Ahad, 31 Julai 2011



SIRI terakhir filem Harry Potter and The Deathly Hallows: Part 2 (HPDH2) telah memberikan kesan yang begitu mendalam ke setiap sanubari penggemar filem adaptasi dari novel terkenal itu.
Siri kelapan pengembaraan Harry Potter lakonan Daniel Radcliffe dan rakan-rakannya sejak beberapa tahun yang lalu dilihat berjaya memberi mood penamat yang dinantikan oleh peminatnya. Filem arahan David Yates diberi pengikhtirafan lima bintang.
Dalam erti kata lain, filem terakhir ini membanggakan kerana berjaya menawarkan episod pengakhiran yang memuaskan untuk terus dikenang.
Jika dibentangkan perjalanan kekuatan filem ini, jelas sekali HPDH2 lengkap dengan plot, aksi, emosi dan persembahan visual yang baik.
Bercampur dengan arahan yang baik dan penulis skrip yang berkaliber, Steve Kloves telah berjaya memaparkan sebuah filem yang kaya elemen hiburan, gandingan ini tidak terlepas untuk mengukuhkan lagi filem ini dengan babak-babak penting termasuk imbasan semula latar belakang Harry Potter dan beberapa plot yang menjadi nadi sejarah remaja ajaib ini.
Jadi bagi setiap penonton yang tidak pernah mengikuti atau sekadar mengetahuinya secara kasar sahaja filem ini, masih lagi boleh sekurang-kurangnya memahami dan mendapat gambaran tentang Harry Potter.
Aplikasi teknikal dan teknologi yang merangkumi syot, imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, transisi babak dan pewarnaan yang dicurahkan memang cukup mengagumkan.
Pendek kata, penelitian produksi HPDH2 berhasil menerbitkan sebuah filem yang bermutu jika dibandingkan dengan jenama Hollywood yang lain.
Lakonan yang mantap
Menyentuh berkenaan lakonan, persembahan bintang-bintang besar yang membarisi filem ini ternyata meyakinkan dan berkesan.
Selain aksi menawan tiga teraju utama pelakon terkenal British, Ralph Fiennes terus berjaya memegang watak sebagai Lord Voldermont yang cukup terkenal dengan keganasannya itu.
Begitu juga aksi Alan Rickman yang memegang watak sebagai Professor Severus Snape yang menyimpan sejarah hitam pada keluarga Potter.
Watak Potter sendiri misalnya jika diukur dari segi usia, wataknya digambarkan sebagai seorang remaja, namun kecekalan anak muda itu dalam menghadapi musuh tradisi serta kematangannya berdepan situasi yang cukup mencengkam membuatkan penonton turut sama merasakannya.
Begitupun, amat sukar untuk dinafikan, di samping kekuatan ceritanya sendiri, elemen paling menarik mengenai filem ini tentu sekali visualnya.
Babak pertarungan yang dipersembahkan filem ini sungguh mengagumkan. Lihat sahaja kepada babak si pahlawan melarikan diri dari ruang bawah tanah Bank Gringgots bersama seekor naga, yang membuktikan teknik janaan komputer yang paling menarik dipaparkan oleh pengarahnya.
Dalam pada itu penonton juga akan terpukau menyaksikan babak membabitkan Profesor Snape lakonan Alan Rickman ketika dia berdialog dengan Potter.
Menerusi memori Snape, dia bertemu dengan ibunya, Lil dan juga bapanya, dalam perbualan itulah, segala rahsia yang selama ini mempunyai kaitannya dengan Potter akhirnya terbongkar.
Segala persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya di kalangan peminat, sudah terjawab semuanya.
Penamat siri francais yang boleh dikatakan sebagai salah satu yang terbaik dan pasti menjadi ingatan kepada peminat-peminat filem ini. -Oleh MOHD. RASDAN AHMAD

0 comments: