Isnin, 18 Julai 2011

Gunung berapi Lokon meletus


JAKARTA 17 Julai - Gunung berapi Lokon di Sulawesi, Indonesia hari ini meletus dalam letusan terbesar sejak hujung bulan lepas, dengan menghamburkan kepulan abu setinggi 3,500 meter ke udara.

"Gunung berapi itu meletus lagi pagi ini dengan menghamburkan batu dan abu dalam letusan terbesar sejak akhir Jun," kata pakar gunung berapi kerajaan, Kristianto.

Katanya, beliau telah memaklumkan pihak lapangan terbang supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana paras abu agak tinggi ketika ini.

"Bagaimanapun setakat ini, penerbangan belum terjejas dan lapangan terbang tidak ditutup.

"Gunung berapi itu masih dalam fasa letusan, dan kami tidak dapat meramalkan sama ada letusannya akan reda atau menjadi lebih kuat dan kerap," ujar Kristianto.

Gunung Lokon setinggi 1,580 meter yang terletak di utara Pulau Sulawesi adalah antara gunung berapi paling aktif di Indonesia.

Kali terakhir ia meletus pada 1991, menyebabkan seorang pelancong Switzerland terkorban.

Lebih 5,200 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara sejak Gunung Lokon meletus pada Khamis lalu dan tahap berjaga-jaga diletakkan pada paras tertinggi.

Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, Jawa Tengah, menyebabkan lebih 350 orang terbunuh dalam beberapa letusan kuat pada tahun lepas. - AFP

0 comments: