harry Potter.
Aplikasi teknikal dan teknologi yang merangkumi syot, imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, transisi babak dan pewarnaan yang dicurahkan memang cukup mengagumkan.
Pendek kata, penelitian produksi HPDH2 berhasil menerbitkan sebuah filem yang bermutu jika dibandingkan dengan jenama Hollywood yang lain.
Lakonan yang mantap
Menyentuh berkenaan lakonan, persembahan bintang-bintang besar yang membarisi filem ini ternyata meyakinkan dan berkesan.
Selain aksi menawan tiga teraju utama pelakon terkenal British, Ralph Fiennes terus berjaya memegang watak sebagai Lord Voldermont yang cukup terkenal dengan keganasannya itu.
Begitu juga aksi Alan Rickman yang memegang watak sebagai Professor Severus Snape yang menyimpan sejarah hitam pada keluarga Potter.
Watak Potter sendiri misalnya jika diukur dari segi usia, wataknya digambarkan sebagai seorang remaja, namun kecekalan anak muda itu dalam menghadapi musuh tradisi serta kematangannya berdepan situasi yang cukup mencengkam membuatkan penonton turut sama merasakannya.
Begitupun, amat sukar untuk dinafikan, di samping kekuatan ceritanya sendiri, elemen paling menarik mengenai filem ini tentu sekali visualnya.
Babak pertarungan yang dipersembahkan filem ini sungguh mengagumkan. Lihat sahaja kepada babak si pahlawan melarikan diri dari ruang bawah tanah Bank Gringgots bersama seekor naga, yang membuktikan teknik janaan komputer yang paling menarik dipaparkan oleh pengarahnya.
Dalam pada itu penonton juga akan terpukau menyaksikan babak membabitkan Profesor Snape lakonan Alan Rickman ketika dia berdialog dengan Potter.
Menerusi memori Snape, dia bertemu dengan ibunya, Lil dan juga bapanya, dalam perbualan itulah, segala rahsia yang selama ini mempunyai kaitannya dengan Potter akhirnya terbongkar.
Segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya di kalangan peminat, sudah terjawab semuanya.
Penamat siri francais yang boleh dikatakan sebagai salah satu yang terbaik dan pasti menjadi ingatan kepada peminat-peminat filem ini. -Oleh MOHD. RASDAN AHMAD

Enno Lerian jumpa pengganti baru



PENYANYI, Enno Lerian dilihat begitu mudah melupakan bekas kekasihnya sebelum ini Muhammad Akbar Perkasa atau Abes.
Kini penyanyi itu telah memilih seorang usahawan yang dikenali sebagai Priyambodo sebagai teman hidupnya.
Mereka berdua dikhabar mendirikan rumah tangga pada minggu ini.
Awalnya ramai yang menjangkakan, Enno akan berkahwin dengan bekas suami Rachel Maryam, Ebes, karana pada awal tahun lalu, Enno dan Ebes sempat menjalin hubungan cinta mereka.
”Ramai yang menjangkakan saya akan berkahwin dengan Abes, sebenarnya saya akan berkahwin dengan orang lain,” ujarnya.

Dianna Agron nikmati detik hidup


Dianna Agron

LOS ANGELES 30 Julai - Aktres Dianna Agron yang kini sedang bercinta dengan bintang Gossip Girl, Sebastian Stan, berbahagia dengan kehidupannya sekarang.
Pelakon siri televisyen Glee itu yang sebelum ini pernah bercinta dengan bintang pujaan Britain, Alex Pettyfer berkata, dia menyukai setiap waktu dalam kehidupannya tetapi menganggap kini adalah yang terbaik baginya.
"Saya rasakan inilah waktu yang sangat membahagiakan diri saya berbanding di sekolah dulu kerana kini saya dilayan seperti apa yang saya mahukan," katanya.
Agron mengakui dia kerap memikirkan tentang hala tuju hidupnya untuk membuat keputusan yang berbeza.
"Jika enam tahun lalu, apa yang boleh saya lakukan jika berada dalam situasi sebegini? Saya hanya akan bayangkan situasi sama cuma mengubahnya ke arah yang berlainan," katanya ketika ditemu bual majalah Flaunt. - AGENSI

Soulja Boy belanja RM163 juta beli jet


LOS ANGELES 30 Julai - Penyanyi rap Amerika, Soulja Boy yang popular dengan lagu Kiss Me Through the Phone dilapor membelanjakan sejumlah AS$55 juta (RM163.2 juta) untuk membeli dan mengubahsuai sebuah jet peribadi sempena hari lahirnya.
Laman web selebriti TMZ melaporkan, Soulja atau nama sebenarnya DeAndre Cortez Way membeli jet peribadi jenis Gulfstream G5 dengan harga AS$35 juta (RM103.8 juta).
Penyanyi tersebut dikatakan turut menambah AS$20 juta (RM59.3 juta) lagi bagi pengubahsuaian jet itu untuk membina empat bar, 12 kerusi kulit buatan Itali, televisyen plasma, kabinet kayu buatan Brazil dan lantai jubin khas.
Soulja turut mengganti tandas sedia ada dengan bilik mandi yang lebih mewah dan besar serta mengecat semula jet tersebut dengan meletakkan logo miliknya.
Jurucakapnya, Greg Miller dalam satu kenyataan bagaimanapun mengenepikan laporan berkenaan dengan menyatakan ia tidak benar.
"Dia hanya meminjam jet peribadi tersebut dariseorang jutawan dan tidak bercadang untuk membelinya," kata sumber yang rapat dengan penyanyi rap tersebut.
Identiti pemilik jet tersebut bagaimanapun tidak diketahui sehingga kini. - AGENSI/REUTERS

Beckham mahu tambah anak lagi


David Beckham dan isterinya,
Victoria bersama tiga anak lelaki mereka sewaktu
menyaksikan persembahan teater The Little Mermaid di
 The Lunt Fontanne Theatre, New York tahun lalu. - Agensi

LOS ANGELES 30 Julai - Bintang bola sepak England, David Beckham dan isterinya, Victoria berhasrat menambah seorang lagi cahaya mata bagi melengkapkan 'keluarga besar' mereka.
"Kami bercadang untuk mendapatkan seorang lagi cahaya mata bagi melengkapkan bilangan anak kepada lima. Jika bertuah, kami akan mendapatkannya," kata pasangan tersebut.
Beckham, 36, yang memiliki tiga anak lelaki iaitu Brooklyn, 12; Romeo, lapan; dan Cruz, enam; baru sahaja dikurniakan seorang anak perempuan, Harper Seven awal bulan ini.
"Harper memiliki hidung seiras ibunya dan muka seiras ketiga-tiga abangnya. Kami merasa sangat bertuah dengan kehadirannya," katanya.
Sebelum ini, Beckham mendedahkan amat sukar baginya untuk meninggalkan anak dan isteri apabila terpaksa memenuhi jadual perlawanan pasukan LA Galaxy.
"Setiap kali berjauhan, saya tidak sabar untuk kembali ke pangkuan mereka," katanya. - AGENSI

Button muncul juara di GP Hungary


BUDAPEST - Pelumba McLaren, Jenson Button mencatat perlumbaan yang ke-200 dengan melakar kemenangan pada Grand Prix (GP) Hungary di sini, semalam.
Pemandu Britain berusia 31 tahun itu mengatasi pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel dari pasukan Red Bull, manakala Fernando Alonso dari Ferrari di tempat ketiga. - AFP

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok, 1 Ogos


KUALA LUMPUR 31 Julai - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 1 Ogos 2011 bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Beliau membuat pengumuman itu melalui siaran langsung RTM1 malam ini.
Pada 26 Julai lalu, pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengumumkan tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.
Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah serta hisab.

Dr Queisser dilantik MD baru BASF Petronas Chemicals


KUANTAN 31 Julai – BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd melantik Dr Joachim Queisser sebagai Pengarah Urusannya yang baru, berkuat kuasa esok.
Queisser, 44, pemegang PhD dari Universiti Karlsruhe, Jerman menggantikan Dr Hermann Brandt, yang bersara hari ini.
Beliau memulakan kerjaya dengan BASF pada 1996 dan pernah menyandang beberapa kedudukan penting dalam syarikat itu di Eropah, dengan jawatan terkini Naib Presiden Pengeluaran, Kejuruteraan Plastik (Eropah) di Ludwigshafen, Jerman.
Tugas di BASF Petronas Chemicals ini merupakan yang pertama buat Queisser di Malaysia.
Beliau berkata, BASF Petronas bercadang melabur dalam sektor pembuatan polimer boleh serap yang digunakan dalam produk pakai buang seperti lampin bayi, seluar dalam dewasa dan tuala wanita.
Queisser berkata demikian selepas mengiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melakukan lawatan rasmi ke kilang syarikat berkenaan di Gebeng hari ini. – Bernama

Jenazah Syed Ahmad Syed Jamal selamat dikebumikan


KUALA LUMPUR 31 Julai – Jenazah Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, 82, yang meninggal dunia malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini, pada 11.30 pagi tadi.
Syed Ahmad, yang menerima anugerah Hadiah Seni Negara pada 1995 dan pelbagai hadiah lain sepanjang penglibatan beliau dalam seni visual, meninggal dunia di kediamannya di Gombak kira-kira pukul 10 malam.
Beliau meninggalkan isteri Datin Halimah Mohd Noor, 69, dan dua anak lelaki iaitu Syed Nurlhaq, 35, dan Syed Nabil, 39.
Ketika ditemui pemberita, Halimah berharap usaha Allahyarham suaminya untuk menaikkan martabat seni negara dapat diteruskan pelbagai pihak.
"Arwah telah mengutarakan banyak cadangan kepada kerajaan serta pihak lain dalam usaha ikhlas arwah naikkan martabat seni negara... harap cadangan ini dapat dilaksanakan,” katanya. – Bernama

Gara-gara berselisih faham: Lelaki maut ditikam anak tiri


ALOR SETAR 31 Julai – Gara-gara perselisihan faham, seorang pembuat serunai maut ditikam anak tirinya dalam satu kejadian di Kampung Tebengau Kuala Kedah di sini malam tadi.
Mangsa, Ismail Ahmad, 58, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kira-kira pukul 9.15 malam tadi akibat kecederaan di dada dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 7.45 malam, suspek yang sedang membaiki kereta tiba-tiba didatangi bapa tirinya yang menyerang dengan kayu.
Katanya, suspek kemudian menyerang balas mangsa dengan pisau lipat dan terkena tikaman di sebelah dada kiri selain kecederaan di kepala.
“Suspek menyerah diri di Balai Polis Kuala Kedah pukul 10.10 malam tadi.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat tikaman tersebut,'' katanya memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Oleh JAMLIAH ABDULLAH

Jalaluddin Ketua Polis Kelantan yang baharu ganti Rahim


KOTA BHARU 31 Julai – Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan menggantikan Datuk Abdul Rahim Hanafi yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Majlis penyerahan tugas kepada Jalaluddin dilakukan oleh Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim dengan disaksikan oleh Abdul Rahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, hari ini. -Oleh RAHANA MOHD DAHARI

Pemangku Pengarah Urusan UDA Holding meninggal dunia


KUANTAN 31 Julai – Pemangku Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Muhammad Radzi Mohd Basar meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah hotel di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha berkata, kematian Muhammad Radzi, 53, disedari setelah beberapa orang kakitangannya gagal menghubungi beliau di bilik hotel berkenaan.
“Muhammad Radzi cuba dihubungi kakitangannya dari 7 hingga 7.30 pagi sebelum pergi memeriksa di bilik pada 8.30 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya, polis terus ke lokasi kejadian dan menghantar mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan telah meninggal dunia akibat serangan jantung.
Beliau berkata, polis menyifatkan kejadian itu sebagai mati mengejut.
Allahyarham sepatutnya menghadiri majlis Pecah Tanah Pembangunan Resort Empat Bintang di Pekan, hari ini. – Bernama

Seniman Negara 1995, Syed Ahmad meninggal dunia


KUALA LUMPUR 31 Julai - Seniman Negara 1995, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal meninggal dunia di kediamannya di Gombak di sini, kira-kira 10 malam semalam.
Perkara itu disahkan sumber dari Unit Perhubungan Awam Balai Seni Lukis Negara yang dihubungi Bernama di sini.
Allahyarham berusia 82 tahun dan meninggalkan balu Datin Hamidah Mohd. Noor dan dua anak lelaki.
Syed Ahmad yang berasal dari Muar, Johor mendapat pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Baharu sebelum melanjutkan pengajian di Birmingham School of Architecture pada 1950 hingga 1951 dan Chelsea School of Art, London pada 1951 hingga 1955.
Syed Ahmad merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni. - Bernama

Sabtu, 30 Julai 2011

Fiza bahagia dengan anak-anak


Permata hati Fiza, Ferra Aryanna (kiri) dan Feeya Adyrra.
EH... Annissa datang.

Fiza apa yang akan terjadi kepada suami awak nanti,” itulah antara soalan spontan yang diajukan oleh peminat sewaktu melihat Fiza di The Curve baru-baru ini.

Ternyata lakonan Fiza sebagai Ana seorang isteri yang penyabar, memberi impak besar kepada peminat-peminatnya.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim, 31, berkata, itulah watak protagonis yang berjaya membuat penonton kasihan kepadanya.

Sebelum ini Fiza sering diberi watak antagonis sehingga membuatkan orang beranggapan dia juga jahat seperti peranannya dalam drama bersiri Asmara.

Bagaimanapun kata Fiza, akhir-akhir ini ramai yang mudah simpati dengannya dan tidak hairanlah rezekinya dalam bidang lakonan juga semakin bertambah.

Alhamdulillah, akhir-akhir ini rezeki saya murah sangat.

Ada banyak tawaran berlakon dan ada ketikanya, saya terpaksa tolak kerana jadualnya bertindih.

“Sepanjang saya berlakon Annissa, ada lima job yang terpaksa saya tolak, dua untuk drama episod dan tiga telefilem. Selepas Annissa, saya ada job tapi saya tolak juga kerana tidak larat nak bekerja back to back,” jelasnya.

Fiza yang telah bercerai dengan suaminya, Ahmed Farriq Zainul Abidin, 31, pada November 2010, dikurniakan dua cahaya mata, Ferra Aryanna, 3, dan Feeya Adyrra, 2, berkata, matlamat hidupnya sekarang adalah untuk anak-anak.

Menurut Fiza, biarpun dia dan suami mendapat hak penjagaan anak bersama, namun anak-anaknya banyak menghabiskan masa dengan bekas suami dan mertua di Gombak kerana kesibukannya berlakon.

“Fiza tidak kisah anak-anak dijaga suami dan mertua kerana Fiza sendiri sibuk.

Ada baiknya mereka dengan bekas suami kerana segala keperluan terjaga.

“Walaupun Fiza tidak bersama kakak dan adik (panggilan untuk kedua-dua orang anaknya), tapi setiap apa yang mereka lakukan Fiza tahu. Fiza tahu pukul berapa mereka tidur, bangun, pergi kelas dan mengaji,” katanya terus terang.

Kata Fiza, pembantu rumahnya, Yulianti, 25, sentiasa menjadi mata dan telinganya ketika dia tidak bersama anak-anak.

Baginya, Yulianti bukan sekadar pembantu tapi lebih kepada seorang saudara kerana mereka sudah bersama sejak Fiza melahirkan Feeya Adyrra.

Kalau nak tahu, bila si adik nak tidur, dia mesti cari Yulianti.

Fiza tabiklah dengan dia sebab boleh menjaga kakak dan adik dengan sabar.

Budak-budak biasalah, ada ketikanya tidak mahu dengar cakap.

Setiap kali Fiza shooting, ketiga-tiga mereka akan menetap di Gombak dan bila free, Fiza akan ambil mereka untuk tinggal dengan Fiza di Damansara.

“Waktu itu, kami akan keluar jalan-jalan. Sebab itulah, orang sekitar The Curve sudah kenal kami kerana Fiza akan bawa anak-anak lepak kat sini,” ceritanya tersenyum.

S3 dapat melihat kemesraan yang terjalin antara Fiza dan anak-anak bersama dengan jurujual di bahagian permainan.

Ketika Aryanna dan Adyrra ingin menunggang binatang mainan, mereka disuruh naik dulu dan bayar kemudian.

Malah, Aryanna dan Adyrra yang comel dan sering menarik perhatian orang ramai itu turut menunjukkan kebolehan mereka membaca doa makan, tidur dan lagu-lagu berunsur keislaman.

Banyak perkara yang Fiza belajar daripada mereka. Kalau hari ini mereka diajar perkara baru di tadika atau kelas mengaji, pasti Fiza tahu malah secara tidak langsung, Fiza pun dapat belajar.

“Cuba tengok telatah adik macam burung kakak tua. Dia ikut sahaja apa kakaknya buat, tapi ada bagusnya kerana dia dapat belajar banyak perkara,” katanya.

Disebabkan keletah anak-anaknya yang sentiasa ceria itulah Fiza tidak dapat berpisah lama dengan mereka dan setiap seorang dibelikan telefon bimbit selain pembantu rumah.

Naluri seorang ibu membuatkan Fiza tidak dapat berpisah lama dengan anak-anaknya.

Walaupun tidak dapat bertemu setiap hari kerana tugasan, namun Fiza akan pastikan dia berpeluang mendengar suara mereka.

“Tiap kali mahu bertemu mereka, Fiza pasti teruja kerana ada sahaja cerita baru yang dapat Fiza dengar,” katanya terus terang.

Bila ditanya tentang masa depan, Fiza yang pernah dikaitkan dengan Faizal Mohd. Khan, 33, bapa kepada pelakon Erin Malek memberitahu yang dunianya sekarang adalah anak-anak dan kerjaya.

Kata Fiza, dia tidak menolak jika bertemu jodoh lagi tapi untuk memilih siapa atau tarikh pernikahan, bukanlah urusannya.
“Baru sangat Fiza bercerai. Bagilah Fiza kumpul wang untuk masa depan. Kalau ada jodoh, Fiza tidak menolak,” katanya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Gambar MOHD. NAIM AZIZ

Ahad, 24 Julai 2011

Majlis Tilawah al-Quran: Qari, qariah Malaysia muncul johan


KUALA LUMPUR 23 Julai – Qari dan qariah Malaysia, Amirahman Abas dan Suraya Abu Hassan muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam ini.

Amirahman yang membacakan surah Nahl bermula ayat 65 meraih markah 89.26 peratus manakala Suraya yang memperdengarkan surah Al-Zahraa bermula ayat ke-57 pula mendapat 88.67 peratus.

Kedua-duanya menyampaikan bacaan mereka pada malam ini, iaitu malam terakhir majlis tilawah tersebut yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dan disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Kemenangan itu membolehkan qari Malaysia tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai RM32,200 berserta trofi dan sijil.

Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Dalam pada itu, qari Filipina, Saudi M. Gandisa muncul naib johan apabila mengumpul markah 88.67 peratus dan tempat ketiga, Abdel Bast Mohamed dari Mesir dengan 87.88 peratus.

Bagi kategori qariah, tempat kedua dimenangi peserta Indonesia, Noor Khalidah Kapsul Anwar yang memperoleh markah 88.30 peratus dan ketiga, Nur Azizah Sholichin dari Singapura dengan 86.17 peratus.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima hadiah wang tunai RM22,400 dan RM13,600 berserta sijil.

Peserta lain tilawah tersebut pula menerima sagu hati berupa hadiah wang tunai RM4,800 berserta sijil.

Bagi kategori qari, tempat keempat dimenangi qari Iran, Hamidreza Abbasi dan kelima, qari Brunei, Awang Ismail Sulaiman.

Qariah dari Brunei, Dayang Nuurfaezah Emran pula menduduki tempat keempat, manakala kelima, Rahima M. Panondiongan dari Filipina.

Majlis tilawah yang berlangsung sejak 16 Julai lalu bertema 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah' menyaksikan 81 peserta (50 qari dan 31 qariah) dari 50 negara mengambil bahagian.

Penghakiman tilawah tahun ini dilakukan 16 hakim dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun.

Majlis malam ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM

Sabtu, 23 Julai 2011

Kerajaan negeri peruntuk RM2.8j bina bangunan baru Perpustakaan Kuala Penyu


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi membina bangunan baru Perpustakaan Negeri Cawangan Kuala Penyu yang dijangka siap Oktober tahun depan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Azizah Mohd Dun berkata, projek pembinaan bangunan perpustakaan baru itu dimulakan bulan ini dan dijangka siap Oktober 2012.

“Bangunan perpustakaan itu akan dibina di tapak seluas 10,000 kaki persegi dan apabila siap kelak pelbagai kemudahan akan disediakan termasuklah perkhidmatan pinjaman, rujukan, hypermedia, internet dan perkhidmatan khusus untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Saya juga berharap sudut untuk kaum wanita, kepimpinan dan kepenggunaan dapat disediakan di perpustakaan itu kelak untuk kemudahan masyarakat mendapatkan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Bangunan Baru Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kuala Penyu, kelmarin.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu John Teo, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna Datuk Asnimar Haji Sukardi, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Wong Vui Yin dan Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmund Teo.

Azizah yang juga Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Beaufort menyeru masyarakat di daerah Kuala Penyu menjadikan perpustakaan itu sebagai tempat yang mesti dikunjungi sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu untuk meminjam buku atau membaca bahan bacaan bagi menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, bagi golongan ibu bapa, selain memberi galakan kepada anak-anak supaya berkunjung ke perpustakaan, mereka juga perlu merebut peluang meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang supaya dapat bersaing atau sekurang-kurangnya mampu menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.

“Kemudahan perpustakaan yang disediakan oleh kerajaan tidak akan bermakna sekiranya masyarakat tidak menggunakannya secara maksima dan berterusan,” katanya.

Azizah yang juga Adun Klias berkata dalam zaman yang penuh cabaran, ilmu pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat merupakan sumber utama agar lebih berdaya saing.

“Ini kerana daya saing dan kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Oleh itu, kerajaan memberi keutamaan kepada sektor pendidikan termasuklah pendidikan tidak formal melalui kemudahan perpustakaan.

“Kita mahu melihat pencapaian pelajar-pelajar khususnya di Sabah cemerlang dan berdaya saing. Penyediaan perkhidmatan perpustakaan yang lengkap di lihat dapat memberi sumbangan kepada peningkatan pembelajaran para pelajar sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.

Sebab itu katanya, KPM&HEP memberi perhatian penuh kepada perkhidmatan perpustakaan di peringkat wilayah, cawangan, pekan dan perpustakaan desa.

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta



KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.

Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.

"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).

"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.

Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.

Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.

Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.

Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.

"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.

"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.

Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.

Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.

"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Norman & Memey undang Abby ke majlis perkahwinan


SELAMAT PENGANTIN BAHARU
NORMAN & MEMEY.

Terkejut dan teruja, itu perasan yang dialami oleh pasangan Norman Hakim dan Memey Suhaiza menjelang majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung September ini.

Bukan hanya berdebar menanti detik bergelar suami isteri, tetapi Norman dan Memey berdebar menanti detik berlangsungnya majlis resepsi penuh bermakna, dimana persandingan mereka ini akan ditaja sepenuhnya oleh Refflesia, Jimmy Choo, Hotel Crown Plaza dan beberapa jenama lain.

“Ini semua diluar jangkaan fikiran dan saya ambil tajaan ini sebagai satu kerjasama dua hala yang memberi pulangan sama rata pada kami.

“Sebenarnya, rancangan awal perkahwinan kami hanya dibuat di Johor, tiada majlis resepsi diadakan di Kuala Lumpur, tetapi apabila Bilbora panggil untuk berbincang, kami setuju dengan apa yang telah dirancang.

“Sungguh tidak diduga ia disusun dengan begitu baik dan teratur sehinggakan kami rasakan ia seakan perkahwinan berkonsepkan Norman and Memey Wonderland.

“Kami memang gementar melihat apa yang dirancang ini, dan saya telefon ibu untuk tanya sendiri pendapat mereka tentang perkara ini, dan menurutnya, ini rezeki kami jadi tidak elok jika menolaknya.

“Setelah apa yang berlaku selama ini, saya sangat bersyukur masih diberi rezeki sebegini,”jelas Norman dan Memey yang ditemui ketika majlis sidang media memperkenalkan tajaan untuk perkahwinan mereka.

Undang Abby
Akan menggayakan dua busana mewah bernilai lebih RM500 000 setiap satu, Memey juga akan menyarung kasut rekaan Prof Datuk Jimmy Choo yang bernilai RM 300 000.

Selain itu, Memey juga mendapat tajaan lokasi di Crown Plaza Hotel, dan sebuah dewan akan dihias serba putih, dihiasi jutaan ros putih import yang diambil dari luar negara dan harga keseluruhannya bernilai RM150 000.

Menariknya tentang majlis ini, ia hanya untuk meraikan perkahwinan pasangan Norman dan Memey ini bersama-sama teman-teman artis dan media.

Lebih 80 orang artis akan diundang untuk memeriahkan majlis ini termasuklah beberapa artis dari luar negara dan lebih kurang enam hingga lapan artis bakal membuat persembahan.

Bercerita tentang rakan-rakan artis, jelas Norman, dia pasti akan mengundang bekas isterinya, Abby Abadi untuk turut sama meraikan majlis mereka ini.

“Insya-Allah, saya akan ajak dia ke majlis kami nanti,”jelas Norman.

Pernikahan
Bakal melangsungkan pernikahan di kediaman Memey di Felda Tenggaroh, Selatan 1, Johor, pada 23 September akan datang pasangan ini juga akan mengadakan majlis resepsi untuk keluarga dan orang ramai sehari selepas majlis pernikahannya itu.

"Majlis di Johor akan berlangsung mengikut adat kami disana, selepas majlis pernikahan, di sebelah malamnya kami akan adakan majlis khatam Al-Quran dan keesokkannya pula akan berlangsung majlis persandingan.

"Majlis ini terbuka untuk semua, dan konsepnya pula bertemakan moden dan taman,"jelas Memey

Jumaat, 22 Julai 2011

Hasil harumanis melonjak 400 tan metrik


PADANG BESAR 21 Julai – Musim harumanis tahun ini baru sahaja berakhir tetapi tiada siapa menduga daripada harganya yang murah, mempelam kebanggaan Perlis itu kini mempunyai nilai tinggi di pasaran dalam dan luar negara.

Bermula penghujung April sehingga Jun lalu, harumanis kembali menjadi tumpuan sebagaimana tahun sebelumnya.

Sebanyak 400 tan metrik harumanis berjaya dihasilkan pada tahun ini dengan setiap tahun dirancang pertambahan pengeluaran sebanyak 200 hektar lagi.

Berbanding harganya pada 1980-an yang cuma dalam lingkungan RM1.60 sekilogram, sekarang ia mencecah RM15 sekilogram malah di sesetengah tempat, hingga RM20 sekilogram.

Harga yang murah pada suatu ketika dahulu antara faktor mengapa ramai petani beralih ke tanaman lain walaupun pokok harumanis kebiasaannya berbuah lebat.

Malah, petani juga terpaksa memberi perhatian khusus kepada tanaman tersebut termasuk mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar untuk keperluan seperti baja dan sebagainya.

Pelaburan yang dianggap tidak berbaloi pada ketika itu, menyaksikan ramai petani mempelam harumanis mengambil keputusan menghentikan usaha mereka untuk memberi tumpuan kepada mangga lain seperti sala.

Namun, terdapat juga petani yang `setia’ dengan tanaman harumanis dan menjangkakan mempelam tersebut mampu mencapai harga memberangsangkan pada suatu hari nanti.

Ternyata kesabaran petani-petani berkenaan berbaloi kerana selepas itu, harga harumanis meningkat dari musim ke musim sehingga mampu memberikan pulangan baik kepada para petani.

Kini petani yang masih mengusahakan tanaman harumanis memperoleh pendapatan lumayan pada satu-satu musim dengan ada di antaranya mampu mendapat lebih RM60,000.

Shahimi Shaari, 42, dari Kampung Gial, Mata Ayer, Padang Besar Perlis, seorang petani sambilan yang mengusahakan seluas 0.404 hektar tanaman mempelam harumanis mengakui memperoleh hasil cukup memberangsangkan.

Menurut kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Arau itu, pada musim ini, lebih lima tan metrik harumanis telah dihasilkan dari ladangnya.

“Saya merupakan antara petani awal mengusahakan tanaman harumanis iaitu pada 1980-an yang dijalankan secara berkelompok tetapi ramai menarik diri disebabkan harganya rendah ketika itu,” katanya di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Shahimi, dia yakin bahawa mempelam harumanis akan menjadi produk terkenal Perlis pada suatu hari nanti sehingga harganya mampu meningkat berkali ganda.

“Saya kini menjual hasil tanaman kepada peraih, malah ada di antara agensi kerajaan yang membeli harumanis dari ladang saya.
“Permintaan tinggi menyebabkan harganya meningkat dari semasa ke semasa selain kos penjagaan tanaman ini (harumanis) yang turut meningkat,” tambahnya.

Shahimi memberitahu, dia menggunakan pembalut bagi membungkus buah harumanis di pokok termasuk yang disediakan oleh Jabatan Pertanian supaya tidak dimakan makhluk perosak dan kualitinya terjamin .

Nazmi Mohamad, 40, dari Kampung Alor Ara, pula mengambil pendekatan hanya menjual secara langsung kepada pembeli bagi mengelakkan orang tengah memonopoli harga harumanis.

Sebagaimana Shahimi, dia merupakan antara petani yang mendapat perhatian Jabatan Pertanian Perlis mengusahakan tanaman itu.

“Saya telah mengerjakan tanaman ini sejak sembilan tahun lalu ketika harganya murah sehinggalah mencapai harga cukup tinggi di pasaran,” katanya yang mengusahakan seluas 0.287 hektar tanaman harumanis.

Berikutan permintaan dan harganya yang tinggi katanya, dia bercadang untuk menambah jumlah pokok harumanis di ladangnya di samping menanam semula pokok baru bagi menggantikan yang tua dan tidak mampu lagi mengeluarkan hasil tinggi serta berkualiti.

Harumanis harta intelek


Shahimi Shaari di kebun harumanis yang diusahakannya di Kampung Gial, Mata Ayer, Padang Besar, baru-baru ini. -Faizal Abu Hassan.

PADANG BESAR 21 Julai – Kerajaan Perlis akan memberi keutamaan kepada usaha menambahkan pengeluaran tanaman harumanis dan mendaftarkan mempelam tersebut sebagai harta intelek bagi mengawalnya daripada dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menjejaskan popularitinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, langkah itu perlu disebabkan harumanis menjadi antara produk yang melonjakkan imej Perlis di negara ini.

“Harumanis cukup popular tetapi pengeluarannya terhad disebabkan masalah tanah untuk penanaman mempelam jenis ini di negeri yang paling kecil di Malaysia sedangkan permintaannya kian meningkat.

“Namun kita mencari kaedah lain untuk menambah hasil, antaranya menggalakkan tanaman semula menggantikan pokok-pokok yang tua dan tidak mengeluarkan hasil, membekalkan benih supaya setiap penduduk menanam harumanis di laman rumah sekurang-kurangnya sebatang pokok,” katanya di sini, baru-baru ini.

Di samping itu, kata beliau, pendaftaran hak intelek boleh mengawal penjual tidak bertanggungjawab daripada menjual mempelam jenis lain dengan menggunakan nama harumanis.

“Dengan pendaftaran intelek baru, kita boleh mengambil tindakan terhadap penjual seperti ini kerana penipuan seumpama itu boleh menjejaskan imej harumanis dan negeri Perlis,” tambah beliau.

Keistimewaan harumanis:-
* Hanya menjadi ditanam di Perlis, tanah di kawasan lain tidak sesuai.
* Kaya vitamin antioksidan seperti vitamin C dan E.
* Mempunyai tujuh gram serat yang membantu sistem pencernaan dan larut dalam air, baik untuk mengawal paras kolestrol.
* Mencairkan kahak, penyegar, membangkitkan nafsu makan dan antioksidan.
* Kandungan riboflavin baik untuk mata, mulut dan tenggorok (tekak).
* Membantu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti radang kulit, influenza, asma, gangguan penglihatan, gusi berdarah dan sesak nafas.
Mempromosi dan menambah pengeluaran harumanis:
* Penganjuran karnival harumanis, membuka gerai jualan termasuk di kawasan rawat dan rehat (R&R) di lebuh raya.
* Menggalakkan penanaman harumanis di halaman rumah, sekurang-kurangnya sepokok setiap rumah.
* Menggalakkan petani menanam semula, menggantikan pokok yang tidak mengeluarkan buah dengan tanaman baru.
* Membalut buah dengan pembalut khususnya pembalut yang disediakan Jabatan Pertanian untuk menjaga kualiti buah.

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI

Avillion menggamit pengunjung


Chalet yang tersergam indah serta mempunyai reka bentuk yang menarik di Hotel Avillion Port Dickson.

TELOK KEMANG 21 Julai - Perasaan tenang dan nyaman adalah ciri utama yang paling diingati jika berkunjung ke Hotel Avillion Port Dickson yang terletak di Batu 3, Jalan Pantai Port Dickson dekat sini.

Hotel yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menawarkan kepuasan menginap yang mana sebahagian caletnya terletak di atas permukaan laut.

Menurut Pengarah Kanan Operasi hotel itu, Gared Mario Cubinar, inspirasi seni binanya diilhamkan daripada perkampungan nelayan Melayu tradisional dengan mengutamakan budaya tempatan yang disaluti ciri kemewahan supaya pengunjung merasai gabungan zaman warisan dan keselesaan moden.

Beliau berkata, baru-baru ini, resort itu telah menaik taraf caletnya bagi meningkatkan kepuasan kepada pelanggan yang menginap di situ.

“Kini, calet kami mempunyai sambungan tanpa wayar, televisyen skrin rata, tilam mewah, pancutan mandian berkuasa tinggi dan sistem ipod supaya pelanggan akan sentiasa berasa terhibur.

“Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman menarik di Avi Spa yang terapung dua tingkat yang begitu indah sekali.

 Avi Spa yang menawarkan pelbagai rawatan tradisi pernah memenangi beberapa anugerah,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Dengan peningkatan baru itu, menurutnya, Avillion Port Dickson sedang mengadakan promosi bertemakan '8 Sebab Yang Akan Memberikan Nafas Baru’ selama dua bulan bermula dari 1 Jun lalu.

Jelasnya, objektif promosi itu adalah untuk memberitahu para pelanggan mengenai kemudahan baru itu.

Katanya, para pelanggan juga digalakkan mengisi borang soal selidik untuk berkongsi pengalaman mereka menginap di situ.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, sebanyak lapan cabutan bertuah berupa penginapan percuma, rawatan spa dan baucar makan diberikan setiap hari sepanjang dua bulan ini,” katanya.

Mario Cubinar menarik perhatian, hotel yang pada mulanya kecil sahaja kini telah diperluaskan kepada empat buah hotel yang mempunyai nilai harga tinggi di rangkaian antarabangsa.

Kumpulan Hotel Avillion adalah anak syarikat milik penuh Reliance Pacific Berhad, pengendali hotel bersepadu yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sejak 1993.

Kumpulan itu mempunyai rangkaian hartanah mewah di seluruh negara.

Sejak penubuhannya di awal 1990-an, kumpulan hotel itu telah dipandu dengan keghairahan mereka membentuk, membina dan menguruskan senibina yang unik dan di tempat penginapan falsafah.

Kumpulan Hotel Avillion mempunyai hotel di empat pantai peranginan yang mana setiap satunya mempunyai personaliti dan suasana tersendiri.

 Ia terdiri daripada Avillion Port Dickson, Avillion Admiral Cove, Avillion Legacy Melaka dan Avillion Layang-Layang.

Avillion Port Dickson pernah meraih anugerah senibina individualisme pengadunan dan personaliti dalam persekitaran semulajadi.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang avillionportdickson.com atau menelefon di talian 06-6476688.

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

Pilihan raya Mesir akan diadakan tiga peringkat


GADIS-GADIS Mesir merakam gambar lukisan bendera pada tangan mereka semasa berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah pada 18 Julai lalu. - AFP

KAHERAH 21 Julai - Pilihan raya Mesir bagi melancarkan peralihan kuasa kepada rakyat akan diadakan dalam tiga peringkat bagi memudahkan pemantauan pengundian.

Anggota Majlis Pemerintah Tentera, Jeneral Mamdouh Shaheen berkata, pilihan raya itu akan berlangsung selama lebih sebulan dengan proses pengundian diadakan pada hari yang berlainan di tiga wilayah.

"Tarikh tepat akan diumumkan oleh majlis tentera selepas 18 September ini," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

Pengundi akan mengundi untuk dewan rendah dan dewan tinggi pada satu masa dan pilihan raya akan diadakan di 120 kawasan pengundian.

Shaheen berkata, tempoh 15 hari akan memisahkan antara satu peringkat dengan peringkat lain.

"Ketika pilihan raya berlangsung, tentera akan berperanan menjaga keselamatan dan pemerhati akan melakukan pemantauan," ujar beliau.

Pilihan raya itu kelak merupakan yang pertama diadakan sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan dalam kebangkitan rakyat pada Februari lalu.

Majlis tentera sebelum ini berjanji untuk menyerahkan kuasa pemerintahan kepada kerajaan pilihan rakyat sebelum hujung tahun ini. - REUTERS

Katy Perry dapat 9 pencalonan Anugerah Muzik MTV


Katy Perry

LOS ANGELES 21 Julai - Penyanyi pop Katy Perry mendahului Anugerah Muzik Video MTV 2011, semalam dengan memperolehi sembilan pencalonan, berbanding bintang 'gila-gila' Lady Gaga yang hanya mendapat tiga pencalonan.

Penyanyi cantik Britain, Adele pula memperolehi tujuh pencalonan melalui lagu hitnya, Rolling in the Deep, selepas album keduanya, '21' mencatat jualan tertinggi di dunia pada tahun ini.

Sementara itu, penyanyi rap Kanye West menjadi pendahulu bagi kategori lelaki dengan mendapat tujuh pencalonan untuk lagu duetnya dengan Perry, selain muzik videonya All of the Lights dan Power.

Bruno Mars, pula memperolehi empat pencalonan melalui lagu Grenade, manakala Beyonce, Eminem, kumpulan rock Thirty Seconds to Mars dan Nicki Minaj masing-masing menerima tiga pencalonan.

Penyampaian anugerah ini akan diadakan pada 28 Ogos ini dan akan disiarkan secara langsung melalui rancangan televisyen di Los Angeles.

Para pemenang dipilih berdasarkan undian awam.

Pada anugerah Muzik Video MTV pada tahun lalu, Lady Gaga memperolehi kemenangan besar dengan membawa pulang lapan trofi, termasuk bagi kategori Video Terbaik Sepanjang Tahun untuk lagunya, Bad Romance.

Namun, selepas beberapa bulan menggembar-gemburkan album terbarunya, Born This Way, penyanyi ranggi dari New York itu terpinggir dalam pencalonan anugerah Muzik Video MTV, kali ini. - REUTERS 

Kim Kardashian saman jenama Old Navy



Kim Kardashian [bekas kekasih Reggie Bush]

Melissa Molinaro [kekasih Reggie Bush sekarang]

Reggie Bush


LOS ANGELES 21 Julai - Aktres dan model Kim Kardashian berang dan bertindak menyaman syarikat jenama pakaian, Old Navy kerana menggunakan model yang mirip dengannya.

Syarikat tersebut menyatakan penggunaan model yang mirip dengannya itu adalah untuk kempen iklan terbaru.

Bintang realiti berusia 30 tahun itu menyaman syarikat gergasi pakaian tersebut antara AS$15 juta (RM45 juta) hingga AS$20 juta (RM60 juta).

Malah, apa yang membuat dia begitu marah disebabkan model iklan terbabit, Melissa Molinaro yang juga seorang pelakon, dikatakan sedang bercinta dengan seorang pemain bola sepak Amerika (NFL), Reggie Bush.

Muzik video Malinaro yang menjadi inspirasi bagi kempen iklan syarikat itu telah menjadi video yang paling banyak ditonton di dalam Internet.

Klip video Super C-U-T-E itu yang mempromosi jenama jean, setakat ini telah ditonton kira-kira 1.7 juta orang.

Dalam video klip itu, Molinaro menggunakan imej seperti Kim, dengan rambutnya dan gaya make-up seperti model popular itu.

Kim memfailkan saman terhadap Old Navy di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles, hari ini, dengan dakwaan syarikat tersebut menggunakan wanita lain miripnya supaya orang ramai percaya dia ada kaitan dengan jenama tersebut. - Agensi

Menghitung hari menjelang Oktober


YASMIN Hani kini sedang menghitung hari menjelang hari bahagianya pada bulan Oktober ini.

MENGENALI Yasmin Hani atau lebih mesra disapa Hani ini, dia lebih selesa untuk bercerita tentang dunia seninya berbanding mencanangkan kisah peribadi.

Yang pasti, Hani mempunyai pendiriannya sendiri apabila membicarakan soal peribadi.

Tidak mahu orang akan mencebik dan mengata, kata Hani.

Seperti mana lazimnya, kalau bertemu dengan Hani, dia memang tidak kenal erti duduk diam.

Ada sahaja cerita yang mahu dikongsi dengan pihak media.

Seperti lazimnya, apabila berpeluang duduk bersembang dengan Hani, pelbagai pertanyaan akan dilontarkan kepada wanita kacukan Melayu-Inggeris ini.

Ada cerita yang diberi lampu hijau oleh Hani untuk ditulis manakala selebihnya, adalah untuk pendengaran telinga sendiri sahaja atau dalam istilah etika kewartawanan, off the record.

Dan, mengenali Hani, dia memang cukup terbuka dalam memberikan jawapannya dan ini termasuklah perkhabaran tentang perkahwinannya bersama buah hati tersayang, Sha'arin Mohammed Razali, 41.

Barangkali hubungan cintanya dengan jejaka kacak berusia 41 tahun itu bukan lagi satu rahsia bagi sesetengah pihak.

Dalam erti kata lain, ia adalah rahsia terbuka (open secret).

Selepas lebih setahun menyulam cinta bersama Sha'arin, Hani secara terus-terang memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama buah hatinya itu sekitar pertengahan bulan Oktober ini.

"Tetapi, saya mahu meminta maaf kepada semua pihak bahawa majlis perkahwinan saya akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja.

"Saya hanya akan menjemput mereka yang rapat dengan saya sahaja bagi meraikan hari bersejarah itu.

Majlis saya itu cukup ringkas apabila kami hanya akan bernikah dan bersanding sahaja.

Malah, tiada juga majlis pertunangan," katanya tanpa selindung.

Hani ditemui usai majlis pelancaran drama bersiri, Wasiat di Cathay Cineleisure, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Hani menjelaskan memang dia mahu mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang kecil namun meriah dengan kehadiran mereka yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya.

"Saya tidak perlu mengikut trend seperti orang lain.

Masing-masing ada hak dan cita rasa untuk mengadakan majlis yang mereka idamkan.

Begitu juga dengan diri saya.

"Buat apa kalau mengadakan majlis besar-besaran tetapi hanya akan mengundang kata-kata yang kurang manis serta dilabelkan sebagai mahu menunjuk-nunjuk.

"Saya tidak mahu menjadi seperti itu.

Adalah lebih afdal apabila menghadiri mana-mana majlis perkahwinan untuk mendoakan yang terbaik untuk pasangan pengantin.

Itulah yang saya mahukan daripada semua orang untuk mendoakan kesejahteraan hidup saya dan bakal suami," kata pemilik nama penuh Yasmin Hani Richardson Ismail Richardson ini penuh jujur.

Dalam usianya yang sudah mencecah 32 tahun itu, kata Hani, dia memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Baginya, untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik ia tidak akan datang dengan sendirinya melainkan perlu menempuhi alam perkahwinan itu bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.

"Bagaimana kita hendak merasai pengalaman itu seandainya kita sendiri tidak melaluinya.

Semua ini adalah proses pembelajaran dan kita tidak akan menjadi bagus hanya dalam sehari," ujarnya lagi.

Mengimbas kenangan perkenalan mereka, Hani memberitahu dia memang sudah lama mengenali Sha'arin sewaktu jejaka kacak itu masih lagi bekerja di Astro.

Namun, pada ketika itu, mereka hanya saling bertegur sapa seperti rakan setugas yang lain sehinggalah bibit cinta mula timbul lebih setahun yang lalu.

Selama tempoh mengenali Sha'arin yang juga merupakan abang kepada pengacara dan pelakon Qi Razali itu, Hani menyifatkan buah hatinya itu sebagai seorang yang cukup memahami.

Malah kata Hani, ada sikap dan sifat yang dimilikinya tiada dalam diri Sha'arin dan begitulah juga sebaliknya lalu berjaya mencipta keserasian antara mereka dalam melayari dunia percintaan.

"Sehinggakan ada ahli keluarganya sendiri tidak tahu bahawa dia memiliki sifat-sifat tersembunyi yang mana hanya saya sahaja yang tahun," kata Hani yang merupakan adik kepada bekas pelakon filem Penyair Malam, Yasmin Suraya ini sambil ketawa.

Walaupun sudah berkahwin nanti, Hani memberitahu dia akan meneruskan kariernya dan mendapat sokongan penuh daripada Sha'arin.
Rindu jadi pengacara

ANAK jati Kuala Lumpur ini mula menempa populariti sebagai artis apabila bakatnya mula meraih perhatian menerusi program hiburan, Muzik @ Ria terbitan Astro, beberapa tahun lalu.

Siapa yang dapat lupa tanda pengenalan Hani menerusi program itu, Wacha! sehingga dia sendiri digelar dengan panggilan itu.

"Jujurnya, memang saya cukup merindui dunia pengacaraan.

Kalau diberi peluang mengacarakan Muzik@Ria lagi sekali pun, saya tidak kisah untuk melakukannya.

"Namun, dalam masa yang sama, saya mahu menongkah arus dan mencabar diri saya sendiri untuk menjadi pengacara bagi program lain.

"Salah satunya adalah sebuah program bual bicara seperti The Oprah Winfrey Show yang bukan hanya memberi maklumat dan mesej berguna kepada masyarakat tetapi juga beramal menerusi program itu.

"Bukan itu sahaja, saya juga mahu menjadi hos untuk sebuah program berbentuk pelancongan dan rekreasi.

Tetapi, saya tidak mahu menjadi hos yang sudah kerap ditonton di televisyen.

"Saya mahu menjadi hos program yang dapat melakukan pelbagai aktiviti dan sukan ekstrem kerana saya percaya bahawa saya mampu melakukannya," kata Hani yang dilahirkan pada 11 Jun 1979 ini yang pernah mengacarakan program realiti, Keynote, tahun lalu.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gambar ISMAIL KAMADIN

Juara bakat tv 2011 Razali Abd. Rahim


RAZALI bangga perjuangannya mengangkat muzik tradisi diiktiraf pada malam final Bakat TV 2011.

KEJUARAAN yang diraih Razali Abd. Rahim, 26, selaku pemenang program realiti televisyen terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bakat TV 2011 (BTV 2011) telah dijangka ramai memandangkan persembahan unik yang dipamerkan pada malam akhir yang berlangsung Selasa lalu.

Pernah menjuarai World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan Rainforest World Music Festival 2011, ia bagaikan metafora awal yang merealisasikan kejuaraan tersebut milik mutlak Razali.

Graduan Diploma Seni Muzik Aswara itu bagaimanapun menafikan bahawa dia mempunyai laluan mudah untuk mengetepikan finalis lain yang cukup berbakat dan kompetitif.

Katanya, kemenangan yang pernah diraih pada peringkat antarabangsa sebelum ini bukanlah 'lesen besar' baginya untuk menidakkan peluang peserta lain bagi merebut gelaran juara BTV 2011 yang menawarkan wang tunai RM20,000.

"Sebaliknya, saya perlu berusaha keras untuk mempamerkan kemahiran terbaik yang saya miliki ketika bermain alat muzik tradisi, kulintangan.

"Saya mempelajari cara bermain alat muzik ini sejak umur 10 tahun dan ia merupakan seni muzik warisan kaum Bisaya di Beaufort, Sabah," jelas Razali dalam telor masyarakat Borneo yang masih pekat itu.

Selain memenangi pertandingan yang mencungkil pelbagai bakat itu, Razali turut berjaya membolot wang tunai RM10,000 setelah dipilih sebagai pemenang kategori Bakat TV Popular.

Mahu iringi Siti Nurhaliza

Sering memainkan muzik lagu Nirmala dan Kurik Kundi dendangan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza, jauh di sudut hatinya, Razali menyimpan hasrat untuk mengiringi persembahan penyanyi popular tersebut tatkala menyanyikan lagu berentak tradisional.

Ujar Razali, sudah lama dia meminati Siti Nurhaliza dan mengikuti perkembangannya, namun belum sekali pun berkesempatan untuk bertentang empat mata melahirkan niatnya itu.

"Memang sudah lama saya inginkan peluang seperti itu. Alangkah bertuahnya saya jikalau impian itu mampu menjadi realiti," seloroh Razali yang begitu mengagumi suara dan bakat milik penyanyi pujaan ramai itu.

Dalam pada itu, lantaran berjaya menggondol wang tunai berjumlah RM30,000 secara keseluruhannya, jejaka bertubuh kecil ini sudah mempunyai rencananya yang tersendiri.

Jelasnya, dia merancang untuk menghasilkan album instrumental yang akan memperdengarkan kemahiran maksimumnya mencanang alat muzik buatannya sendiri itu.

"Saya membuatnya sejak tahun 1998. Sejak itu, saya menghargainya dengan mempertingkatkan skil yang dimiliki menerusi latihan yang berulang kali.

"Oleh itu, saya perlu mengabdikan segala usaha saya selama ini dalam satu medium yang boleh disimpan dan menjadi kenangan pada masa hadapan.

"Di samping itu, ia juga boleh dijadikan bahan tutor kepada sesiapa saja yang berminat untuk mempelajari seni muzik kebanggaan kaum saya sejak turun temurun ini.

"Jika ada rezeki lebih, saya juga mahu menubuhkan kelas latihan bermain kulintangan.

Pada masa yang sama, saya juga mempunyai kebolehan bermain akordion," jelasnya panjang lebar usai tamat final BTV di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
Gambar: SAIFUL BAHARI ASHARI

Dua murid disimbah asid


Oleh Shahrul Nizam Mohamad

MARAN: “Saya lihat dua beradik itu menggelupur kesakitan akibat disimbah cuka getah.

 Hati saya sedih melihat mereka meraung kesakitan,” kata Siti Aishah Rohaisha Hanafi, 28, saksi kejadian dua beradik disimbah cuka getah oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di Felda Jengka 9, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan adiknya, Shafiq Aiman, sembilan tahun, parah di muka dan beberapa bahagian tubuh akibat terkena cuka getah.

Difahamkan, Shafiq Haikal yang baru selesai mengaji, mengajak adiknya ke rumah rakan sekolahnya untuk mengulang kaji pelajaran.
 
Sebaik tiba di depan rumah rakannya, suspek dikatakan berlari ke arah mereka sebelum menyimbah cecair dipercayai cuka getah dan terkena muka serta tubuh mangsa.

Akibat simbahan itu, dua beradik terbabit meraung serta menggelupur menahan kesakitan sebelum jeritan mereka didengar penduduk berhampiran yang pantas memberi bantuan.

Ibu saudara mangsa, Zafrida Che Sham, 41, berkata dia terkejut dimaklumkan kejadian menimpa anak saudaranya itu.

“Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hampir membunuh dua anak saudara saya. Apa salah dua beradik itu sehingga mereka diperlakukan begitu rupa,” katanya, semalam.

Zafrida berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kes terbabit kepada polis untuk melakukan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap suspek.

Dia mendakwa suspek jarang bergaul dengan penduduk kampung dan dia lebih banyak bersendirian di dalam rumah selain tidak mengetahui apa penyakit sebenar dihidapi lelaki itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, dua beradik itu cedera parah di muka dan tubuh serta dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, susulan kejadian itu, polis menahan reman suspek yang berusia 31 tahun selama enam hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Maran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad pula berkata, beliau akan menghantar pegawainya hari ini untuk melihat keadaan dua beradik berkenaan.

“Saya tidak mahu membuat ulasan kerana kes terbabit masih dalam siasatan polis.

“Saya cuma dapat mengesahkan dua beradik terbabit diserang suspek, namun punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan,” katanya, semalam.

Katanya, beliau akan memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga dua beradik terbabit memandangkan kes itu serius.

Khamis, 21 Julai 2011

Malaysia tuan rumah pertandingan pancaragam dunia


KUALA LUMPUR 21 Julai — Malaysia buat pertama kali akan menjadi tuan rumah Kejohanan Pancaragam Sedunia (WCMSB) 2011 yang merupakan perbarisan pancaragam terbesar dunia selama seminggu mulai Isnin ini.

Pengarah Festival WCMSB, Jimmy Wong berkata, sejumlah 30 pancaragam akan mengambil bahagian yang diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini.

Acara pembukaan berupa perarakan pancaragam yang mengambil bahagian dari Jalan Raja Chulan hingga ke Jalan Bukit Bintang bermula 8.30 malam, katanya.

Beliau berkata, Kanada, Republik Czech, Hong Kong, Indonesia, China, Taiwan dan Thailand akan menyertai pertandingan tersebut.

"Pusingan pertama pertandingan akan bermula pada Rabu sementara pusingan kedua dan ketiga pada Khamis dan Jumaat,” katanya dan menambah acara final akan diadakan pada Sabtu. - Bernama