Fara Fauzana |
JIKA sebelum ini kita sering mendengar celotehnya di corong radio dan juga turut tampil sebagai pengacara beberapa program hiburan televisyen terkenal, kini penyampai radio wanita popular ini beralih pula ke bidang teater.
Mengakui bidang teater ini memerlukan kesabaran, Fara Fauzana ingin membuktikan kepada umum bahawa dirinya juga setanding dengan pelakon-pelakon teater tanah air.
“Terus-terang saya katakan berlakon teater adalah satu perkara yang amat sukar, ia begitu menguji tahap lakonan seseorang itu.
“Saya cuba memberanikan diri saya untuk berlakon dalam teater ini, ternyata team ini juga turut memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya,” ujar penyampai tersebut ketika ditemui Pancaindera pada sesi latihan teater Mak Dara Nyonya baru-baru ini.
Tambahnya, setelah diberi watak ‘Isteri’ kepada ‘Tuan’ dalam teater ini, dia merasakan dirinya sendiri boleh memegang watak tersebut namun pengarah teater, Rosminah Mohd Tahir berkata dia masih tidak menjiwai watak tersebut.
“Walaupun babak saya tidak banyak, namun watak ini adalah satu watak yang besar, ia memerlukan saya untuk mencari satu jiwa yang baru. Dengan latihan yang dijalankan saya rasa saya mampu untuk memegang watak ini, dan saya akan cuba selagi termampu.
“Sebelum ini memang saya pernah berlakon dalam beberapa filem, ternyata banyak perbezaan yang terdapat dalam lakonan teater.
“Jika filem saya boleh ulang kembali lakonan jika terdapat kesalahan, namun dalam teater ini adalah satu lakonan secara langsung, semestinya saya perlu lakukan sesuatu yang terbaik,” ujarnya.
Ditanya berkenaan laporan yang mengatakan pihak Astro menawarkan kontrak sebanyak RM1 juta seperti yang diuar-uarkan ketika ini, Fara ternyata menafikan hal tersebut.
Wow, nampaknya semakin kaya wanita yang seorang ini. Tawaran melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit bukan mudah untuk diperolehi kalau bukan benar-benar popular dan mempunyai nama yang kukuh dalam bidang seni.
Pun begitu, Fara menafikan tawaran berkenaan sambil menyifatkan ia sebagai satu spekulasi semata-mata.
“Saya sebenarnya tidak pernah bercakap mengenai kontrak ini, saya sendiri pun tidak tahu dari mana datangnya berita mengenai hal ini.
“Kali pertama saya tengok berita ini pun dari akhbar, setahu saya memang pihak yang terlibat tidak pernah menawarkan kontrak sebanyak itu.
“Jika perkara ini difikirkan baik untuk pelbagai pihak, tidak berkemungkinan jika kontrak ini betul-betul ditawar, saya tidak akan menolak pelawaan itu,” katanya lagi.
Terbaru, Fara sedang menjalani proses penggambaran rancangannya sendiri yang berjudul Fara Fauzana dibawah terbitan Fafau Intertainment.
Selain Fara, beberapa pelakon lain turut menjayakan teater ini, antaranya, Juhara Ayob, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim, Zaifri Husin, Misha Omar dan Norzizi Zulkifli.
Teater Mak Dara Nyonya ini akan diadakan di pentas Matic, Jalan Ampang selama enam hari bermula 6 hingga 12 Julai ini.
Pementasan akan
bermula pada pukul 8.30 malam, segala pertanyaan serta pembelian tiket
boleh menghubungi, 03-41478600 atau kunjungi laman sesawang www.ticket2u.biz.
Harga tiket dijual pada harga RM32 sehingga RM82.
Oleh Mohd. Rasdan Ahmad
0 comments:
Catat Ulasan