Jumaat, 22 Julai 2011

Avillion menggamit pengunjung


Chalet yang tersergam indah serta mempunyai reka bentuk yang menarik di Hotel Avillion Port Dickson.

TELOK KEMANG 21 Julai - Perasaan tenang dan nyaman adalah ciri utama yang paling diingati jika berkunjung ke Hotel Avillion Port Dickson yang terletak di Batu 3, Jalan Pantai Port Dickson dekat sini.

Hotel yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menawarkan kepuasan menginap yang mana sebahagian caletnya terletak di atas permukaan laut.

Menurut Pengarah Kanan Operasi hotel itu, Gared Mario Cubinar, inspirasi seni binanya diilhamkan daripada perkampungan nelayan Melayu tradisional dengan mengutamakan budaya tempatan yang disaluti ciri kemewahan supaya pengunjung merasai gabungan zaman warisan dan keselesaan moden.

Beliau berkata, baru-baru ini, resort itu telah menaik taraf caletnya bagi meningkatkan kepuasan kepada pelanggan yang menginap di situ.

“Kini, calet kami mempunyai sambungan tanpa wayar, televisyen skrin rata, tilam mewah, pancutan mandian berkuasa tinggi dan sistem ipod supaya pelanggan akan sentiasa berasa terhibur.

“Pengunjung juga boleh menikmati pengalaman menarik di Avi Spa yang terapung dua tingkat yang begitu indah sekali.

 Avi Spa yang menawarkan pelbagai rawatan tradisi pernah memenangi beberapa anugerah,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Dengan peningkatan baru itu, menurutnya, Avillion Port Dickson sedang mengadakan promosi bertemakan '8 Sebab Yang Akan Memberikan Nafas Baru’ selama dua bulan bermula dari 1 Jun lalu.

Jelasnya, objektif promosi itu adalah untuk memberitahu para pelanggan mengenai kemudahan baru itu.

Katanya, para pelanggan juga digalakkan mengisi borang soal selidik untuk berkongsi pengalaman mereka menginap di situ.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, sebanyak lapan cabutan bertuah berupa penginapan percuma, rawatan spa dan baucar makan diberikan setiap hari sepanjang dua bulan ini,” katanya.

Mario Cubinar menarik perhatian, hotel yang pada mulanya kecil sahaja kini telah diperluaskan kepada empat buah hotel yang mempunyai nilai harga tinggi di rangkaian antarabangsa.

Kumpulan Hotel Avillion adalah anak syarikat milik penuh Reliance Pacific Berhad, pengendali hotel bersepadu yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sejak 1993.

Kumpulan itu mempunyai rangkaian hartanah mewah di seluruh negara.

Sejak penubuhannya di awal 1990-an, kumpulan hotel itu telah dipandu dengan keghairahan mereka membentuk, membina dan menguruskan senibina yang unik dan di tempat penginapan falsafah.

Kumpulan Hotel Avillion mempunyai hotel di empat pantai peranginan yang mana setiap satunya mempunyai personaliti dan suasana tersendiri.

 Ia terdiri daripada Avillion Port Dickson, Avillion Admiral Cove, Avillion Legacy Melaka dan Avillion Layang-Layang.

Avillion Port Dickson pernah meraih anugerah senibina individualisme pengadunan dan personaliti dalam persekitaran semulajadi.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang avillionportdickson.com atau menelefon di talian 06-6476688.

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

0 comments: