ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Dalam aspek kesihatan, orang Islam disuruh menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat.
Di samping itu, Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila mengalami sebarang penyakit.
Hakikatnya, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit. Antaranya Allah SWT berfirman: Dan kami turunkan Quran secara beransur-ansur yang terdiri daripada ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat untuk orang yang beriman kepada-Nya. (al-Israk: 82)
Direkodkan daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu sesuai dengan penyakit, ia sembuh dengan izin Allah. (riwayat Muslim dan Ahmad)
Islam adalah cara hidup. Kesihatan dan perubatan juga sebahagian daripada kehidupan manusia yang pastinya tidak terlepas daripada hukum-hukum syarak dan fikahnya yang tersendiri.
Fikah perubatan berguna dan bermanfaat dalam realiti kehidupan Muslim dewasa ini, apatah lagi pada zaman yang serba canggih ini. Di mana ia lebih mengkhususkan kepada isu-isu perubatan moden.
Antaranya isu halal dan haram ubat-ubatan, penggunaan ubat-ubatan dalam kaedah yang khusus ataupun prosedur perbuatan yang terkini dan sering kali mengundang tanda tanya bukan sahaja di kalangan kaki tangan kesihatan khasnya, bahkan di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia, amnya.
Justeru fikah dalam perubatan adalah bidang yang memerlukan kemahiran dan penelitian yang jitu. Kupasan hukum mengenai isu terkini semestinya mengikut kaedah-kaedah asas fikah seperti qawa'id fiqhiyyah dan usul fiqh.
Sungguhpun penjelasan berkenaan isu perubatan yang dikaitkan dengan fikah sudah banyak dibukukan oleh ulama muktabar seperti Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar dan Dr. Basri Ibrahim, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia atau Papisma telah mengorak langkah berkerjasama menerbitkan buku berjudul Fikah Perubatan yang bertujuan melengkapkan lagi bahan-bahan ilmiah yang sedia ada.
Presidennya, Dr. Suhazeli Abdullah di bahagian prakata buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. berkata, bahan-bahan yang cuba dipaparkan dalam buku ini adalah hasil daripada kajian dan telaah pakar yang mahir dalam bidang masing-masing.
"Mereka bukan sahaja mahir dalam teori keilmuan malah terlibat secara terus dalam mengendalikan pesakit di klinik masing-masing.
"Pengolahan bahan yang dipaparkan adalah lebih jelas dengan beberapa ilustrasi tambahan. Ia penting bagi memperincikan mana-mana ulasan," katanya yang mengharapkan penerbitan buku ini akan menambahkan bahan ilmiah di negara ini.
Buku setebal 303 muka surat ini mempunyai enam tajuk utama dengan pecahan 28 sub tajuk tidak termasuk glosari dan bibliografi. Antara tajuk utamanya ialah Perubatan Islam, Asas Fikah Perubatan, Hukum Berubat, Bendalir Badan, Aplikasi dan Taharah, Perlaksanaan Ibadat Semasa Sakit dan Puasa serta Isu-Isu Perubatan Moden.
Yang pastinya, Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan Islam. Buku ini melihat bukan sahaja pada aspek hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat.
Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya.
Oleh ZUARIDA MOHYIN
2 comments:
nice info...
@dwaty Terima kasih =D
Catat Ulasan