Isnin, 18 Julai 2011

Bot layar Perancis belayar ke Gaza


TEL AVIV 17 Julai - Sebuah bot layar Perancis yang membawa aktivis pro-Palestin sudah meninggalkan sebuah pulau di Greece dengan harapan untuk melanggar sekatan maritim Israel ke atas Genting Gaza, sekalipun rejim Zionis terus cuba menghalang mereka.

Bot layar Dignity/Karama belayar dari pulau Kastellorizo pada 8.30 malam tadi (1.30 pagi ini waktu Malaysia), menurut penganjur Flotila Pembebasan II, Free Gaza dalam satu kenyataan kepada wartawan, hari ini.

Ia membawa 10 aktivis, tiga wartawan dan tiga krew.

Enam aktivis adalah warga Perancis, termasuk anggota Parti Komunis Perancis, Jacqueline Le Corre, sementara yang lain dari Tunisia, Greece, Sweden dan Kanada.

Wartawan pula ialah Amira Hass daripada akhbar Israel, Haaretz dan seorang pemberita serta seorang jurugambar al-Jazeera.

Free Gaza dan kumpulan pro-Palestin lain merancang untuk menghantar 10 kapal membawa ratusan aktivis ke Gaza, tetapi rancangan mereka gagal apabila Greece yang tunduk kepada tekanan Israel menyekat pelayaran kapal-kapal itu dari pelabuhannya.

Bagaimanapun, bot layar Dignity/Karama yang meninggalkan Corsica pada 25 Jun lalu dan pelabuhan Sitia di Crete pada Rabu lepas dibenarkan belayar dari Kastellorizo kerana pihak berkuasa di pulau itu dikatakan bersimpati dengan Gaza memandangkan ramai penduduknya pernah berlindung di wilayah Palestin tersebut semasa Perang Dunia Kedua.

Malah, Datuk Bandar Kastellorizo, Paul Panigiris yang dilahirkan di Gaza adalah penyokong kuat Palestin, kata penganjur.

"Sepuluh penumpang di dalam bot itu menganggap diri mereka sebagai wakil seluruh Flotila Pembebasan II," menurut kenyataan Free Gaza, selepas kapal-kapal flotila itu ditahan di pelabuhan Greece.

Mereka tidak menganggap tindakan bot itu sebagai versi mini Flotila Pembebasan II, tetapi sebagai gelombang pertama yang akan disusuli dengan yang lain. - dpa

0 comments: